KUALA TERENGGANU, 25 Mei – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) memperuntukkan sebanyak RM219,600 bagi membantu golongan asnaf yang terkesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Besut.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, M Rozi Bidin memberitahu, setiap Ketua Isi Rumah (KIR) golongan itu akan menerima bantuan sebanyak RM200.
Jelasnya, seramai 1,098 golongan asnaf tinggal di 15 buah mukim yang terbabit dengan pelaksanaan PKPD dikuatkuasakan kerajaan bermula Sabtu lalu hingga 4 Jun depan.
“Pembayaran bantuan khas sebanyak RM200 setiap KIR golongan asnaf itu akan dimasukkan terus ke akaun penerima mulai Ahad depan.
“Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Osman Muda ketika mempengerusikan mesyuarat khas hari ini bersetuju meluluskan peruntukan bagi membantu meringankan bebanan golongan asnaf yang tinggal di 15 mukim yang dikenakan PKPD seperti diumumkan kerajaan,” ujarnya ketika dihubungi, hari ini.
Mengulas lanjut, M Rozi berkata, bantuan khas itu diluluskan bagi meringankan bebanan dan kesulitan yang terpaksa dilalui KIR golongan asnaf yang tinggal di 15 mukim di daerah Besut.
“KIR golongan asnaf diminta menggunakan bantuan itu sebaik mungkin dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan,” tambahnya.