Home PAS Pusat

Rencana | Skim Jumper : Pembentukan usahawan siswazah biar dari kecil

85
SHARE
Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar

Oleh IBNU JANIE

PENULIS tertarik membaca satu laporan berita berkaitan dengan program keusahawan untuk siswazah ‘Jom Jadi Perantis’ (Jumper) anjuran Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) baru-baru ini. PUNB adalah sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).

Dalam laporan itu Menteri MEDAC, Tan Sri Noh Omar berkata skim Jumper ini perlu ditambahbaik dan tidak hanya memberi geran sebanyak RM10 ribu dan elaun sara hidup sebanyak RM1200 sebulan selama lapan bulan. Menurut beliau, mereka sepatutnya diberi satu nilai yang lebih besar yang mereka perlukan, dengan menyebut nilai RM140 ribu sebagai contoh.

Sebagai seseorang yang pernah terlibat dengan program pembangunan usahawan siswa semasa mengajar di kolej dahulu penulis berasa amat terpanggil untuk memberikan pendapat.

Dan tanpa rasa malu, sebagai seorang yang pernah gagal dalam perniagaan, penulis melihat sebenarnya ada satu kunci yang paling penting dalam mengurangkan risiko kegagalan ketika memulakan perniagaan yang senang dibuat namun tidak ramai yang mahu melakukannya. Kunci itu ialah ‘bermula kecil’.

Penulis berpendapat pinjaman bernilai ratusan ribu Ringgit untuk siswazah yang baru berjinak-jinak dengan perniagaan adalah satu jumlah yang sangat besar untuk mereka uruskan.

Ini bukan soal ‘underestimate’ kemampuan mereka. Tetapi kita harus tahu dunia keusahawanan tidak dinilai dengan kemampuan akademik. Seseorang yang dapat CGPA 4.0 pun belum tentu boleh berjaya dalam perniagaan.

Dunia keusahawanan adalah dunia yang pelik dan tidak berstruktur. Ia memerlukan tempoh yang panjang untuk seseorang usahawan itu memahami dan menguasai selok-belok perniagaannya sendiri.

Dengan wang yang banyak usahawan-usahawan siswazah ini cenderung untuk menghadapi masalah gagal mengesan jika perniagaan mereka sedang menghadapi masalah kerana mereka sentiasa mampu menampung kos-kos yang terpaksa mereka keluarkan.

Jika seseorang usahawan itu bermain-main dengan modal kecil dahulu dan mengalami kerugian semasa mereka cuba memahami perniagaan mereka, itu adalah lebih baik.

Percubaan untuk melakukan sesuatu perniagaan yang kita lakukan itu sebenarnya adalah satu pembelajaran untuk kita mengenalpasti adakah usaha kita itu boleh berjaya atau tidak. Selepas kita melaluinya, baru kita tahu. Jika berjaya, tentulah okay. Tetapi jika tidak berjaya sudah pasti ia menyebabkan kerugian.

Kerugian yang ditanggung akibat percubaan itu adalah harga yang perlu dibayar untuk kita tahu samada tindakan kita menjalankan sesuatu perniagaan atau menjual sesuatu produk itu betul atau salah.

Sebagai contoh, jika kita menanggung kerugian sebanyak RM50 ribu kerana perniagaan kita yang gagal itu, maka harga yang kita bayar untuk kita tahu bahawa ia tidak boleh dilakukan ialah RM50 ribu.

Rencana ini disiarkan di Harakah cetak bertarikh 11 Februari 2022.

Jadi, dalam keadaan ia masih belum pasti, kurangkan kemungkinan kerugian dengan tidak menggunakan wang yang banyak untuk sesuatu percubaan yang belum pasti itu.

Sebenarnya semua orang tahu bahawa jika kita bermula kecil ia memang selamat untuk memulakan perniagaan. Namun kerana naluri manusia yang biasanya tidak sabar untuk mengejar kekayaan menyebabkan formula ini sukar untuk dilakukan.

Persepsi bahawa golongan siswazah ini golongan berprestij, maka mereka harus membuka perniagaan yang besar-besar, perlu ada pejabat yang sempurna, kedai yang cantik di kompleks perniagaan, tambah menyukarkan formula mudah ini untuk dipraktikkan oleh golongan ini.

Lot-lot kedai di kompleks membeli-belah (Gambar hiasan – Kredit Foto : Google)

Selain itu, golongan usahawan siswazah yang mengharapkan bahawa mereka akan terus menjana keuntungan bersih daripada keuntungan mereka sama seperti gaji yang diperolehi rakan-rakan mereka yang bekerja makan gaji juga menyebabkan mereka tidak mahu bermula kecil.

Usahawan siswazah harus faham bahawa mereka terpaksa berkorban dan bersusah payah pada peringkat awal perniagaan. Mungkin pendapatan mereka akan jadi berpuluh kalu ganda daripada rakan-rakan mereka yang makan gaji setelah berjaya nanti.

Bagi penulis sekiranya PUNB ingin mengubah skim Jumper ini untuk memberikan jumlah pinjaman yang lebih besar maka ia perlu diberi secara berperingkat.

Sebagai contoh, untuk permulaan mereka akan diberi pinjaman sebanyak RM30 ribu. Selepas mereka telah menunjukkan kejayaan barulah mereka akan diberi tambahan modal lagi. Ia dapat mengurangkan risiko NPL untuk PUNB dan risiko menanggung hutang yang besar pada siswazah.

Penulis adalah Editor Berita PAS Melaka dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka.