Home Melaka

Rencana | Siapa selepas Mat Kilau?

250
SHARE

Oleh IBNU JANIE

RM23 JUTA kutipan dalam tempoh tujuh hari tayangan! Itu pencapaian terkini filem biopik ‘Mat Kilau, Kebangkitan Pahlawan’ arahan Syamsul Yusof, sehingga rencana ini ditulis (minggu pertama tayangan)

Pada pandangan penulis, sekadar sentimen dan semangat semata-mata tidak dapat membawa penonton ke panggung wayang untuk menonton sesebuah filem patriotik sekiranya filem itu sendiri tidak berkualiti.

Filem Mat Kilau telah membuktikan bahawa ia adalah filem yang mempunyai pakej, yang bukan hanya sekadar memaparkan sosok tokoh pahlawan yang bernama Mat Kilau itu semata-mata. Malah ia telah mewujudkan fenomena ‘demam Mat Kilau’.

Sebelum ini penulis pernah menulis beberapa rencana berkaitan dengan kurangnya filem-filem bercorak biopik-patriotik-sejarah seperti filem Mat Kilau ini di negara kita.

Penulis juga gemar membandingkan Malaysia dengan negara jiran Indonesia yang memang terkenal dengan filem-filem genre ini bagi membangkitkan semangat patriotik rakyat mereka terutama ketika menjelang hari kemerdekaan negara mereka.

Daripada kajian penulis terdapat hanya sekitar 22 buah filem yang boleh dikategorikan sebagai sejarah dan patriotik semenjak Merdeka pada tahun 1957 sehingga hari ini yang diterbitkan di Malaysia. Dan daripada 22 buah filem itu hanya sepuluh sahaja filem yang merupakan kisah sebenar peristiwa atau pun tokoh.

Sepuluh filem kisah benar itu ialah Bukit Kepong (1981), Leftenan Adnan (2000), Tanda Putra (2013), Bravo Lima (2014), Kanang Anak Langkau (2017), Malay Regiment (2017), Lee Chong Wei (2018), Rise-Ini Kalilah (2018), Mahathir The Journey (2021) dan Mat Kilau (2022).

Belanja besar terbit filem epik sejarah

Filem Mat Kilau ini menelan belanja yang sangat besar iaitu sebanyak RM8 juta. Hakikatnya memang tidak dapat dinafikan bahawa pembikinan filem epik seperti ini memerlukan belanja yang sangat besar.

Rencana ini juga disiarkan di ruangan Komen Editor, Harakah cetak bertarikh 4 Julai 2022

 

Itu antara faktor yang menyebabkan tidak ramai penerbit yang sanggup membikin filem epik sejarah seperti ini. Malah sesetengah filem seperti ini mendapat geran daripada kerajaan untuk menampung sebahagian kosnya yang sangat besar.

Filem Bukit Kepong, sebagai contoh, menelan belanja RM1.3 juta. Satu jumlah yang sangat besar pada waktu itu. Malah filem itu juga diiktiraf sebagai filem termahal dekad 80an. Namun berbaloi dengan kutipan tiket sebanyak RM1.7 juta. Begitu juga dengan filem Leftenen Adnan yang menelan belanja RM2.5 juta dan berjaya menghasilkan kutipan sebanyak RM4.8 juta.

Namun ada juga antaranya yang gagal mencapai kutipan yang memberangsangkan. Antaranya ialah filem Tanda Putra yang menelan belanja RM4.7 juta, namun kutipan hanya sekitar RM930 ribu. Begitu juga dengan filem ‘Rise Ini Kalilah’ yang menelan belanja RM2 juta, namun hanya mendapat kutipan RM58 ribu. Ini yang menakutkan penerbit.

Filem naratif berat sebelah

Penulis melihat bahawa faktor sesuatu filem sejarah itu yang bersifat sangat berat sebelah mungkin menjadi punca yang menyebabkan filem Tanda Putra yang sangat pro-Umno dan Rise Ini Kalilah yang sangat pro-PH gagal mendapat kutipan tiket yang baik.

Penulis melihat bahawa adalah sangat penting untuk sesuatu filem itu tidak memihak kepada mana-mana secara berlebihan. Boleh memihak, tetapi tidak boleh berlebihan sehingga dilihat berat sebelah.

Sesebuah filem itu memang tidak wajar untuk menutup sesuatu kesalahan yang memang terekod oleh sejarah, namun ia perlu diolah agar tidak terlalu meletakkan watak seseorang tokoh yang menjadi ‘watak jahat’ itu sehingga ke ‘tapak kaki.’

Ini adalah kerana filem-filem kisah benar ini juga akan ditonton oleh penyokong dan ahli-ahli keluarga ‘tokoh jahat’ yang ceritanya sedang dipaparkan di layar perak tersebut.

Bercakap tentang soal ini, penulis sangat mengkagumi pengolahan sebuah filem sejarah Indonesia, iaitu ‘Di Balik 98’ (2015). Filem ini mengisahkan tentang pergolakan politik tahun 1998 di Indonesia antara kerajaan dan rakyat.

Penulis melihat filem arahan Lukman Sardi ini digarap dengan begitu baik sekali dengan memberikan layanan seimbang terhadap tiga entiti yang terlibat di dalam konflik iaitu Soeharto dan kerajaannya; tentera; dan para demonstran.

Filem ini mengisahkan watak seorang mahasiswi yang merupakan seorang demonstran yang menuntut Presiden Indonesia ketika itu, Soeharto untuk meletak jawatan. Kakak kepada mahasiswi tersebut adalah seorang kakitangan Istana Presiden manakala abang iparnya adalah anggota tentera Indonesia (ABRI).

Sungguh pun ABRI pada masa itu dikatakan banyak melakukan keganasan kepada para demonstran namun dalam filem ini digambarkan betapa watak abang ipar kepada watak mahasiswi tersebut sebenarnya tersepit antara tugas dan kemanusiaan dan bukan mereka gembira untuk menjadi ganas.

Walau pun filem itu tidaklah memutar fakta sehingga menjadikan Soeharto yang sarat dengan tuduhan korupsi itu sebagai bersih, namun filem itu berjaya memaparkan emosi kesedihan ahli keluarga dan penyokong Soeharto semasa beliau meletak jawatan di samping tetap memaparkan kegembiraan rakyat yang membenci Soeharto.

Pada pendapat penulis untuk mengelakkan daripada berlaku sentimen politik terhadap seseorang tokoh yang ingin difilemkan itu, mungkin pada masa ini lebih baik untuk menumpukan pada tokoh-tokoh pejuang pra-kemerdekaan yang tidak menggambarkan mana-mana parti politik.

Datuk Dol Said

Menarik juga jika kita meneliti di media-media sosial, netizen sudah mula mencadangkan tokoh-tokoh lain untuk difilemkan. Banyak lagi tokoh-tokoh pejuang yang boleh difilemkan. Mungkin Tok Janggut, Datuk Maharajalela, Wan Mat Saman, Tunku Kudin, Ngah Ibrahim, Long Jaafar, Kiyai Salleh, Si Bongkok, Haji Abdul Rahman Limbong. Sebagai anak Melaka penulis mahu kisah Datuk Naning Dol Said difilemkan.

Atau kita boleh menampilkan tokoh-tokoh ketenteraan kita yang berjuang menentang komunis yang mungkin tidak terkenal dalam kalangan orang ramai yang selalu kita sebut sebagai wira tak didendang. Inilah masanya wira-wira ini kita dendangkan.

Jadi, siapa selepas Mat Kilau?

Penulis adalah Editor Harakah, Ketua Editor Pusat, Portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita, Jabatan Penerangan PAS Melaka