Home Naib Presiden 1

Revolusi Anti Rasuah, Mesti Fokus Politik Wang

2,548 views
SHARE

Tahniah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melancarkan Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) di seluruh negara.

Menerusi Gerah, seramai 2,000 anggota dan pegawai SPRM akan digerakkan ke seluruh negara setiap bulan untuk mendekati rakyat.

Malaysia merosot dalam kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2016, daripada tangga 54 kepada 55 daripada 176 buah negara.

Ini merupakan usaha yang baik dan penghormatan perlu diberi kepada SPRM yang tekun dan bersungguh-sungguh untuk membasmi rasuah. Rasuah merupakan musuh nombor wahid. Masalah dadah, senjata api diseludup, minyak diseludup, barang-barang bersubsidi diseludup, sempadan diceroboh, projek untuk rakyat tidak berkualiti, dadah di dalam lokap dan banyak lagi jika kita mahu senaraikan. Semuanya berpunca daripada rasuah.

Rasuah ada kaitan dengan kuasa politik. Apabila kuasa dianggap untuk mengumpulkan kekayaan maka inilah yang terjadi. Mereka yang ada kuasa merupakan lubuk emas untuk melakukan rasuah melainkan mereka yang takut kepada pembalasan Allah SWT.

Parahnya rasuah di negara ini apabila munculnya gejala politik wang di dalam pemilihan parti lagi. Saya masih ingat Tun Dr Mahathir pernah menangis ketika beliau menjadi Presiden umno, kerana gagal mengatasi masalah politik wang di dalam parti. Bukan sahaja beliau menangis malahan beliau berdoa di dalam persidangan Agung umno supaya umno selamat daripada politik wang. Semuanya itu hanyalah ilusi sahaja.

Bahayanya politik wang di dalam pemilihan parti dan pilihanraya umum akan membawa kepada gejala rasuah. Mereka yang bertanding perlukan modal untuk mempertahankan jawatan, akhirnya akan ada pelabur-pelabur politik yang berani melabur kerana ini adalah pelaburan pasaran hadapan. Apabila calon yang dibantu menang maka di situlah dividen segera akan diperolehi melalui projek yang mengorbankan dana awam. Akhirnya mereka menjadi wakil tauke, bukan lagi wakil rakyat.

Oleh itu SPRM kena serius jika benar hendak memerangi rasuah dengan memantau pemilihan parti yang ada aduan rasuah dan juga rasuah ketika kempen pilihanraya umum.

Perlu diingat pegawai kerajaan yang ditangkap bersama wang rasuah, adakah mereka berani berbuat demikian tanpa ada arahan daripada orang atasan mereka. Bimbang mereka hanya dijadikan kuda tunggangan sahaja. SPRM mesti korek sehingga ke lubang cacing jika ia melibatkan jerung-jerung yang berkuasa.

SPRM mesti diberi kuasa mendakwa, bukan sahaja kuasa menyiasat jika mahu melihat negara ini bebas daripada rasuah. Jika tidak segala usaha ini akan menjadi fatamorgana.

Hj Idris Hj Ahmad
11 Sya’ban 1438/ 8 Mei 2017

{jathumbnail off}