Home Rencana PAS Melaka

Rencana | Menyingkap sejarah berakhirnya perang dunia kedua

1189
SHARE

Oleh IBNU JANIE

“The war is over sir? The war is over! Hooray! The war is over!”

Itu dialog dalam filem Sergeant Hassan lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee tentang perjuangan gerila Melayu menentang pendudukan Jepun yang penulis percaya majoriti daripada kita pernah menontonnya. Dialog itu diucapkan oleh Sarjan Hassan selepas dimaklumkan oleh pegawainya, Kapten Holiday bahawa Jepun telah menyerah kalah.

Jepun terlibat dalam Perang Dunia Kedua
bersama-sama dengan German dan Itali membentuk Pakatan Axis. Britain, Amerika Syarikat, Rusia dan China pula membentuk Tentera Bersekutu menentang Pakatan Axis.

Tiga pemimpin Pakatan Axis, Maharaja Hirohito (Jepun), Hitler (German) dan Mussolini (Itali). (Kredit foto : Google)

Namun, German dan Itali lebih awal dikalahkan. Kerana itulah, dengan menyerahkalahnya Empayar Jepun dalam peperangan itu, barulah Perang Dunia Kedua benar-benar dikatakan berakhir.

Secara rasmi Perang Dunia Kedua bagi Eropah dikatakan bermula pada 1 September 1939 apabila German menyerang Poland. Sementara di Asia pula ia pada hakikatnya sudah pun bermula sejak Jepun melanggar Manchuria pada 19 September 1931 lagi. Ini diikuti dengan penaklukan Jepun ke atas China bermula 7 Julai 1937.

Walau pun Jepun sudah memulakan peperangan seawal 1931 dengan ‘melanggar’ Manchuria, namun selalunya Perang Dunia Kedua bagi Asia dan negara lautan Pasifik dikatakan bermula dengan serangan ke atas pangkalan tentera laut Amerika Syarikat di Pearl Harbor pada pagi 7 Disember 1941.

Serangan ke atas Pangkalan Tentera Laut US Pearl Harbor (Kredit foto : Google)

Selepas daripada serangan itulah Jepun mula mara dan menakluk beberapa negara Asia lainnya, antaranya Vietnam, Filipina, Malaysia, Singapura dan Indonesia. Boleh dikatakan hanya Thailand yang terselamat kerana negara itu dikatakan memberikan kerjasama kepada Jepun dalam peperangan tersebut.

Itu bagaimana ia bermula. Perang Dunia Kedua pula berakhir secara berperingkat bermula dengan Itali menarik diri daripada peperangan dan mengumumkan genjatan senjata sekitar 1943. Ini diikuti dengan tewasnya German pada Mei 1945. Jepun pula menyerah kalah pada September 1945.

Perang Dunia Kedua berakhir

Di Itali, pemimpinnya Benito Mussolini menghadapi krisis dalaman di dalam negaranya sendiri dan dipecat daripada jawatan Perdana Menteri oleh Raja Itali, Victor Emmanuel III pada 26 Julai 1943. General Pietro Badoglio telah mengambil alih kepimpinan Itali daripada Mussolini.

Selepas dipecat oleh Raja Itali daripada jawatan Perdana Menteri, Mussolini telah dipenjarakan. Jeneral-jeneral tentera yang menjatuhkan Mussolini telah membuat pakatan sulit untuk melakukan genjatan senjata dengan Tentera Bersekutu.

Pentadbiran baharu dan Raja Itali sebenarnya cenderung untuk mengadakan genjatan senjata dengan pihak Tentera Bersekutu walau pun mereka menyatakan akan tetap berperang bersama German. Dan akhirnya pada 8 September 1943 Itali mengisytiharkan genjatan senjata dan Tentera Bersekutu pun memasuki Itali.

Namun pada masa itu tentera German masih lagi berada di Itali. Mussolini diangkat semula menjadi pemimpin Itali oleh Hitler namun dalam keadaan Itali tidak lagi dalam genggaman Mussolini secara keseluruhan.

Tentera-tentera German akhirnya berundur dari Itali pada April 1945 dan cuba menyelamatkan Mussolini dengan membawanya ke German. Namun konvoi yang membawa Mussolini telah ditahan orang awam Itali bersenjata.

Mereka menangkap Mussolini dan membenarkan tentera German berundur. Mussolini kemudiannya ditembak mati pada 28 April 1945 oleh rakyat Itali dan mayatnya digantung di sebuah stesen minyak di tengah-tengah bandar Milan untuk tatapan orang ramai.

German pula menyerah kalah tanpa syarat pada 8 Mei 1945 selepas berdepan kekalahan demi kekalahan sehingga Tentera Bersekutu telah berjaya memasuki tanah air mereka sehingga ke ibu negara Berlin.

Saat menghampiri kekalahan, perkara yang paling ditakuti oleh pemerintah German, Adolf Hitler pada masa itu ialah jika dia ditangkap oleh Rusia dia pasti akan diletakkan di dalam kandang haiwan di zoo Moscow oleh Presiden Rusia ketika itu Joseph Stalin. Kerana tidak mahu ditangkap Hitler telah membunuh diri pada 30 April 1945 di kubu persembunyian bawah tanahnya, beberapa hari sebelum German menyerah kalah.

Jepun yang menguasai Asia dan negara-negara lautan Pasifik sebenarnya masih bertahan selepas kekalahan sekutunya German dan Itali.

Seperti yang kita semua maklum, dua bom atom yang memusnahkan dua bandar utama Jepun iaitu Nagasaki (9 Ogos 1945) dan Hiroshima (6 Ogos 1945) menjadi suis yang menghentikan penguasaan Jepun selama ini. Mengikut teorinya Jepun tidak mungkin menyerah kalah jika dua bom atom itu tidak digugurkan.

Dalam sebuah filem biografi Presiden Amerika Syarikat, Harry S Truman dalam satu babak, beliau berkata bahawa beliau sebenarnya tidak mahu menggunakan bom atom ke atas Jepun. Namun Jepun sangat ‘liat’ untuk dikalahkan.

Presiden Amerika Syarikat, Harry S Truman

Dalam satu dialog pada filem itu, Truman melahirkan rasa bimbang bahawa satu masa nanti generasi akan datang akan mengutuknya kerana dia ada cara untuk menghentikan peperangan, iaitu dengan menggunakan bom atom, namun dia tidak menggunakannya. Itu yang membuatkan dia mengambil keputusan menggugurkan dua bom atom itu untuk mengakhiri semuanya dan ia berjaya.

Jepun lebih bernasib baik kerana menyerah kalah secara aman berbanding dengan German yang kalah apabila tentera musuh menyusup masuk dengan peperangan yang menyelinap ke setiap inci tanahnya sehingga ke muka pintu setiap rumah. Sudah tentu kemusnahannya lebih menyeluruh.

Walau pun Jepun mengalami kemusnahan ‘total’ di Nagasaki dan Hiroshima, namun kemusnahan tidak menyeluruh ke kawasan lain di Jepun. Berbanding dengan German yang dimasuki Tentera Bersekutu dan Rusia dari sempadan sedikit demi sedikit sehingga ke Berlin pasti keseluruhan kawasannya musnah akibat peperangan.

Pada 15 Ogos 1945 Maharaja Empayar Jepun, Hirohito, telah mengumumkan sendiri melalui radio bahawa negaranya menyerah kalah kepada Tentera Bersekutu. Pengumuman ini sangat terkenal kerana seseorang Maharaja Jepun tidak pernah membuat ucapan seperti itu di radio atau televisyen.

Menteri Luar Jepun, Mamoru Shigemitsu telah menandatangani perjanjian menyerah kalah

Daripada pengumuman itu satu demi satu pemerintah-pemerintah tentera Jepun di negara-negara yang mereka takluki telah melakukan upacara menandatangani perjanjian menyerah kalah kepada Tentera Bersekutu.

Maka, 76 tahun lepas, iaitu pada 2 September 1945, di atas kapal perang Amerika Syarikat USS Missouri, Menteri Luar Jepun, Mamoru Shigemitsu telah menandatangani perjanjian menyerah kalah disaksikan oleh Pemerintah Tertinggi Tentera Amerika Syarikat, Jeneral Douglas MacArthur dan pegawai-pegawai tinggi Tentera Bersekutu.

Pada tarikh inilah Perang Dunia Kedua benar-benar telah pun berakhir secara rasmi.

Penulis adalah Ketua Editor Berita PAS, Jabatan Penerangan.PAS Pusat dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka

Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bertarikh 6 September 2021

PENGUMUMAN KHAS JKN MELAKA

JKN Melaka telah mengumumkan bahawa bermula 30 Ogos individu di Negeri Melaka yang berusia 50 tahun ke atas yang belum mendapat tarikh temujanji dalam aplikasi Mysejahtera boleh melakukan ‘walk in’ ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam seperti di infografik dari jam 8.00 pagi hingga 1 tengahari.

Seramai maksimum 50 orang individu boleh melakukan ‘walk ini’ pada setiap hari di setiap PPV.

Namun bagi individu yang telah menerima tarikh temujanji, jabatan itu menasihatkan mereka agar patuh tarikh temujanji yang telah diberi.