Home Melaka

Rencana | Jangan kompromi isu integriti dalam permuafakatan politik

179
SHARE

Oleh IBNU JANIE

SEBAGAI sebuah parti politik yang kini sudah pun bertaraf parti pemerintah kerajaan Persekutuan, PAS tidak dapat lari daripada perlu terlibat dengan parti-parti lain dalam membentuk kerajaan. Ini adalah hakikat politik di Malaysia.

PAS adalah sebuah parti yang terbukti tinggi integriti dengan ahli-ahli politik PAS di negeri-negeri yang diperintah parti ini tidak pernah disiasat atau didakwa dengan kes melibatkan rasuah dan penyelewengan. Itu fakta.

Dalam menjalin kerjasama dengan rakan muafakat, PAS berkemungkinan terpaksa bekerjasama dengan parti-parti dan ahli-ahli politik yang sesetengahnya mempunyai sejarah hitam berkaitan isu rasuah dan penyelewengan.

Selepas berlakunya Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14, kita dapat melihat perpecahan dalam permuafakatan politik dan wakil-wakil rakyat yang melompat-lompat ke sana-sini. Ini juga menyebabkan berlakunya perubahan dalam kerajaan Persekutuan dan negeri beberapa kali selepas PRU-14.

Setiap kali berlaku aktiviti lompat parti maka apa yang terlintas di fikiran rakyat ialah mereka menerima imbuhan sebagai balasan perpindahan sokongan. Soal lompat parti yang juga sering dikaitkan dengan rasuah politik ini sedang cuba diatasi dengan pindaan perlembagaan berkaitannya yang diluluskan baru-baru ini.

Hakikatnya selepas selesai PRU-14, PH antara yang banyak terlibat dalam aktiviti lompat parti untuk membentuk kerajaan di beberapa buah negeri selain percubaan pembentukan semula kerajaan Melaka oleh PH yang melibatkan aktiviti lompat parti.

Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak Edisi Jumaat bertarikh 26-28 Ogos 2022

 

Rakyat pula masih tidak putus asa mengharapkan agar ahli-ahli politik berubah dan membentuk satu dunia politik baharu yang segar tanpa rasuah dan penyelewengan.

Kita tidak dapat menolak hakikat bahawa soal integriti adalah sesuatu yang sangat dipandang serius oleh rakyat ketika ini. Rakyat semakin mual dengan isu-isu rasuah dan penyelewengan melibatkan ahli-ahli politik yang tidak jujur yang merompak wang rakyat.

Rakyat mengharapkan agar ada perubahan yang melibatkan perkara ini. Namun sehingga kini rakyat belum nampak satu perubahan yang ketara dalam soal ini. Hanya bising di media sosial tetapi rakyat masih merasakan rasuah dan penyelewengan masih berlaku.

PH yang berdegar-degar menentang rasuah semasa kempen PRU-14 lepas juga tidak boleh diharap untuk melakukan perubahan. Apabila mereka memerintah mereka juga dilihat sama ‘dua kali lima’, dengan pesta pengguguran kes rasuah melibatkan ahli-ahli politik mereka.

Sebagai sebuah parti yang tinggi integriti PAS perlu kekal berpegang dengan prinsip yang selama ini dipegang walau dengan siapa pun ia bermuafakat.

Sekiranya berlaku sesuatu penyelewengan yang dilakukan oleh mana-mana ahli politik yang menjadi rakan sekutu PAS, maka tidak seharusnya PAS berdiam diri tidak berbuat apa-apa atau lebih teruk lagi sama-sama menutup dan mempertahankan kes yang berlaku.

Sikap bersolidariti mempertahankan sesuatu skandal melibatkan parti sendiri dan rakan sekutu apabila ia terbongkar yang sering diamalkan oleh kebanyakan permuafakatan politik tidak kira kerajaan atau pembangkang tidak seharusnya dinormalisasikan.

Seringkali berlaku apabila terbongkarnya sesuatu skandal melibatkan ahli politik kerajaan maka mereka akan mendakwa bahawa ianya fitnah oleh pembangkang. Sekiranya kes yang dibongkarkan itu melibatkan parti pembangkang pula, mereka akan mendakwa mereka dianiaya oleh parti kerajaan. Semuanya untuk menagih simpati.

Namun masalah ini lebih teruk lagi jika ia dilakukan oleh parti di dalam permuafakatan parti pemerintah kerana mereka ada ruang untuk menyalahgunakan agensi penguatkuasaan dan perundangan.

Sekiranya semua ahli politik kerajaan bersepakat untuk menjunjung integriti maka sebarang usaha bagi mendedah dan membongkar apa-apa kejadian rasuah dan penyelewengan harus disokong oleh semua termasuk parti yang pemimpinnya disyaki terlibat.

PAS tidak perlu terikat untuk tidak tidak mendedahkan apa-apa penyelewengan yang dilakukan oleh parti sekutu dan begitu juga sebaliknya

Sepatutnya semua pihak harus mempunyai rasa tanggungjawab untuk mendedahkan apa sahaja penyelewengan yang dilakukan oleh siapa sahaja di dalam kerajaan tanpa ada sikap menjaga hati pihak lain atau untuk menjaga hubungan permuafakatan.

Rakyat mahu melihat bahawa apabila berlaku sesuatu penyelewengan ia mesti dibongkar dan dibawa ke muka pengadilan. Bukan disembunyikan di bawah permaidani merah. Jangan jadikan harapan rakyat ini tinggal harapan seperti kekecewaan rakyat kepada PH yang cakap berdegar-degar, tetapi bila dapat kuasa mereka sama sahaja!

Penulis adalah Ketua Editor Pusat bagi Portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka

 

 

Para penyumbang yang budiman. Keseluruhan projek ini iaitu membina sebuah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat; sebuah bangunan tandas dan membaik pulih bangunan asal sedia ada semuanya bernilai RM900 ribu.

Buat masa ini sedang disiapkan ialah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat yang bernilai RM450 ribu daripada jumlah keseluruhan RM900 ribu.

Pada masa ini pihak kami sangat memerlukan sebanyak RM180 RIBU bagi meneruskan pembinaan dewan terbuka ini untuk MEMBELI STRUKTUR BESI SEBERAPA CEPAT YANG BOLEH untuk menyiapkan dewan terbuka ini. Kami memohon dan merayu sumbangan tuan-tuan dan puan-puan untuk tujuan ini.

Para dermawan yang sudi untuk menghulurkan sumbangan boleh menyumbang kepada akaun Bank Rakyat – PAS Kawasan Masjid Tanah di nombor akaun 1101 6481 22.

Sebarang informasi, para penderma boleh berhubung dengan Ustaz Imran sendiri di talian 019-680 6707 atau Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kompleks, Jamarudin Ahmad di talian 012-697 2328 atau Bendahari Jawatankuasa Pembinaan, Ustaz Azmi Sambul di talian 013-378 4729.

JAWATANKUASA PEMBINAAN KOMPLEKS PAS KAWASAN MASJID TANAH