Home Melaka

Rencana | Tubuh agensi khas analisa isu kenaikan harga

77
SHARE

Oleh IBNU JANIE

KENAIKAN harga alat ganti kereta, bahan binaan dan makanan yang sedang berlaku kini benar-benar meresahkan rakyat. Rakyat bertanya, apa tindakan kerajaan untuk membantu? Apa tindakan pro-aktif kerajaan dalam mengatasi perkara ini?

Penulis berpendapat untuk mengatasi masalah ini, pertama sekali kerajaan harus meningkatkan lagi senarai barang-barang yang dimasukkan dalam barangan kawalan sekiranya benar-benar mahu menjaga kebajikan rakyat.

Apa sahaja barangan yang menjadi keperluan asas rakyat yang bukan barangan mewah perlu dikawal harganya. Penulis melihat ada empat kategori penting barangan asas yang harus dikawal harganya oleh kerajaan. Pertama, barangan makanan; kedua, barangan keperluan rumah; ketiga, barangan berkaitan binaan; keempat, barangan berkaitan pengangkutan.

Maksud ‘asas’ ini ialah item-item dalam lingkungan keperluan masyarakat B40. Sebagai contoh minyak petrol; kereta berharga di bawah RM100 ribu
dan alat gantinya; dan bahan binaan asas yang untuk membina rumah.

Sungguh pun begitu kerajaan tidak wajar pula untuk mengawal semua item termasuk barang mewah untuk mengelakkan ekonomi terbantut. Jika semuanya dikawal ia sudah umpama siatem ekonomi komunis pula.

Perkara kedua yang harus dilakukan kerajaan untuk menyelesaikan isu kenaikan harga ini ialah mewujudkan satu agensi khas yang sentiasa membuat kajian berterusan terhadap perubahan harga yang berlaku terhadap barangan makanan, keperluan rumah, binaan dan pengangkutan asas ini.

Dengan ini sebarang kenaikan yang berlaku samada secara tinggi mendadak atau kenaikan yang sedikit tetapi kerap dan berterusan dapat dikesan lebih awal.

Selama ini Jabatan Perangkaan Malaysia adalah pihak yang bertanggungjawab bagi mencerap harga barangan yang termasuk di dalam ‘bakul perbelanjaan’ rakyat Malaysia untuk mengukur inflasi. Namun tugas mereka hanya mengutip data untuk dilaporkan.

Selain itu agensi yang ditubuhkan ini juga harus mengenalpasti samada kenaikan itu disebabkan oleh kenaikan dalam kos pengeluaran atau pun bukan. Tindakan yang harus dilakukan oleh kerajaan mestilah berbeza berdasarkan puncanya.

Sekiranya kenaikan itu bukan disebabkan oleh kos pengeluaran tetapi hanya kerana peniaga mengambil kesempatan daripada peningkatan permintaan atau kekurangan penawaran maka kerajaan boleh terus masuk campur dan mengarahkan harga diturun atau dikekalkan.

Jika kenaikan itu disebabkan oleh peningkatan dalam kos maka kerajaan harus mencari punca kenaikan kos itu dan berusaha menurunkannya. Contohnya sekiranya harga ayam dinaikkan oleh pengeluaran kerana berlaku kenaikan dalam harga makanan ayam, maka kerajaan perlu mengenalpasti mengapa harga makanan ayam naik.

Katalah kenaikan itu disebabkan oleh makanan ayam itu diimport dan dalam masa yang sama nilai Ringgit jatuh, kerajaan mungkin terpaksa memberi subsidi kepada pengeluar atau mencari alternatif untuk kilang-kilang tempatan memproses sendiri makanan ayam dengan bahan tempatan yang lebih murah.

Walau pun punca sesuatu kenaikan adalah samada kerana peningkatan kos atau sengaja dinaikkan namun ada situasi kenaikan sesuatu barang yang sama mempunyai sebab berbeza mengikut saluran pengedaran.


Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bertarikh 9 Mei 2022

Sebagai contoh, katalah pengilang tidak menaikan harga, tetapi pemborong menaikan harga untuk mendapat untung lebih. Maka peruncit mendapat produk ini daripada pemborong dengan harga yang mahal.

Jadi masalah berpunca pada pemborong yang menaikan harga bukan kerana kenaikan kos. Namun pada peruncit kenaikan ini kerana peningkatan kos. Jika kerajaan memaksa peruncit menurunkan harga, ia tidak wajar. Tetapi kerajaan boleh mengarahkan pemborong menurunkan harga kerana di situ timbulnya masalah.

Agensi ini juga boleh memanggil pemain-pemain industri untuk berbincang sekiranya berlaku kenaikan harga atau timbul masalah yang ketara disebabkan oleh peningkatan tiba-tiba dalam kos pengeluaran. Hakikatnya kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya menguatkuasakan kawalan harga tanpa mengetahui punca sebenar kenaikan itu.

Sebelum ini pun kita biasa hadapi situasi GLC milik kerajaan seperti syarikat bekalan air atau TNB terpaksa menaikkan caj mereka kerana peningkatan kos pengeluaran dengan alasan keramat ‘kenaikan harga tidak dapat dielakkan’. Bagaimana kita mahu memaksa peniaga menurunkan harga begitu sahaja sedangkan mereka sedang menghadapi masalah yang sama?

Sekiranya tindakan yang diambil oleh kerajaan tanpa mengenalpasti puncanya maka ia tidak akan menyelesaikan masalah. Malah akan sentiasa menimbulkan masalah baharu umpama ‘gali lubang untuk tutup lubang’ sahaja. Dan sampai masa akan ‘check-mate’ juga.

Penulis adalah Ketua Editor Pusat, Portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita, Jabatan Penerangan PAS Melaka

(Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bertarikh 9 Mei 2022)