Home Melaka

Rencana : Keputusan dua PRN : Terkuburkah perjuangan anti-korupsi?

76
SHARE
Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak 28 Mac 2022

Oleh IBNU JANIE

PADA Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 Umno-BN tumbang buat kali pertama semenjak negara merdeka atas sentimen kuat rakyat yang marah dengan skandal 1MDB yang terkait dengan Perdana Menteri ketika itu Dato’ Sri Najib Razak.

Ia satu situasi yang tidak pernah terfikirkan oleh rakyat Malaysia bahawa Umno-BN akhirnya tumbang. Sebelum itu pun Umno-BN memang tidak pernah sunyi daripada skandal itu dan skandal ini, namun mereka dilihat kebal. Tetapi pada PRU-14 ‘ilmu kebal’ Umno-BN jadi tidak mujarab.

Namun, mengecewakan apabila Pakatan Harapan (PH) yang sebelum itu menjadi hero memperjuangkan isu integriti dan rasuah, tetapi selepas dapat kuasa, PH berpesta menggugurkan kes-kes yang sedang dihadapi oleh pimpinan mereka.

Mereka juga melantik bekas aktivis PH seperti Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara. Sedangkan jawatan-jawatan ini adalah jawatan-jawatan yang sensitif berkaitan siasatan dan pendakwaan yang biasanya melibatkan orang politik sendiri.

Itu belum lagi timbul satu demi satu isu pegawai-pegawai lantikan politik PH berdepan siasatan menerima ‘hadiah’. Hilang segala perjuangan menegakkan negara berintegriti yang mereka laung-laungkan selama ini.

Dan apabila Umno-BN tewas pada masa itu, PAS menghulurkan tangan untuk persahabatan. Namun ia tidaklah bermaksud PAS menerima dan bertolak ansur terhadap segala kes-kes rasuah pemimpin-pemimpin mereka sebelum itu.

PAS sebenarnya konsisten dengan prinsip integriti. PAS pada masa itu berharap agar Umno-BN insaf dengan apa yang berlaku dan tidak mengulanginya lagi pada masa akan datang. Sementelah mereka sudah tidak jadi kerajaan, jadi tidak ada apa yang boleh mereka selewengkan lagi pada masa itu.

PAS juga menyerahkan segalanya pada kebijaksanaan Badan Kehakiman. Mana-mana yang salah, hukumlah, jika benar mereka bersalah. Tempoh Umno-BN menjadi pembangkang seharusnya dijadikan medan untuk membersihkan Umno-BN daripada segala amalan buruk dan pemimpin bermasalah mereka selama ini.

Usai jatuhnya kerajaan PH melalui ‘Langkah Sheraton’, Umno-BN bernyawa semula. Namun pada masa ini pemimpin-pemimpin ‘Kluster Mahkamah’ mereka mula dilihat memain peranan aktif untuk kembali ke persada politik. Tidak nampak mereka akan berundur.

Ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin Umno majoritinya dilihat tidak menunjukkan komitmen ke arah untuk membersihkan Umno daripada terpalit dengan rasuah dan penyelewengan selama ini.

Malah sepertimana yang kita tahu jatuhnya kerajaan Umno-BN di Melaka sehingga terpaksa diadakan PRN Melaka pada tahun lepas juga hasil daripada gerakan londeh-melondeh kegiatan penyelewengan pemimpin-pemimpin Umno-BN Melaka. Yang mendedahkan adalah pemimpin Umno-BN, yang didedahkan pun kesalahan pemimpin Umno-BN juga.

Ini membuktikan bahawa pemimpin-pemimpin Umno-BN ini tidak pernah insaf dengan apa yang telah berlaku pada mereka semasa PRU-14 dahulu. Dalam keadaan mereka sedang bernafas dengan bantuan oksigen pun mereka masih sempat dengan perangai lama mereka.

Ini lebih menakutkan apabila Umno-BN dilihat sedang dalam laluan untuk berkuasa semula dalam keadaan pemimpin-pemimpin mereka yang bermasalah ini dilihat seperti masih disanjung ahli-ahli bawahan.

Kredit foto : Google

Sikap sesetengah pengundi-pengundi yang dilihat tidak sensitif dengan isu integriti dengan terus memberi undi kepada parti-parti yang terpalit dengan kes-kes rasuah ini seolah-olah memberi gambaran sedang berlaku proses normalisasi terhadap rasuah dan penyelewengan.

Mungkinkah rakyat sudah mula berputus asa untuk melihat kepimpinan negara diterajui oleh pemimpin dan parti yang tinggi integritinya? Adakah rakyat sudah berfikir ‘jika kita tidak boleh lawan mereka, kita bersekongkol sahaja dengan mereka’?

Di peringkat masyarakat umum seperti ada satu gerakan yang cuba menormalisasikan perkara ini dengan menyebarkan fahaman kononnya rasuah adalah dosa peribadi. Bagi mereka tidak menjadi masalah asalkan pemimpin itu banyak membantu rakyat.

Seolah-olah jika seseorang pemimpin itu dapat memberi mereka bantuan RM1000 setahun, tidak mengapalah mereka rasuah. Sedangkan rakyat dapat beberapa ribu ringgit tetapi ahli politik rasuah ini merompak wang negara ratusan juta, malah berbilion Ringgit.

Jika Umno-BN menang besar dalam PRU-15 maka tidak nampak kemungkinan untuk mereka mengubah jalan hidup mereka ke arah integriti tinggi. Dan bagaimanakah nasib perjuangan untuk menegakkan integriti tulen di negara ini jika ini berlaku? Akan terkuburkah perjuangan menegakkan negara bersih dari rasuah?

Penulis adalah Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka dan Ketua Editor Berita PAS Pusat