Home Berita PAS Selangor

Remaja, Ibu Bapa Disaran Belajar Sejarah Muhamad Al-Fateh

1570
SHARE

        
PARA
 remaja dan ibu bapa disaran belajar daripada sejarah kehebatan dan kecemerlangan Sultan Muhamad al-Fateh, pemerintah empayah Turki Uthmaniyah.

Saranan ini dibuat oleh Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan dalam ucapannya semasa majlis Perasmian Penutup Daurah Kefahaman Islam serta Majlis Penyampaian Sumbangan Fakir Miskin dan Anak Yatim di Masjid Al-Khairiyah, Taman Sri Gombak, Gombak Selangor hari ini.

“Sultan Muhamad al-Fateh berjaya memimpin angkatan tenteranya menawan kota Konstantinopel pada usianya baru 21 tahun. Sejarah hidupnya dimulakan hanya sebagai anak yang biasa-biasa sahaja dan bukan calon utama menggantikan ayahnya Sultan Murad II.

“Namun, kematian dua orang abangnya akibat dibunuh menyebabkan beliau dididik dan  dipersiapkan untuk menjadi sultan. Ayahnya menekankan kepentingan pendidikan awal dan menyerahkan tanggungjawab itu kepada dua orang ulama.

“Ketika berusia 8 tahun Sultan Muhamad telah hafal al-Quran, pada usia 9 tahun telah ditugaskan memegang jawatan Sultan menggantikan ayahnya. Usia 10 tahun telah mahir beberapa bahasa dunia. Dalam mendidiknya ditekankan kaedah ‘roti dan rotan’ (reward & punisment),” kata Ustaz Hasbullah.

Menurut Ustaz Hasbullah lagi, semua bakal sultan didoktrinkan untuk menawan kota konstantinopel, dan mengimpikan merekalah insan yang disebut dalam hadis Nabi Muhammad SAW ‘ketua yang terbaik dan tentera yang terbaik’.

Beliau menekankan peranan ibu bapa dalam membentuk disiplin, matlamat dan kejayaan anak-anak.

Dalam majlis tersebut seramai 110 remaja menyertai program daurah. Mereka berpeluang belajar pelbagai ilmu fardu ain termasuklah pengurusan jenazah dan sembelihan. Program tersebut berlangsung selama 10 hari bermula pada 27 November hingga 9 Disember, Isnin hingga Jumaat dan hari ini merupakan majlis penutup dan penyampaian hadiah dan sijil.

Selain itu turut disampaikan sumbangan kepada 83 fakir miskin dan 71 anak yatim.

Majlis turut dimeriahkan dengan alunan bacaan al-Quran, azan dan persembahan nasyid oleh peserta daurah yang menjadi johan dalam pertandingan ketika program ini. Turut hadir ialah Timbalan Nazir Masjid al-Khairiyah Taman Seri Gombak, Wan Nawawi Wan Dagang.  – HARAKAHDAILY 9/12/2017