Home Berita PAS Melaka

Ribut Melaka | Sempat alih kereta sebelum bumbung garaj runtuh

301
SHARE
Mangsa ribut, Zulkifli Isa dari Kampung Belimbing Dalam

Oleh IBNU JANIE
Foto LURIMA

ALOR GAJAH, 23 Feb: Seorang mangsa ribut, Zulkifli Isa, 51, menceritakan detik-detik cemas apabila beliau sempat mengalihkan keretanya sebelum bumbung garajnya kemudian roboh menyembah bumi akibat ribut.

Menurut beliau, semasa kejadian pada kira-kira jam 6.30 petang Isnin lepas itu beliau bersama isteri dan lima orang anak-anaknya berada di dalam rumahnya itu yang merupakan rumah pusaka tinggalan ayahnya.

“Kereta saya dekat situ. Saya alih kereta saja, bumbung pun jatuh,” kata beliau kepada rombongan Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka dan Khidmat Malaysia Melaka yang datang menziarahi beliau petang semalam.

Kata Zulkifli, pada mula kejadian, beliau dan anak-anaknya yang berada di dalam rumah telah mendengar bunyi angin yang kuat dan kemudian melihat zink bumbung rumah mereka tercabut dipukul ribut.

“Anak-anak saya pun terperanjat, semua lari masuk dalam bilik, takut. Saya duduk dekat ruang tamu. Tapi masa tu televisyen tak buka. Lepas tu habis ‘black out’ semua, dalam lepas Maghrib malam sampai pagi tadi (Selasa).

“Ribut tu berlaku dalam 6.30 petang. Dia dalam sekali lalu saja, dalam lima saat sahaja, sambil lalu saja. Dia angkat habis bumbung-bumbung, terbang.

“Buku-buku sekolah anak-anak semuanya habis sebab bila berlaku saja bumbung terbang, hujan pun turun, habis air hujan masuk dalam rumah,” jelas beliau.

Menurut Zulkifli, beliau juga telah memanggil tukang untuk membaiki segera kerosakan yang berlaku.

“Saya dah buat perkiraan dah panggil tukang buat anggaran belanja baiki dalam RM1800. Tetapi tak termasuk upahlah.

“Ni pun dia (tukang) tengah pergi beli barang (pembinaan). Takut hujan turun semula habis basah semula rumah nanti,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemuramah Wartawan Rakyat Melaka (WARM) Berita PAS di rumah beliau di Kampung Belimbing Dalam, di sini, semasa program ziarah tersebut

Dalam program ziarah ini beliau telah menerima sumbangan daripada Badan Perhubungan PAS Melaka yang telah disampaikan oleh Pengerusi Khidmat Malaysia (KM) Melaka, Muhamat Puhat Bedol.

Program ziarah ini telah berlangsung di Kampung Belimbing Dalam, Parlimen Alor Gajah dan Kampung Tanah Merah, Krubong dalam Parlimen Tangga Batu.

Turut serta dalam ziarah ini ialah Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail, Timbalan Pesuruhjaya-2 PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman, Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Melaka, Mohsin Ibrahim, Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu, Rafie Ahmad bersama-sama dengan beberapa orang lagi pimpinan PAS tempatan.

Hujan lebat beserta ribut yang berlaku pada petang Isnin lepas telah merosakkan banyak rumah di beberapa tempat dalam Negeri Melaka.