Home Melaka

Rencana | Kos sara hidup rakyat : Turun harga mula daripada GLC

189
SHARE

Oleh IBNU JANIE

SEPANJANG Pakatan Harapan (PH) menjadi pembangkang mereka sentiasa ‘memperjuangkan’ isu harga barang yang meningkatkan kos sara hidup rakyat.

Mereka akan sentiasa mengecam sekiranya berlaku kenaikan harga barangan di pasaran terutama yang melibatkan produk atau perkhidmatan yang dibekalkan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti caj bil elektrik dan air.

Baru-baru ini para pemimpin dan penyokong PH bersorak girang meraikan penurunan kadar tol di lebuh raya Besraya dan Lekas bermula 1 Januari 2023.

Namun mereka sedikit pun tidak memberi kredit kepada kabinet kerajaan PN-BN yang sebenarnya membuat keputusan tersebut pada bulan Oktober sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 yang juga melibatkan beberapa lebuh raya lain yang lebih awal telah diturunkan. Ia umpama pepatah ‘lembu punya susu, khinzir yang dapat nama’.

 

Sama juga berlaku sebelum PRU-14 apabila kerajaan pada ketika itu menghapuskan kutipan plaza tol Sungai Rasau, Batu Tiga dan Bukit Kayu Hitam. Semua pemimpin PH ‘claim’ itu perjuangan mereka dan tanpa segan silu bersorak sakan merayakannya. Namun apabila PH jadi kerajaan tiada tol pun yang mereka hapuskan.

Jika kita meneliti terowong masa, setiap kali berlakunya kenaikan harga barangan, pemimpin-pemimpin PH semasa mereka di kerusi pembangkang memang sentiasa meratibkan bahawa kerajaan mempunyai kuasa menurunkan harga barang tetapi kononnya gagal berfungsi.

Baru-baru ini semasa perayaan Krismas, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menetapkan harga kawalan tomato RM5 sekilogram sepanjang tempoh perayaan ini sedangkan harga pasaran ialah RM10 sekilogram.

Namun peniaga merungut kerana mereka dapat bekalan dari pembekal pada harga RM8 sekilogram. Akhirnya mereka mengambil keputusan untuk tidak menjual tomato sepanjang tempoh kuatkuasa. Begitu juga dengan harga telur ayam yang masih belum mampu diturunkan kerajaan walau pun ada arahan untuk ditetapkan harga baru yang lebih rendah daripada PM sendiri.

Ini menimbulkan persoalan bahawa apabila peniaga enggan akur kepada keputusan kerajaan yang menetapkan sesuatu harga kepada mereka, adakah kerana mereka tamak dan mahu untung lebih?

Kerana itu penulis berpendapat untuk menunjukkan contoh kepada para peniaga, kerajaan harus menurunkan harga barangan dan perkhidmatan bermula daripada GLC yang mana kerajaan mempunyai kuasa penuh.

Yang pertama sudah pastilah harga petrol dan diesel yang mana di Malaysia industri ini diterajui oleh Petrolium Nasional (Petronas) yang dikuasai kerajaan.

Penetapan harga Petrol Ron95 pada harga RM2.05 bermula 27 Februari 2021 semasa pemerintahan PN masih kekal sehingga hari ini. Walau pun harga minyak mentah pernah meningkat sehingga USD123 setong pada Mac 2022 namun harga itu masih kekal.

Pada penulis ketika harga minyak mentah dunia diniagakan sekitar USD75 ke USD80 pada waktu ini kerajaan sepatutnya boleh mengurangkan harga Petrol Ron95 kepada RM1.80 seliter walau pun bukan RM1.50 yang selalu digembar-gemburkan.

Yang kedua ialah caj bil elektrik yang dikenakan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB). Bil elektrik adalah antara kos yang sangat membebankan yang ditanggung isi rumah. Selain itu industri juga banyak terkesan dengan kos elektrik dalam proses pengeluaran. Pengurangan caj elektrik boleh mengurangkan kos sara hidup rakyat dan harga barang.

Ketiga ialah caj penggunaan air bersih di negeri-negeri yang dikuasai oleh PH-BN. Sama seperti bil elektrik, bil air juga merupakan satu beban kepada rakyat.

Rencana ini juga disiarkan di ruangan Komen Editor, Harakah cetak Edisi bertarikh 9 Januari 2023

 

Yang keempat sudah tentu kadar tol. PH-BN janganlah sekadar menjadi tukang sorak dan tukang claim terhadap keputusan kerajaan terdahulu yang menghapuskan kadar tol. Mereka harus meninggalkan kenangan tol mana yang mereka sendiri hapus atau kurangkan.

Yang kelima ialah tambang pengangkutan awam di bawah GLC. Antaranya ialah seperti bas dan tren di bawah Prasarana Negara.

Sekiranya semua ini dapat dilakukan, kerajaan PH-BN juga boleh membuktikan bahawa mereka lebih baik daripada kerajaan PN-BN sekiranya mereka boleh menurunkan harga barangan dan perkhidmatan yang dibekalkan oleh GLC.

Jika GLC telah menunjukkan contoh yang baik dengan menurunkan harga barang barulah syarikat-syarikat swasta akan lebih mudah untuk akur pada arahan kerajaan tentang penetapan harga barang pada masa akan datang.

Penulis adalah Wartawan Harakah, Ketua Editor Pusat bagi Portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka

 

Para penyumbang yang budiman. Keseluruhan projek ini iaitu membina sebuah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat; sebuah bangunan tandas dan membaik pulih bangunan asal sedia ada semuanya bernilai RM900 ribu.

Buat masa ini sedang disiapkan ialah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat yang bernilai RM450 ribu daripada jumlah keseluruhan RM900 ribu.

Pada masa ini pihak kami sangat memerlukan sebanyak RM180 RIBU bagi meneruskan pembinaan dewan terbuka ini untuk MEMBELI STRUKTUR BESI SEBERAPA CEPAT YANG BOLEH untuk menyiapkan dewan terbuka ini. Kami memohon dan merayu sumbangan tuan-tuan dan puan-puan untuk tujuan ini.

Para dermawan yang sudi untuk menghulurkan sumbangan boleh menyumbang kepada akaun Bank Rakyat – PAS Kawasan Masjid Tanah di nombor akaun 1101 6481 22.

Sebarang informasi, para penderma boleh berhubung dengan Ustaz Imran sendiri di talian 019-680 6707 atau Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kompleks, Jamarudin Ahmad di talian 012-697 2328 atau Bendahari Jawatankuasa Pembinaan, Ustaz Azmi Sambul di talian 013-378 4729.

JAWATANKUASA PEMBINAAN KOMPLEKS PAS KAWASAN MASJID TANAH