Home Berita PAS Negeri Sembilan

#Rembau | Ketua DUPN9 rasmikan MAT DMPKR kali ke-14

1001
SHARE

PAROI, 6 MAC: Dewan Muslimat PAS Kawasan Rembau (DMPKR) telah berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) buat kali ke-14 bertemakan ‘Muslimat Memacu Kemenangan‘ yang berlangsung di Dewan Al Qamar di sini, kelmarin.

Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Rembau, Masita Mohamed Ali dalam ucapan aluannya menyentuh terjemahan ayat 111, Surah At Taubah mengenai jual beli yang Allah janjikan kepada orang-orang mukmin yang menginfakkan diri dan harta untuk perjuangan di jalan Allah akan dapat syurga.

Sebagai mengakhiri ucapan, Masita menyeru muslimat yang hadir agar tajdid niat menjadi pejuang bersama PAS.

MAT DMPKR yang berlangsung di Dewan Al Qamar telah dirasmikan oleh Ketua Dewan Ulamak PAS (DUP) Negeri Sembilan, Ustaz Abdul Hadi Isa.

Ustaz Abdul Hadi dalam taujihatnya, telah menyentuh ayat-ayat akhir Surah Ali Imran yang berkaitan dengan kewajiban kita sebagai pejuang Islam mengislah diri, iaitu menjadi insan yang lebih baik, taat pada perintah Allah serta banyak melakukan ibadah.

Selain itu tambah Ustaz Abdul Hadi, Islah Mujtamak pula menuntut kita hidup berjemaah terutama dalam membentuk negara Islam dan menjadikan PAS sebagai wadah untuk menyahut seruan tersebut.

Beliau juga memohon agar para muslimat memasang niat untuk mewakafkan anak-anak untuk agama Allah. Katanya lagi, muslimat perlu menghadiri kursus syifa’ agar mampu menjadi perawat muslimat khususnya.

DMPKR juga turut melancarkan jentera pilihanraya sebagai tanda bahawa gerakerja pilihanraya telah bermula dengan penyerahan panji-panji kepada tiga orang wakil, iaitu DUN Paroi, Chembong dan Kota. Selari dengan itu, dana pilihanraya juga turut dilancarkan untuk menggerakkan jentera PRU 14 yang bakal tiba.

Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Rembau, Kamarol Ridzuan Mohd Zin sebagai pemerhati, dalam sesi penangguhan, turut mengingatkan muslimat yang hadir mampu menjaga ukhuwah yang membolehkan gerakerja dapat dilaksanakan dengan jayanya.