Oleh ZUHAIDI YUSOF
SAMBUTAN Hari Malaysia pada 16 September setiap tahun merupakan lambang perpaduan seluruh rakyat Malaysia.
Walaupun pada tahun ini kita masih berperang melawan Covid-19, namun dengan semangat perpaduan pelbagai bangsa dan agama di negara ini pastinya akan kita tempuhi bersama-sama.
Bersesuaian dengan tema kemerdekaan kita pada tahun ini, ‘MALAYSIA PRIHATIN’, jelas menggambarkan kerjasama dan keprihatinan seluruh rakyat Malaysia dalam memerangi wabak Covid-19 dan masalah-masalah yang melanda negara ketika ini.
16 September adalah satu tarikh yang amat simbolik dan bersejarah. Pada pagi hari ini 58 tahun yang lalu, Almarhum Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama telah
mengisytiharkan pembentukan Persekutuan Malaysia.
Sambutan Hari Malaysia pada 16 September setiap tahun adalah untuk mengingatkan kita bahawa pembentukan Malaysia tidak datang bergolek dalam sekelip mata.
Pembentukan ini melambangkan perpaduan dan kerjasama erat daripada semua kaum yang ada di bumi bertuah ini dengan semangat ‘berat sama dipikul ringan sama dijinjing’ bukan ‘seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing’.
Kita perlu bersyukur kerana dari masa ke masa, walau apapun rintangan yang datang, sama ada bersifat dalaman mahupun luaran, alhamdulillah, setiap satunya telah berjaya ditangani dan dihadapi.
Rahmat di sebalik ujian.
Inilah ungkapan yang sesuai bagi menggambarkan keadaan rakyat Malaysia hari ini. Di sebalik wabak Covid-19 yang melanda dunia dan negara, rakyat Malaysia kini semakin prihatin.
Tangan yang menghulur bantuan, ada di mana-mana, tanpa mengira bangsa dan agama.
Kerana kita adalah sebuah keluarga iaitu KELUARGA MALAYSIA.
Jatuh bangun, susah senang, kita hadapi dan perjuangkan bersama. Semoga sambutan Hari Malaysia pada tahun ini akan menguatkan lagi semangat kekeluargaan kita sebagai Keluarga Malaysia.
Akhir kata, marilah kita sama-sama memelihara tanah air ini. Kerana di tanah air inilah segalanya bermula. Dan di tanah air ini jugalah, terbinanya Keluarga Malaysia.
Selamat Hari Malaysia.
Penulis adalah Pemangku Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Melaka
PENGUMUMAN KHAS JKN MELAKA JKN Melaka telah mengumumkan bahawa bermula 30 Ogos individu di Negeri Melaka yang berusia 50 tahun ke atas yang belum mendapat tarikh temujanji dalam aplikasi Mysejahtera boleh melakukan ‘walk in’ ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam seperti di infografik dari jam 8.00 pagi hingga 1 tengahari. Seramai maksimum 50 orang individu boleh melakukan ‘walk ini’ pada setiap hari di setiap PPV. Namun bagi individu yang telah menerima tarikh temujanji, jabatan itu menasihatkan mereka agar patuh tarikh temujanji yang telah diberi. |