Home Melaka

Rencana | OPR naik, inflasi rendah, Ringgit jatuh juga?

296
SHARE

Oleh IBNU JANIE

PADA 3 Mei Bank Negara Malaysia (BNM) membuat kejutan dengan menaikkan ‘kadar dasar semalaman’ (OPR) sebanyak 25 mata asas. Dan semenjak BNM menaikkan OPR, harga Ringgit mengalami kejatuhan berbanding Dollar Amerika Syarikat (USD) berterusan setiap hari.

OPR ini adalah kadar asas pinjaman antara bank. Ia juga menjadi asas kepada kadar faedah yang akan dikenakan kepada peminjam-peminjam bank dan juga untuk membayar faedah kepada pendeposit pada sesebuah bank.

Dalam sistem perbankan, kadar faedah mesti sentiasa lebih tinggi daripada kadar inflasi. Nilai wang mengecil kerana berlakunya inflasi. Sebagai contoh anda mempunyai wang sebanyak RM1000 pada Januari 2023. Harga sebuah televisyen pada Januari 2023 bernilai RM1000.

Katalah anda mahu menyimpan dahulu wang itu di bank dengan lima peratus keuntungan selama setahun. Jadi pada Januari 2024 anda akan menerima RM1050. Dengan itu anda boleh membeli telivisyen itu yang berharga RM1000 pada Januari 2024 dan ada lebihan RM50 hasil faedah simpanan tadi.

Namun sekiranya inflasi pada tahun itu adalah sebanyak lima peratus, ini bermakna harga televisyen yang berharga RM1000 pada Januari 2023 akan meningkat kepada RM1050 pada Januari 2024.

Jadi walau pun anda menyimpan wang RM1000 tadi dan mendapat RM50 pada Januari 2024 namun pada masa itu harga televisyen juga sudah naik kepada RM1050. Jadi, sebenarnya tidak ada apa-apa yang anda dapat dengan simpanan itu. Itu kesan inflasi pada kadar faedah.

Kadar faedah adalah keuntungan kepada bank. Jadi kadar faedah itu mesti sentiasa lebih tinggi dari inflasi. Jika tidak, bank akan rugi. Kerana itulah OPR dinaikkan setiap kali berlaku inflasi yang teruk.

Setakat ini inflasi di Malaysia semakin menurun seperti berikut iaitu pada Januari sebanyak 3.7 peratus, Februari (3.7), Mac (3.4) dan April (3.3).

Selain daripada untuk mengimbangkan kenaikan inflasi, OPR juga dinaikkan bertujuan mengawal Ringgit daripada jatuh berbanding matawang lain terutamanya USD.

Ini adalah kerana pelabur-pelabur matawang akan memindahkan modal mereka kepada negara-negara yang menawarkan kadar faedah yang lebih tinggi.

Jadi jika Amerika Syarikat (A.S) menawarkan kadar faedah yang lebih tinggi maka pelabur-pelabur ini akan menjual Ringgit dan membeli USD kerana kadar faedah A.S lebih tinggi.

Penjualan ini akan menjatuhkan nilai Ringgit. Jadi untuk mengekalkan mereka menyimpan Ringgit maka Malaysia perlu meningkatkan OPR supaya dapat menandingi kadar faedah A.S.

Yang menjadi tandatanya ialah mengapa dengan kadar inflasi yang semakin melega setiap bulan daripada Disember 2022 hingga April 2023, namun BNM tetap terpaksa menaikkan kadar OPR?

Dan jika OPR dinaikkan untuk mengelakkan Ringgit jatuh berbanding USD mengapa Ringgit tetap jatuh merudum selepas OPR dinaikkan?



 

Adakah kadar inflasi yang dilaporkan kerajaan selama ini benar-benar tepat? Ini adalah kerana dalam kerajaan berbangga kerana kononnya telah berjaya mengawal inflasi namun rakyat di bawah masih merungut dengan kenaikan harga barang yang tinggi.

Jika kita lihat kadar inflasi A.S kita akan dapati bahawa inflasi pada Januari ialah 6.4 peratus, Februari (6.0), Mac (5.0) dan April (4.9). Sepanjang tahun 2022 inflasi tertinggi tertinggi dicatatkan ialah 9.1 peratus dan terendah 6.5 peratus. Jauh lebih buruk dari Malaysia.

Dan biasanya negara yang mengalami inflasi yang tinggi ini boleh menyebabkan nilai matawangnya jatuh berbanding dengan negara lain yang lebih rendah.

Sebaliknya, matawang sesebuah negara yang mengalami inflasi rendah dan terkawal akan lebih mengukuh nilainya berbanding negara yang mengalami inflasi tinggi (vice versa).

Sebagai contoh, ini berlaku pada negara Indonesia pada sekitar tahun 60 an yang telah mencetak wang melebihi kadar sepatutnya sehingga berlaku inflasi yang sangat tinggi menyebabkan kerajaan Indonesia terpaksa menurunkan nilai tukaran Rupiah.

Adakah asas ekonomi yang kita ada tidak kukuh sehingga menyebabkan ekonomi kita mudah terkesan dengan apa yang berlaku pada negara-negara lain? Adakah angka-angka yang kita ada selama ini dari segi kadar inflasi dan sebagainya tidak tepat? Ini yang kita bimbang.

Dan kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang mengatakan bahawa kejatuhan Ringgit juga membawa kebaikan kepada negara tidak cukup meyakinkan.

Penulis adalah Wartawan Harakah, Ketua Editor Pusat bagi Portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka



Rencana ini juga disiarkan di ruangan Komen Editor Harakah cetak Edisi Jumaat bertarikh 2-4 Jun 2023

 

Para penyumbang yang budiman. Keseluruhan projek ini iaitu membina sebuah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat; sebuah bangunan tandas dan membaik pulih bangunan asal sedia ada semuanya bernilai RM900 ribu.

Buat masa ini sedang disiapkan ialah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat yang bernilai RM450 ribu daripada jumlah keseluruhan RM900 ribu.

Pada masa ini pihak kami sangat memerlukan sebanyak RM180 RIBU bagi meneruskan pembinaan dewan terbuka ini untuk MEMBELI STRUKTUR BESI SEBERAPA CEPAT YANG BOLEH untuk menyiapkan dewan terbuka ini. Kami memohon dan merayu sumbangan tuan-tuan dan puan-puan untuk tujuan ini.

Para dermawan yang sudi untuk menghulurkan sumbangan boleh menyumbang kepada akaun Bank Rakyat – PAS Kawasan Masjid Tanah di nombor akaun 1101 6481 22.

Sebarang informasi, para penderma boleh berhubung dengan Ustaz Imran sendiri di talian 019-680 6707 atau Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kompleks, Jamarudin Ahmad di talian 012-697 2328 atau Bendahari Jawatankuasa Pembinaan, Ustaz Azmi Sambul di talian 013-378 4729.

JAWATANKUASA PEMBINAAN KOMPLEKS PAS KAWASAN MASJID TANAH