Home Rencana PAS Melaka

Rencana | Peniaga perlu bertahan hingga aktiviti ekonomi dibuka sepenuhnya

150
SHARE

Oleh IBNU JANIE

PENULIS sempat meninjau beberapa lokasi perniagaan sekitar kawasan Masjid Tanah dan berbual dengan para peniaga selain melihat sendiri aktiviti perniagaan yang dilakukan oleh peniaga sekitar kawasan ini.

Memang tidak dapat dinafikan banyak perniagaan-perniagaan yang terjejas. Namun situasi ini lebih baik daripada semasa Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 (PKP-1) dahulu kerana pada masa itu peniaga kecil makanan pun tidak boleh berniaga di tepi jalan, tapi sekarang boleh.

Kebanyakan yang penulis lihat berniaga di tepi jalan raya ini adalah dahulunya peniaga-peniaga pasar malam malah pengusaha-pengusaha kedai makan. Pada masa ini mereka tidak dapat menjalankan perniagaan kerana pasar malam tidak dibenarkan beroperasi.

Tidak dapat dinafikan ramai peniaga yang sedang berkira-kira apakah nasib dan masa depan mereka? Bilakah semua ini akan berakhir? Adakah situasi akan jadi lebih teruk? Jika kali ini pulih semula adakah situasi ini akan berulang lagi pada masa akan datang?

Bagi penulis, para peniaga dan seluruh rakyat Malaysia harus meletakkan keyakinan bahawa situasi pada kali ini tidak sama dengan PKP-1 dan PKP-2 kerana pada masa itu belum ada lagi vaksin untuk Covid-19 ini. Namun syukur pada masa ini kita sudah ada vaksin yang mungkin menjadi satu asbab daripada Allah swt untuk kita keluar daripada bencana ini.

Beberapa hari lepas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ada mengeluarkan kenyataan bahawa imuniti kelompok meliputi 80 peratus daripada golongan dewasa di negara ini dijangka berupaya dicapai seawal September ini.

Menurut beliau bekalan vaksin menjangkau 12 juta dos dijadual tiba bulan ini dan jumlah bekalan vaksin ini kemudiannya diunjurkan terus meningkat setiap bulan, sekali gus berupaya melancarkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Dan di saat ada pihak-pihak yang sibuk berpolitik dan cuba menggugat kerajaan dengan menuntut hak sebagai Perdana Menteri, bagaikan jawatan itu harta pusaka mereka, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terus bekerja keras untuk memulihkan bencana Covid-19.

Oleh kerana jalan terbaik untuk keluar daripada pandemik ini ialah dengan memastikan wujudnya imuniti kelompok maka kerajaan Muhyiddin sekarang bekerja keras untuk memastikan ia dapat dicapai.

Sehingga 13 Julai lepas seramai 3,848,376 orang rakyat Malaysia telah mengambil dua doz lengkap vaksin dengan jumlah vaksin harian pada tarikh itu seramai 424,541 orang. Malah setakat ini Malaysia menjadi antara 10 negara dengan kadar vaksinasi tertinggi, memberi gambaran kerja keras kerajaan untuk keluar daripada zon bencana ini.

Pada masa ini sesetengah peniaga yang menjual barangan yang tidak termasuk dalam kategori barangan keperluan mendesak seperti pakaian, barang permainan, tidak boleh berniaga.

Sesetengah daripada mereka menukar produk jualan kepada produk yang boleh dijual seperti makanan untuk terus menyara hidup. Selain itu ada yang menukar medium jualan kepada kaedah dalam talian. Ini adalah kerana barangan yang tidak termasuk dalam kategori keperluan mendesak masih boleh dijual secara dalam talian.

Namun memang ada rungutan yang jualan peniaga-peniaga ini semakin merosot walau pun mereka boleh berniaga terutama yang berniaga secara konvensional. Ini adalah kerana trafik yang jauh berkurang daripada sebelum dikuatkuasakan PKP.

Bertahan sehingga ekonomi dibuka

Diharapkan peniaga-peniaga ini akan terus bertahan sehingga ekonomi dapat dibuka sepenuhnya apabila tercapai imuniti kelompok nanti. Pada masa itu rakyat akan mula berbelanja.

Hakikatnya bukan semua rakyat yang terjejas pendapatan mereka kerana PKP ini. Sebagai contoh, 1.7 juta penjawat awam tidak terjejas pendapatan mereka akibat PKP malah mereka yang terlibat dengan ‘bekerja dari rumah’ dapat mengurangkan kos perbelanjaan yang biasa mereka keluarkan untuk ke tempat kerja seperti kos bahan api kenderaan atau tambang.

Industri-industri penting yang mencanak naik permintaannya seperti industri sarung tangan getah, makanan, perubatan dan lain-lain lagi, semua ini tidak terjejas dan tidak terlibat membuang pekerja.

Moratorium yang diberikan secara automatik melalui Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) akan membolehkan mereka yang tidak terjejas pendapatan mereka kerana PKP mempunyai lebihan wang.

Kemudahan pengeluaran baharu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diperkenalkan kerajaan, iaitu i-Citra, melibatkan seramai 12.6 juta ahli KWSP boleh membuat pengeluaran sehingga RM5,000, dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan selama lima bulan, tertakluk kepada jumlah simpanan semasa. Dengan pelaksanaan i-Citra ini dijangka dapat menyalurkan RM30 bilion ke dalam poket rakyat.

Rakyat Malaysia yang tidak terjejas pendapatannya; yang mendapat keuntungan perniagaan kerana pandemik ini; yang dapat mengeluarkan wang KWSP dan yang mendapat bantuan kerajaan, semua ini akan membelanjakan wang mereka ini untuk membeli barang-barang apabila ekonomi dibuka nanti.

Buat persediaan awal untuk beroperasi semula

Mereka yang terlibat dengan industri-industri yang ditutup sepenuhnya semasa PKP seperti industri pelancongan juga harus membuat persediaan untuk menerima pelancong yang akan mula membanjiri kawasan tumpuan pelancongan sebaik aktiviti ekonomi dibuka semula.

Pada masa kini industri pelancongan yang melibatkan hotel dan restoren adalah antara yang terjejas sangat teruk kesan daripada ‘total lockdown’ dan PKP.

Mungkin publisiti awal melalui media sosial boleh dirancang untuk menarik perhatian pelanggan-pelanggan yang berpotensi untuk menghuni di hotel-hotel atau mengunjungi pusat-pusat pelancongan yang diusahakan mereka.

Peniaga-peniaga yang tidak dibenarkan berniaga semasa PKP ini harus merancang lebih awal bagaimana perniagaan mereka akan mula beroperasi apabila ia mula dibuka nanti. Mungkin premis perlu diselenggara semula sebelum dibuka. Pasti ada yang rosak atau tercemar kerana ditinggalkan lama.

Peniaga juga boleh berbincang dengan pembekal perancangan untuk membeli semula stok untuk menyambung semula aktiviti perniagaan. Pada masa itu mungkin semua peniaga akan berpusu-pusu untuk membuat pesanan. Takut terlambat stok sampai.

Peniaga-peniaga yang selama ini menumpukan kepada perniagaan secara dalam talian mungkin tidak ada masalah kerana mereka masih mempunyai stok dan masih berurusan dengan pembekal.

Selain itu ada juga yang menukar perniagaan semasa PKP mungkin boleh membuat perancangan untuk memulakan semula perniagaan asal sekiranya mereka masih mahu meneruskan lagi dengan perniagaan asal.

Peniaga-peniaga ini yang majoritinya menghadapi saat-saat getir diharapkan dapat bertahan sehingga kita berjaya mencapai imuniti kelompok yang diharapkan. Apabila 80 peratus rakyat Malaysia sudah divaksin, dengan izin Allah semuanya akan berakhir. Mungkin masanya sudah tidak lama lagi.

Mereka harus percaya bahawa ada sinar akan menjelma selepas berakhirnya gelap malam. Cahaya fajar akan menjelma selepas Subuh menandakan bermulanya hari baharu yang bakal memberikan harapan baharu buat rakyat Malaysia. Apabila aktiviti ekonomi dibuka semula orang ramai akan membeli semula seperti dahulu dengan izin Allah.

Penulis adalah Ketua Unit Berita dan WARM Jabatan Penerangan PAS Melaka dan Ketua Editor Berita PAS Jabatan Penerangan PAS Pusat.

Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak 19 Julai 2021