Home Rencana PAS Pahang

RENCANA | Pentingnya ‘Tarbiyah Ruhiyah’ dalam ‘Harakah Islamiyah’

2962
SHARE

OLEH: FARIDAH KAMARUDDIN

Tarbiyah Ruhiyah amat penting kepada pendukung gerakan Islam kerana ianya sebagai benteng kepada cabaran-cabaran yang akan ditempuhinya. Tanpanya boleh menjerumuskannya ke dalam golongan orang-orang yang gugur di dalam jalan dakwah.

Oleh itu para pendakwah dan pejuang Islam mestilah melengkapkan dirinya dengan proses pentarbiyahan seperti berikut:

Ilmu (Alim)

Ilmu merupakan pelita kepada kehidupan. Tanpanya bagaimana mahu mendekatkan diri kepada Allah SWT. Dalam proses pengabdian kepada Allah SWT memerlukan kepada pemahaman ilmu yang benar.

Kurangnya ilmu ditakuti akan disesatkan oleh syaitan dan hawa nafsu sendiri. Nabi-nabi dan rasul-rasul sendiri dibekalkan dengan ilmu (fatanah) yang menjadikan hidup mereka terarah dan terbimbing.

Oleh itu para pendakwah perlulah melengkapkan diri dengan aspek keilmuan agar mereka sentiasa terdidik dan mampu membezakan antara kehendak Allah SWT  dan kehendak syaitan.

Ilmu mestilah diambil dan dipelajari dari guru yang mursyid, yang mampu menjadikan kata-katanya sebagai perbuatan dan amalan harian hidup mereka.

Amal di medan (Haraki)

Ilmu yang diperolehi perlu disebar luaskan dan disampaikan melalui medan dakwah dalam masyarakat.

Mendekatkan diri kepada Allah SWT (Sufi)

Mempergunakan ilmu yang dipelajari untuk mengamalkan amalan-amalan sunnah seperti solat sunat, bangun solat malam, puasa sunat, membaca al-Quran, sedekah, berdoa, berzikir pagi petang dan macam-macam lagi amalan sunnah yang selalu dilakukan oleh Rasulullah SAW.

JENTERA GERAKAN ISLAM MESTI MEMILIKI CIRI-CIRI KEIMANAN

Allah SWT menerangkan ciri-ciri keimanan ini dalam beberapa ayat-Nya, antaranya:

ٱلتَّٰٓئِبُونَ ٱلۡعَٰبِدُونَ ٱلۡحَٰمِدُونَ ٱلسَّٰٓئِحُونَ ٱلرَّٰكِعُونَ ٱلسَّٰجِدُونَ ٱلۡأٓمِرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَٱلنَّاهُونَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَٱلۡحَٰفِظُونَ لِحُدُودِ ٱللَّهِۗ وَبَشِّرِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ

(Mereka itu ialah): orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan, serta yang menjaga batas-batas hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat demikian). (At-Taubah:112)

Ciri-ciri keimanan dalam ayat di atas adalah:

1. At-Ta’ibun (orang-orang yang bertaubat)

Sifat pertama yang perlu wujud dalam diri para pendakwah atau jentera gerakan Islam ialah taubat. Para pejuang Islam haruslah lebih berhati-hati terhadap dosa dan maksiat dalam apa sahaja bentuknya.

Dosa-dosa yang dilakukan oleh diri mereka sendiri lebih wajar ditakuti daripada musuh-musuh mereka sendiri. Sekiranya berlaku sesuatu yang terkait dalam perbuatan dosa dan maksiat (sesuatu yang kemungkinan akan berlaku), mereka hendaklah bersegera memohon keampunan dan bertaubat kepada Allah SWT sebagaimana perintah Allah SWT dalam ayat-Nya;

۞وَسَارِعُوٓاْ إِلَىٰ مَغۡفِرَةٖ مِّن رَّبِّكُمۡ وَجَنَّةٍ عَرۡضُهَا ٱلسَّمَٰوَٰتُ وَٱلۡأَرۡضُ أُعِدَّتۡ لِلۡمُتَّقِينَ

Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. (Ali-Imran:133)

Keperluan para pejuang Islam mengawal dirinya dari melakukan maksiat hendaklah meliputi dosa-dosa kecil juga kerana membiasakan diri memandang remeh terhadap dosa-dosa kecil akan mendorong para pejuang Islam melakukan dosa-dosa besar.

Dengan kewaspadaan kita untuk tidak melakukan dosa sekecil apa pun, akan menyelamatkan kita dari kebinasaan dan dari terperangkap dalam melakukan dosa-dosa besar.

Untuk mewujudkan sifat Ta’ibun dalam diri para pejuang Islam dan para pendakwah, hendaklah meluangkan sedikit masa di mana ia dapat berbicara dengan dirinya, menilai (muhasabah), mengkritik, dan membersihkannya daripada karat-karat dosa.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam ayat-Nya;

وَنَفۡسٖ وَمَا سَوَّىٰهَا

فَأَلۡهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقۡوَىٰهَا

قَدۡ أَفۡلَحَ مَن زَكَّىٰهَا

وَقَدۡ خَابَ مَن دَسَّىٰهَا

Dan jiwa serta penyempurnaannya, maka Allah megilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan jalan ketaqwaan, sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang mensucikan jiwa itu dan seseungguhnya rugilah orang-orang yang mengotorinya. (As-Syams:7-10)

Sehubungan dengan itu para ulama berpendapat bahawa bertaubat dari setiap dosa adalah wajib.

Sekiranya maksiat dan dosa itu di antara manusia dengan Allah SWT maka taubat memerlukan tiga syarat, manakala dosa terhadap manusia memerlukan empat syarat iaitu:

i.   Meninggalkan dosa-dosa itu dan tidak lagi mengerjakannya.

ii.  Menyesali terhadap perbuatan dosa yang telah berlalu.

iii. Berazam tidak akan kembali melakukannya selama-lamanya.

iv. Sekiranya ia bersalah kepada manusia, ia perlu memohon kerelaan dari orang-orang yang ia pernah zalimi atau memulangkan hak yang pernah diambilnya.

2. Al-‘Abidun (orang-orang yang beribadat)

Satu lagi sifat yang harus menjadi amalan para anggota jamaah adalah suka beribadat kepada Allah SWT.

Manusia-manusia abid ialah mereka yang beribadah kepada Allah SWT dalam setiap gerak-geri dan tindak-tanduk, iaitu dengan perkataan dan perbuatan mereka supaya dengan itu mereka dapat memenuhi tujuan utama hidupnya sebagaimana firman Allah SWT;

وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ

Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku. (Az-Zariyat:56)

Apabila Allah telah menentukan matlamat hidup kita dan sasaran ibadah kita, maka kita akan berpegang teguh dengan segala perintah-Nya dalam setiap urusan hidup dan aktiviti hidup kita dan menjadikan kehidupan seluruhnya tergolong dalam ibadah kepada Allah SWT, sesuai dengan firman Allah;

قُلۡ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحۡيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ

Katakanlah, “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Al-An’am:162)

3. Al-Hamidun (orang-orang yang memuji Allah)

Al-Hamidun ialah golongan manusia yang hati-hati mereka sangat terkesan terhadap nikmat keimanan, hidayah dan rezki kurniaan Allah SWT kepada mereka.

Lidah-lidah mereka menyatakan kesyukuran dan puji-pujian sedangkan anggota tubuh mereka memberikan pengorbanan bagi mencari keredaan Allah SWT.

Firman Allah SWT:

Tetapi Kami jadikan Al-Quran itu laksana cahaya yang dengannya Kami tunjuki siapa yang Kami kehendaki diantara hamba-hamba Kami. Sesungguhnya kami benar-benar memberi petunjuk kepada jalan yang lurus. (As-Syura:52)

Sesungguhnya nikmat Allah SWT terhadap hamba-Nya tidak terhitung.

Ianya menjadi bukti atas kemurahan Allah SWT serta kasih sayang-Nya terhadap sekelian hamba-Nya. Bukti terima kasih dan syukur terhadap nikmat itu hanya dapat disempurnakan apabila seseorang itu mempergunakan segala nikmat itu dalam amal-amal yang diredai oleh Allah SWT.

فَٱذۡكُرُونِيٓ أَذۡكُرۡكُمۡ وَٱشۡكُرُواْ لِي وَلَا تَكۡفُرُونِ

Oleh itu ingatlah kamu kepada-Ku (dengan mematuhi hukum dan undang-undang-Ku), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan, dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur (akan nikmat-Ku). (Al-Baqarah:152)

Allah SWT akan meredai seseorang hamba-Nya yang memakan sesuatu makanan kemudian ia bersyukur di atas nikmat makanan itu, atau hamba-Nya yang meminum sesuatu minuman kemudian ia bersyukur atas nikmat minuman itu.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin, semua urusannya adalah baik baginya. Hal ini tidak didapatkan kecuali pada diri seorang mukmin. Apabila mendapatkan kesenangan, dia bersyukur, maka yang demikian itu merupakan kebaikan baginya. Sebaliknya apabila tertimpa kesusahan, dia pun bersabar, maka yang demikian itu merupakan kebaikan baginya.” (HR Muslim, no.2999)

4. As-Sa’ihun (orang-orang yang mengembara)

Mengembara di sini bermaksud pengembaraan diri, penglihatan, pemikiran, hati dan perasaan dengan melihat makhluk ciptaan Allah SWT di langit dan bumi.

Semua ciptaan Allah SWT ini memperlihatkan kepada mereka tentang keagungan dan kebesaran kekuasaan Allah SWT. Ini tentunya dapat memotivasikan mereka untuk mentaati Allah SWT dan beribadah kepada-Nya.

إِنَّ فِي خَلۡقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفِ ٱلَّيۡلِ وَٱلنَّهَارِ لَأٓيَٰتٖ لِّأُوْلِي ٱلۡأَلۡبَٰبِ

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Ali-Imran:190)

ٱلَّذِينَ يَذۡكُرُونَ ٱللَّهَ قِيَٰمٗا وَقُعُودٗا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمۡ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلۡقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ رَبَّنَا مَا خَلَقۡتَ هَٰذَا بَٰطِلٗا سُبۡحَٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah SWT semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka. (Ali-Imran:191)

Alangkah perlunya ahli-ahli jamaah mengembara meneliti kesan-kesan sejarah pertarungan di antara kebenaran dan kebatilan. Kemegahan pemerintah para taghut dan pemerintah yang zalim, akhirnya hancur berkecai apabila berhadapan dengan benteng Islam.

… فَسِيرُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَٱنظُرُواْ كَيۡفَ كَانَ عَٰقِبَةُ ٱلۡمُكَذِّبِينَ

Maka berjalanlah kamu di atas muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul). (An-Nahl:36)

Apabila seorang pendakwah meneliti rahsia setiap ciptaan Allah SWT, meneliti dalam dirinya, kehidupan sekelilingnya, pada air, udara, tumbuh-tumbuhan dan haiwan, pasti ia melihat keagungan dan kebesaran Allah SWT dalam perbezaan bahasa-bahasa manusia, warna kulit, perangai,  kecenderungan, keinginan dan rupa paras.

Keimanannya pasti akan lebih kukuh dan rasa takutnya terhadap Allah SWT makin tinggi. Begitu juga keimanannya akan semakin mendalam.

5. Ar-Raki’un dan As-Sajidun (orang-orang yang rukuk dan sujud)

Manusia yang sering rukuk dan sujud ialah golongan yang mengambil berat soal-soal ibadah, mengukuh dan memperbaiki hubungan dengan Allah SWT. Mereka ialah orang-orang yang begitu memelihara solatnya.

رِجَالٞ لَّا تُلۡهِيهِمۡ تِجَٰرَةٞ وَلَا بَيۡعٌ عَن ذِكۡرِ ٱللَّهِ وَإِقَامِ ٱلصَّلَوٰةِ وَإِيتَآءِ ٱلزَّكَوٰةِ يَخَافُونَ يَوۡمٗا تَتَقَلَّبُ فِيهِ ٱلۡقُلُوبُ وَٱلۡأَبۡصَٰرُ

(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan. (An-Nur:37)

Para pendakwah terutamanya pada zaman ini amat perlu membina hubungan rapat dengan Allah SWT sesuai dengan tangungjawab yang dipikul dan cabaran-cabaran besar yang merintangi perjalanan.

Kemenangan golongan As-Salaf As-Saleh dan berkembangnya dakwah yang dibawa oleh mereka adalah hasil kekuatan hubungan mereka dengan Allah SWT. Banyaknya amalan-amalan sunnah mereka di samping amalan fardu yang diwajibkan.

كَانُواْ قَلِيلٗا مِّنَ ٱلَّيۡلِ مَا يَهۡجَعُونَ

وَبِٱلۡأَسۡحَارِ هُمۡ يَسۡتَغۡفِرُونَ

Mereka sedikit sekali tidur di waktu malam

Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar (memohon ampun kepada Allah SWT) (Az-Zariyat:17-18)

6. Al-Amiru bil Ma’ruf Wanahu ‘Anil Mungkar (orang-orang yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang mungkar)

Amar Makruf Nahi Mungkar merupakan tugas utama orang mukmin. Seseorang muslim tidak akan menjadi muslim sebenarnya selama ia tidak melaksanakan tugas ini dalam diri, keluarga dan masyarakatnya.

Sekiranya tugas-tugas ini diabaikan, bagaimanakah para pendakwah dan pejuang Islam akan dapat meletakkan dirinya sebagai pemberi nasihat, penunjuk jalan, pembimbing dan juga sebagai pemimpin?

Amar makruf nahi mungkar adalah suatu taklif rabbani (tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah) sebelum ianya menjadi taklif haraki.

Taklif rabbani dinyatakan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. (Ali-Imran:104)

Disamping itu di dalam hadis-hadis nabawi pula terdapat banyak keterangan yang memperkukuh dan memperjelaskan lagi keterangan Al-Qur’an tentang kewajipan berdakwah.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Barangsiapa yang melihat kemungkaran hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, jika ia tidak mampu hendaklah ia mengubah dengan lidahnya (perkataannya) dan jika ia tidak mampu (juga) maka hendaklah (membenci dan menolak) dengan hatinya, dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman. Dan selepas itu tidak ada lagi iman walaupun sebesar biji sawi.” (Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW begitu menekankan keperluan melaksanakan tugas ini yang dianggap sebagai kunci kedamaian dan kebahagiaan masyarakat.

“Hendaklah kamu beramar makruf (menyuruh berbuat baik) dan bernahi mungkar (melarang berbuat jahat). Kalau tidak, maka Allah akan menguasakan atasmu orang-orang yang paling jahat di antara kamu, kemudian orang-orang yang baik-baik di antara kamu berdoa dan tidak dikabulkan (doa mereka).” (HR. Abu Dzar).

Hakikatnya banyak sekali dalil-dalil daripada Al-Qur’an dan As-Sunnah yang menegaskan betapa pentingnya umat Islam mengamalkan amar makruf dan nahi mungkar dalam kehidupan.

Sebenarnya tujuan Allah SWT dan Rasul-Nya menyuruh kepada perkara yang sedemikian tidak lain supaya membina kesejahteraan umat manusia, supaya manusia hidup dalam rukun damai, saling ingat mengingatkan antara satu sama lain dan saling memperteguh ikatan ukhwah.

Justeru para pendakwah harus menyedari bahawa di antara syarat penting menjalankan tugas amar makruf nahi mungkar, ialah perlunya mereka menjadi qudwah hasanah (contoh yang baik) tentang dakwah yang menjadi seruannya kepada orang ramai. Menjadi qudwah kepada perkara yang disuruh orang melakukannya dan di dalam perkara yang dilarang orang lain meneruskannya.

Sekiranya amalnya berbeza dari kata-katanya maka sia-sialah amalnya dan hilanglah ganjaran untuknya.

7. Wal Hafizuna LiHududillah (orang-orang yang menjaga batas-batas hukum Allah)

Mereka ialah golongan yang berjuang untuk melaksanakan perintah-perintah Allah SWT terhadap diri dan masyarakatnya.

Sekiranya perintah-perintah Allah SWT tidak dapat dilaksanakan dalam bentuk yang sempurna tanpa kekuasaan dan pemerintahan Islam maka usaha dan perjuangan menegakkan pemerintahan Islam dan memelihara hukum-hukum Allah SWT menjadi satu perkara yang wajib.

Kehidupan para pejuang Islam hendaklah dalam dua landasan yang seimbang dalam usaha menegakkan hukum-hukum Allah:

i. Ia hendaklah menegakkan hukum-hukum Allah SWT dalam dirinya dan terhadap persekitarannya sedaya upaya yang mungkin. Itulah tanggungjawab individu seorang mukmin baik laki-laki mahupun perempuan sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT:

إِنَّمَا كَانَ قَوۡلَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ إِذَا دُعُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ لِيَحۡكُمَ بَيۡنَهُمۡ أَن يَقُولُواْ سَمِعۡنَا وَأَطَعۡنَاۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ

Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin bila mereka dipanggil kepada Allah dan Rasul-Nya agar Rasul menghukum (mengadili) di antara mereka, ialah ucapan, “Kami mendengar dan kami patuh” Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung. (An-Nur:51)

وَمَا كَانَ لِمُؤۡمِنٖ وَلَا مُؤۡمِنَةٍ إِذَا قَضَى ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ أَمۡرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ ٱلۡخِيَرَةُ مِنۡ أَمۡرِهِمۡۗ وَمَن يَعۡصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدۡ ضَلَّ ضَلَٰلٗا مُّبِينٗا

Dan tidak patut bagi lelaki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang beriman, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan sesuatu ketetapan akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya dia telah sesat, dalam kesesatan yang amat nyata. (Al-Ahzab:36)

ii. Para pejuang Islam hendaklah segera bekerja bagi mencapai matlamat menegakkan dan memelihara hukum-hukum Allah SWT secara keseluruhannya. Iaitu dengan menegakkan Daulah Islamiyyah yang melaksanakan hukum-hukum Allah SWT di dalam pemerintahan.

Ini adalah kewajipan dan tanggungjawab ‘amal jama’i yang tidak akan gugur wajibnya dari bahu orang-orang Islam sehinggalah ia terlaksana dan matlamatnya tercapai ataupun para pendukungnya menjadi syuhada.

Allah menegaskan dalam firman-Nya :

فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤۡمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيۡنَهُمۡ ثُمَّ لَا يَجِدُواْ فِيٓ أَنفُسِهِمۡ حَرَجٗا مِّمَّا قَضَيۡتَ وَيُسَلِّمُواْ تَسۡلِيمٗا

Maka demi Tuhanmu mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehingga mereka menjadikan engkau (hai Muhammad) hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang engkau berikan dan mereka menerima dengan sepenuhnya. (An Nisa:65)

Kesimpulannya

Di dalam sirah Rasulullah SAW, Baginda bersama-sama para sahabatnya membangunkan agama Islam dalam keadaan lemah dan bilangan yang sedikit pada awalnya, tetapi mereka mampu untuk menjadi kuasa yang digeruni oleh musuh-musuh Islam kerana tarbiyah yang Rasululah SAW terapkan, iaitu Tarbiyah Aqidah dan Tarbiyah Ruhiyah yang menjadikan mereka golongan yang tidak pernah gentar dengan kekuatan musuh yang jauh berkali-kali ganda ramainya.

Inilah istimewanya Tarbiyah Ruhiyah yang menjadi aset kepada jamaah untuk mendapat kekuatan baru mendepani musuh-musuh Islam dari pelbagai peringkat.

Wallahu a’lam.

=======================