Home Melaka

Rencana | Sampai bila nak ‘terpekik terlolong’ dalam Dewan?

787
SHARE

Oleh IBNU JANIE

BARU-BARU ini semasa berbual-bual dengan Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin, kami ada membincangkan tentang gejala kurangnya adab sopan dalam kalangan ahli politik terutama ketika kempen pilihan raya dan semasa berbahas di dalam Dewan samada Dewan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

Dalam perbincangan itu, penulis ada mencadangkan pada beliau agar semua Ahli Parlimen Perikatan Nasional supaya menghentikan gejala ‘terpekik-terlolong’ dalam Dewan yang banyak berlaku pada Ahli-ahli Parlimen daripada sesetengah parti pada masa ini.

Bagi penulis gejala ini perlu dihentikan memandangkan ianya tidak mencerminkan budaya yang baik, lebih-lebih lagi dalam kalangan wakil-wakil rakyat yang digelar Yang Berhormat, seharusnya mereka tidak berkelakuan sebegitu.

Dalam membincangkan perkara ini penulis suka mengambil contoh bagaimana perbahasan dalam Parlimen negara jiran kita Singapura. Walau pun sebagai orang Melayu yang pasti mempunyai sejarah kekecewaan kita apabila negara pulau itu bukan lagi milik kita, namun bagi penulis ada banyak juga perkara dari Singapura yang boleh kita jadikan teladan.

Gambar hiasan (Kredit foto : Google)

 

Terus terang penulis memang tidak pernah ke Singapura. Penulis banyak membuat rujukan tentang Singapura melalui internet dan juga melalui kenalan-kenalan yang bekerja atau warganegara kepada negara itu. Jika ada maklumat yang penulis jadikan rujukan dalam tulisan ini kurang tepat, mohon diperbetulkan.

Daripada pemerhatian penulis di Youtube penulis dapati bahawa perbahasan di Parlimen Singapura adalah yang paling sopan penulis pernah lihat.

Jika kita lihat dalam banyak video-video perbahasan tersebut kita dapat saksikan tidak berlaku sorak-menyorak atau sampuk-menyampuk apabila seseorang wakil rakyat sedang berbahas dengan menteri.

Semuanya berlaku dalam keadaan yang sangat tertib. Siapa yang bercakap mereka akan bercakap sehingga selesai tanpa diganggu. Setiap orang yang terlibat dalam perbahasan akan boleh bersoal-jawab dengan sangat tertib.

Yang pasti, bagaimana tegang sekali pun perdebatan itu Ahli-ahli Parlimen lain akan diam dan sedikit pun tidak menyampuk atau bersorak samada untuk menyokong atau membantah apa yang sedang dibahaskan oleh wakil rakyat yang sedang berucap.

Bagi penulis bukan mudah untuk mengubah perkara ini di Malaysia namun ia boleh dimulakan dengan Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional.

Sebenarnya mereka yang suka terpekik terlolong di dalam Dewan ini mereka berasakan bahawa tindakan mereka ini akan dipandang tinggi oleh orang ramai yang melihat aksi mereka. Mereka beranggapan bahawa orang ramai akan kagum dengan keberanian mereka melakukan aksi itu di dalam Dewan.

Wakil-wakil rakyat seperti ini fikir bahawa orang ramai akan menghormati mereka sebagai wira atau hulubalang yang gagah berani mempertahankan parti mereka di dalam Dewan.

Namun sebagai ahli politik kita tidak harus melihat dari sudut yang sempit sahaja iaitu berkaitan dengan apa yang disukai oleh ahli parti sendiri. Lebih dari itu kita harus melihat kepada orang ramai iaitu rakyat Malaysia secara keseluruhan.

Kita harus mengambilkira apa yang difikirkan oleh orang ramai apabila melihat wakil-wakil rakyat mereka berkelakuan seperti ‘beruk’ di dalam Dewan yang selalu mereka sebut sebagai ‘Dewan yang mulia’.

Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak Edisi bertarikh 26 Disember 2022

 

Penulis teringat filem Suci Dalam Debu (1992) yang dilakonkan oleh Sidi Oraza, dan kumpulan Iklim. Dalam filem tersebut Sidi Oraza membawa watak Roy seorang graduan yang pulang dari belajar di luar negara.

Sebaik sampai di Kuala Lumpur, Roy tidak pulang ke rumah orang tuanya, tetapi dia tinggal di sebuah rumah sewa dan berkawan rapat dengan ahli kumpulan Iklim dan hidup berfoya-foya dengan gaya ‘rockers’.

Satu ketika apabila Roy cuba untuk memikat seorang wanita dan ditolak, dia mula terfikir adakah cara hidup yang dia lalui itu memberi kebaikan kepadanya atau pun tidak.

Kerana kecewa dengan kehidupannya itu, satu ketika Roy bertengkar dan hampir bergaduh dengan ahli kumpulan Iklim apabila Roy berkata “kau orang kata KL ‘respect’ kau orang. Tapi kau orang tak tahu KL pandang kau orang macam sampah!”.

Pada waktu ini pun sudah ramai orang yang sudah mula memandang rendah pada kerjaya Ahli Dewan ini disebabkan sikap ini. Jangan sampai satu hari nanti rakyat terus hilang hormat pada kerjaya ini.

Penulis adalah Wartawan Harakah, Ketua Editor Pusat bagi Portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka.

 

Para penyumbang yang budiman. Keseluruhan projek ini iaitu membina sebuah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat; sebuah bangunan tandas dan membaik pulih bangunan asal sedia ada semuanya bernilai RM900 ribu.

Buat masa ini sedang disiapkan ialah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat yang bernilai RM450 ribu daripada jumlah keseluruhan RM900 ribu.

Pada masa ini pihak kami sangat memerlukan sebanyak RM180 RIBU bagi meneruskan pembinaan dewan terbuka ini untuk MEMBELI STRUKTUR BESI SEBERAPA CEPAT YANG BOLEH untuk menyiapkan dewan terbuka ini. Kami memohon dan merayu sumbangan tuan-tuan dan puan-puan untuk tujuan ini.

Para dermawan yang sudi untuk menghulurkan sumbangan boleh menyumbang kepada akaun Bank Rakyat – PAS Kawasan Masjid Tanah di nombor akaun 1101 6481 22.

Sebarang informasi, para penderma boleh berhubung dengan Ustaz Imran sendiri di talian 019-680 6707 atau Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kompleks, Jamarudin Ahmad di talian 012-697 2328 atau Bendahari Jawatankuasa Pembinaan, Ustaz Azmi Sambul di talian 013-378 4729.

JAWATANKUASA PEMBINAAN KOMPLEKS PAS KAWASAN MASJID TANAH