Home Melaka

Rencana | Pertukaran Ketua Menteri Melaka dan teori domino kejatuhan Umno

717
SHARE

Oleh IBNU JANIE

PEREBUTAN’ jawatan Ketua Menteri (KM) Melaka antara Datuk Seri Utama (DSU) Sulaiman Md Ali dengan Pengerusi Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sudah menjadi rahsia terbuka terutama kepada seluruh rakyat Melaka.

DSU Sulaiman mula diangkat sebagai KM Melaka pada 9 Mac 2020 selaras dengan perubahan politik di peringkat Persekutuan selepas ‘Langkah Sheraton’.

Pada masa itu Pengerusi Perhubungan Umno Melaka, DS Rauf dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad bukan ADUN. Dan pada masa itu DS Sulaiman adalah ADUN Umno yang memegang jawatan paling kanan sebagai Setiausaha Perhubungan.

Semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke 15, DS Sulaiman telah diangkat sebagai ‘poster boy’ BN untuk pilihan raya tersebut walau pun DS Rauf adalah Pengerusi Perhubungan.

Situasi ini hampir sama dengan BN di peringkat Persekutuan apabila Dato’ Sri Ismail Sabri dan bukannya Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menjadi poster boy BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.


Ini susulan pada waktu itu kebimbangan BN bahawa jika DS Rauf yang diangkat sebagai poster boy kemungkinan BN akan kecundang. Sama seperti di Persekutuan pada PRU15, mereka bimbang jika DS Zahid yang jadi poster boy BN akan ditolak rakyat.

Selepas BN menang besar dalam PRN Melaka pada November 2021 dan membentuk kerajaan, DS Rauf sudah pun berjaya menempatkan dirinya sebagai ADUN Tanjung Bidara seterusnya melayakkan beliau untuk menjadi KM Melaka baharu.

Jika kita masih ingat lagi, betapa seusai keputusan PRN diumumkan Sulaiman telah mengangkat sumpah di hadapan TYT Yang di-Pertua Negeri pada hampir jam 1 pagi 21 November 2021 sehingga menjadi bahan bualan dalam kalangan orang ramai.

DS Rauf dikatakan kecewa dengan kejadian itu kerana beliau dikatakan memang berhasrat untuk menjadi KM. Namun BN pada masa itu bimbang jika berlaku pertukaran seolah-olah rakyat ditipu dengan fungsi poster boy BN pada pilihan raya itu. Sejak itu usaha untuk ‘mencantas’ Sulaiman daripada jawatan KM terus berjalan.

DS Rauf ada ‘advantage’ sebagai Pengerusi Perhubungan dalam PRN lepas dengan menggantikan calon-calon BN dengan orang-orang kepercayaan beliau tetapi bukan 100 peratus. Masih ada lagi dalam kalangan ADUN-ADUN ini yang lebih memihak kepada DSU Sulaiman walau pun jumlahnya tidak ramai.

Usaha untuk menukar KM masih berisiko sebelum ini kerana kedudukan BN adalah sebanyak 21 daripada 28 kerusi DUN dengan 15 kerusi diperlukan untuk majoriti mudah. BN bimbang juga jika DS Sulaiman ‘buat hal’ BN boleh hilang kerajaan atau terpaksa berhadapan PRN lagi.

Mungkin dengan tambahan kekuatan lima orang lagi ADUN PH-DAP hasil persekongkolan BN dan PH-DAP selepas PRU15 memberi kekuatan baru kepada BN Melaka untuk menukar KMnya kali ini. Mungkin ada jawatan Exco untuk PH-DAP nanti.

Kedudukan DS Rauf juga sebenarnya bertambah kuat apabila Ketua-ketua Bahagian Umno dalam Negeri Melaka yang terpilih pada pemilihan Umno baru-baru ini dikatakan semuanya kini adalah ‘orang Rauf’.

DS Zahid pula terdesak untuk menjadikan Melaka benar-benar sebuah ‘Kerajaan Perpaduan’ yang ada PH-DAP. Walau pun ia belum dilaksanakan di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, namun ia kerana mereka bakal berdepan PRN 15 tidak lama lagi. Tetapi Melaka sudah pun melaluinya dan ada lebih tiga tahun lagi ke PRN seterusnya.

Pada masa ini ADUN-ADUN PH-DAP memegang status ADUN kerajaan dan menerima peruntukan dan kemudahan sama dengan ADUN BN, cuma tidak ada yang dilantik sebagai Exco.

Turunnya DSU Sulaiman mengecewakan ramai rakyat Melaka yang selama ini sangat sayangkan beliau yang dilihat mesra rakyat dan tidak sombong.

Mungkin juga semua ini adalah termasuk dalam ‘grand design’ halatuju Umno oleh Zahid yang berpegang pada prinsip ‘buang yang jernih, ambil yang keruh’ yang akan menjadi anai-anai yang akan meruntuhkan Umno.

BN menang pada PRN Melaka ke 15 dahulu pun semata-mata hanya kerana peratusan keluar mengundi sangat rendah akibat Covid-19. Mungkin juga DS Rauf akan menjadi KM Melaka terakhir dari Umno-BN jika teori domino ini benar-benar berlaku.

Penulis adalah Wartawan Harakah, Ketua Editor Pusat bagi Portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka


Rencana ini juga disiarkan di ruangan Komen Editor, Harakah cetak Edisi Isnin bertarikh 3-6 April 2023

 

Para penyumbang yang budiman. Keseluruhan projek ini iaitu membina sebuah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat; sebuah bangunan tandas dan membaik pulih bangunan asal sedia ada semuanya bernilai RM900 ribu.

Buat masa ini sedang disiapkan ialah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat yang bernilai RM450 ribu daripada jumlah keseluruhan RM900 ribu.

Pada masa ini pihak kami sangat memerlukan sebanyak RM180 RIBU bagi meneruskan pembinaan dewan terbuka ini untuk MEMBELI STRUKTUR BESI SEBERAPA CEPAT YANG BOLEH untuk menyiapkan dewan terbuka ini. Kami memohon dan merayu sumbangan tuan-tuan dan puan-puan untuk tujuan ini.

Para dermawan yang sudi untuk menghulurkan sumbangan boleh menyumbang kepada akaun Bank Rakyat – PAS Kawasan Masjid Tanah di nombor akaun 1101 6481 22.

Sebarang informasi, para penderma boleh berhubung dengan Ustaz Imran sendiri di talian 019-680 6707 atau Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kompleks, Jamarudin Ahmad di talian 012-697 2328 atau Bendahari Jawatankuasa Pembinaan, Ustaz Azmi Sambul di talian 013-378 4729.

JAWATANKUASA PEMBINAAN KOMPLEKS PAS KAWASAN MASJID TANAH