Home Rencana PAS Johor

Risalah Penerangan | Kerosakan di bumi angkara tangan manusia

418
SHARE

Firman Allah S.W.T :

ظَهَرَ ٱلْفَسَادُ فِى ٱلْبَرِّ وَٱلْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِى ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ ٱلَّذِى عَمِلُوا۟ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ.

Mafhumnya : “Telah zahir (berlaku) kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)”.

Surah Ar-Rum : 41

Allah S.W.T telah mengutuskan para Rasul dengan dibekalkan wahyu yang menjadi sumber syariat. Syariat yang ditetapkan oleh Allah adalah untuk menjamin kesejahteraan kehidupan manusia dan alam sarwajagat.

Namun yang terjadi adalah para Rasul dipersendakan dan ajarannya ditolak. Ajaran Rasulullah S.A.W yang meliputi semua aspek kehidupan manusia dianggap suatu yang menyusahkan, zalim dan ketinggalan zaman. Lalu mereka hanya berpegang kepada teori yang bersandarkan akal manusia yang terbatas.

Manusia sewenang-wenangnya melakukan kemaksiatan bahkan lebih teruk lagi mereka berbangga dengan maksiat yang mengakibatkan kemurkaan Allah turun menimpa umat manusia.

Perbuatan menghalalkan yang haram atau mencampuradukkan perkara halal dan haram semata-mata untuk mencari keuntungan dan keseronokan duniawi tanpa memikirkan Allah adalah pemberi kurnia dan sebaik-baik pelindung.

Munculnya ajaran yang menyimpang dan menjadi ikutan di dalam masyarakat. Kurangnya nilai kasih sayang sesama umat manusia mengakibatkan kurangnya sensitiviti dan kesedaran terhadap tanggungjawab kebajikan untuk semua.

Maka lahirlah individu yang menjaga kepentingan diri sendiri sahaja. Lahirlah masyarakat yang tidak prihatin, berpuak-puak, suka berdendam, tiada ihsan kecuali terhadap golongannya sahaja.

Fenomena ini akan membawa kerosakan yang lebih besar dalam negara dan masyarakat. Muncullah amalan manipulasi, korupsi yang menghakis semangat hidup berkolaborasi sesama anggota masyarakat.

Keadaan ini mengakibatkan jauhnya rahmat Allah S.W.T dan ianya terbukti dengan berlakunya kenaikan harga barangan keperluan, kesukaran mendapatkan peluang pekerjaan yang bersesuaian serta keadaan hidup yang semakin mencabar.

Dalam konteks ini, Islam menyeru umatnya agar bermuhasabah diri dan sentiasa berusaha memperbaiki amalan dan tingkah laku kehidupan agar ianya selari dengan Maqasid Syariat Allah S.W.T.

‘Islam Menyatukan Ummah’

Al-Faqiiru IlalLah,
Abu Irfan Muhammad Al-Urduni
Ketua Penerangan PAS Johor

2 Zulkaedah 1443
2 Jun 2022