Nadi Selangor by Roslan SMS | Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor
Oleh : Roslan Shahir Dato Mohd Shahir
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor
Isu melompat parti dikalangan wakil rakyat telah berlarutan sekian lama. Kadangkala apabila ia melibatkan sebilangan yang cukup tindakan seumpama itu boleh memungkinkan kerajaan negeri atau Persekutuan beralih kuasa atau dijatuhkan lantaran kehilangan majoriti.
Sudah pastilah yang paling kecewa dan tertipu adalah rakyat para pengundi di kawasan berkenaan. Semasa PRU mereka berikan mandat dan kepercayaan dengan memilih calon dari parti yang mereka yakini. Tiba-tiba atas desakan dan agenda peribadi wakil rakyat tadi meninggalkan partinya untuk menyertai parti lain atau menjadi Bebas.
Perubahan ini mengkhianati mandat dan kepercayaan rakyat dan sewajarnya tidak dibenarkan demi kestabilan negara dan keharmonian rakyatnya.
Seawal 1961 iaitu 2 tahun selepas PRU pertama 1959 tindakan sebegini telah mengakibatkan kerajaan negeri PAS Terengganu jatuh. Dan selepas itu beberapa negeri lain turut mengalami episod yang sama termasuklah Sabah, Perak dan terakhir termasuklah peringkat Persekutuan.
Kelantan di bawah PAS pernah luluskan Enakmen anti lompat parti seawal 1994 tetapi Enakmen itu dibatalkan oleh Mahkamah kerana diputuskan berlawanan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Kini kita dimaklumkan mantan Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang juga ahli Parlimen Pengerang Datuk Azalina Othman Said mahu mencadangkan satu mekaisma untuk membenteras tindakan curang ini.
Azalina mahu membawa usul pilihan raya bagi memecat wakil rakyat atau “recall election” bagi menghalang tindakan lompat parti ini yang tampaknya lebih efektif
Menurut beliau “recall election” merupakan mekanisme yang membolehkan rakyat menarik balik mandat yang diberikan kepada wakil rakyat sekiranya seseorang itu melompat parti.
Usul berkenaan tambah beliau membolehkan pilihan raya kecil diadakan semula di kawasan tersebut untuk membolehkan rakyat memilih wakil rakyat yang baharu.
Bermakna sejurus seseorang itu bertindak melompat parti, kerusinya otomatik kosong bagi membenarkan rakyat membuat pilihan baru. Dengan itu tidaklah kerusi tadi menjadi aset jual beli politik untuk menarik atau menolak sokongan setelah rakyat membuat keputusan mereka dalam PRU.
Secara peribadi saya menyokong inisiatif Azalina ini dan tanpa mengira parti semua pihak wajar menyokongnya agar mandat yang diberikan rakyat terus dihormati dan tidak sesekali dikhianati.
Biar Malaysia yang tercinta ini kekal stabil, aman dan sentosa, tidak lagi dikacau ganggu orang-orang politik yang tidak bertanggungjawab.
2 September 2021 | 24 Muharram 1443H
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor