Home Melaka

Rencana | Kebebasan bersuara – telunjuknya lurus, kelingking berkait

293
SHARE

Oleh IBNU JANIE

PADA Isnin lepas di Dewan Rakyat, Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Salahuddin Ayub menzahirkan rasa pelik kerana ramai Ahli Parlimen membangkitkan tentang kenaikan harga barang sedangkan menurut beliau tiada laporan diterima kementeriannya tentang perkara ini.

Salahuddin mati-mati tidak percaya bahawa pada masa ini sedang berlaku kenaikan harga barangan yang membebankan rakyat. Yang beliau ulang ialah tiada laporan diterima daripada rakyat.

Beliau membentangkan segala yang telah kementerian beliau lakukan selama ini terutamanya ‘menu Rahmah’, ‘pakaian Rahmah’ dan segala ‘mak nenek’ Rahmahnya yang pada beliau sudah membuktikan bahawa harga barangan rendah pada masa ini.

Namun jika kita berbual-bual dengan rakan-rakan sekeliling dan melihat komen-komen di media sosial kita boleh melihat ramai yang merungut harga barang naik dan ketidakmampuan rakyat untuk berbelanja.



 

Jika kita perhatikan sebenarnya bukan tidak ada laporan tentang kenaikan harga barang tetapi rakyat takut untuk bersuara dan melaporkan kesusahan mereka kerana bimbang diambil tindakan oleh kerajaan.

Baru-baru ini Malaysia diumumkan berada di tangga ke-73 Indeks Kebebasan Media Dunia 2023, berdasarkan laporan Reporters Without Borders (RSF), kenaikan mendadak berbanding tangga ke-133 tahun lepas.

Beberapa hari selepas pengumuman tersebut dibuat, penulis ada membaca satu hantaran sebuah page troll politik terkenal yang menulis tentang perkara ini. Dalam hantarannya itu page tersebut menyindir pengumuman itu dengan kapsyen “3 Mei 2023 – Hari Kebebasan Media Sedunia, 4 Mei 2023 – page kena unpublished”.

Kita semua tahu bahawa aplikasi Tiktok menjadi satu aplikasi yang sangat memberi kesan pada keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15. Perikatan Nssional (PN) sendiri dikatakan berjaya menarik sokongan anak muda hasil kerja pempengaruh-pempengaruh yang membantu membuat konten-konten yang berkesan.

Namun sebaik sahaja PH-BN berkuasa Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Fadzil, mengeluarkan kenyataan akan mengarahkan Tiktok menurunkan hantaran-hantaran yang katanya berbentuk ‘provokatif dan ekstrimis’.

Itulah modal mereka, ‘provokatif dan ekstrimis’. Pada hal apa yang disebut sebagai ‘provokatif dan ekstrimis’ itu sebenarnya adalah konten yang mempunyai kesan buruk pada PH-BN.

Sebagai contoh lagu Hoi Ya Hoi yang menjadi lagu kempen PH menyerang BN pada PRU15 kini ‘hilang’ dari Tiktok. Sesiapa yang membuat hantaran baharu menggunakan lagu itu akan diturunkan.

Malah kita masih ingat kejadian Fahmi ‘menyergah’ Berita Harian yang memuatnaik sebuah berita ramalan kenaikan OPR oleh seorang pakar ekonomi.

Kejadian ini mendapat kecaman daripada pengamal-pengamal media, malah daripada Kesatuan Wartawan sendiri. Namun begitu dalam masa yang sama indeks kebebasan media negara tetap naik mencanak kononnya bertambah ‘bebas’.

Walau pun pemimpin PH-BN dengan penuh rendah diri mengatakan bahawa mereka boleh dikritik, malah ada yang kata nak maki pun boleh, seolah-olah mereka sentiasa berlapang dada, namun ia hanya hipokrasi.



 

Baru-baru ini dalam sebuah video, seorang aktivis politik terkenal, Che’gu Bard mendedahkan tentang seorang individu, rakyat biasa yang disiasat kerana menulis satu kata makian pada seorang pemimpin negara.

Rakyat yang cuba bersuara ditekan dengan pelbagai cara yang halus. Sekarang ini boleh dikatakan pegawai Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia (SKMM) adalah antara manusia yang paling sibuk di bumi Malaysia ini menyiasat apa sahaja hantaran-hantaran yang melukakan hati menteri-menteri atau menyentuh PH-BN.

Ia sama juga seperti isu hubungan kerajaan negeri dikuasai pembangkang seperti Kelantan sejak sekian lama. Sejak dari dahulu lagi menteri-menteri apabila mengulas perkara ini akan berkata dengan skrip dan nada yang lancar “Kerajaan Pusat tidak pernah menganaktirikan Kelantan”. Pada hal seteruk-teruknya Kelantan didiskriminasi.

Begitulah dengan kerajaan sekarang. Malang bagi PH yang sebelum berkuasa kononnya cuba menonjolkan mereka parti yang terbuka sebagai alternatif terbaik menggantikan BN. Namun hakikatnya mereka lebih kuku besi daripada pemerintahan BN dahulu! Tatakelola tinggal tatakelola.

Kerajaan PH-BN sekat saluran suara rakyat dan mahu supaya rakyat hanya mengatakan kerajaan bagus, semuanya baik-baik sahaja dan tidak ada cacat celanya.

Di mulut mereka katakan kebebasan bersuara, tetapi tindakan mereka menekan rakyat yang bersuara. Telunjuk mereka nampak lurus, tetapi dalam masa yang sama kelingking mereka berkait!

Penulis adalah Wartawan Harakah, Ketua Editor Pusat bagi Portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka


Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak Edisi Isnin Jumaat bertarikh 26-28 Mei 2023.

 

 

Para penyumbang yang budiman. Keseluruhan projek ini iaitu membina sebuah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat; sebuah bangunan tandas dan membaik pulih bangunan asal sedia ada semuanya bernilai RM900 ribu.

Buat masa ini sedang disiapkan ialah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat yang bernilai RM450 ribu daripada jumlah keseluruhan RM900 ribu.

Pada masa ini pihak kami sangat memerlukan sebanyak RM180 RIBU bagi meneruskan pembinaan dewan terbuka ini untuk MEMBELI STRUKTUR BESI SEBERAPA CEPAT YANG BOLEH untuk menyiapkan dewan terbuka ini. Kami memohon dan merayu sumbangan tuan-tuan dan puan-puan untuk tujuan ini.

Para dermawan yang sudi untuk menghulurkan sumbangan boleh menyumbang kepada akaun Bank Rakyat – PAS Kawasan Masjid Tanah di nombor akaun 1101 6481 22.

Sebarang informasi, para penderma boleh berhubung dengan Ustaz Imran sendiri di talian 019-680 6707 atau Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kompleks, Jamarudin Ahmad di talian 012-697 2328 atau Bendahari Jawatankuasa Pembinaan, Ustaz Azmi Sambul di talian 013-378 4729.

JAWATANKUASA PEMBINAAN KOMPLEKS PAS KAWASAN MASJID TANAH