Home Artikel PAS Sarawak

Ramadhan, Jangan Adat Mengatasi Ibadat

162 views
SHARE

Bulan Ramadhan 1438 Hijrah menjengah lagi. Bersempena bulan yang penuh dengan keampunan ini dan sebagai orang yang beriman kita hendaklah sentiasa mengharapkan keredhaan dan rahmat daripada Allah S.W.T. Sabda Rasulullah s.a.w., daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW telah bersabda mafhumnya: “Apabila telah tiba bulan Ramadan, maka terbukalah semua pintu rahmat dan tertutup semua pintu neraka serta tangan-tangan syaitan dirantai.”(HR Ahmad). Hadis ini menunjukkan betapa bulan Ramadan adalah bulan yang paling istimewa yang Allah s.w.t. kurniakan kepada hambanya.

PAS Kawasan Petra Jaya ingin mengajak seluruh masyarakat segenap peringkat agar kita dapat menghayati bulan Ramadhan kali ini dengan sepenuhnya. Agar hasil daripada latihan dan menahan diri daripada segala perkara yang dilarang ini dapat membentuk diri kita yang bertaqwa di sisi Allah s.w.t. Bulan ini bukan sahaja bulan berpuasa daripada tidak makan dan minum, tetapi juga berpuasa daripada segala amalan yang tidak mematuhi syariat Allah s.w.t.

Kita sudah didedahkan dengan amalan puasa ini sejak dari kecil. Perkara yang sama kita lakukan saban tahun. Tapi sedikit sahaja yang dapat mancapai peringkat taqwa kerana amalan-amalan bulan ini sudah bertukar menjadi adat, bukan lagi ibadat. PAS Kawasan Petra Jaya amat menyedari perkembangan yang terdapat di sekitar negeri Sarawak ini. Setiap tahun bila menjelmanya bulan Ramadhan, maka akan meriahlah bazar-bazar Ramadhan, ada yang disediakan tempat yang baik dan ada yang berniaga di tepi-tepi jalan. Pada sudut yang baik, ia dapat membantu orang ramai menjana pendapatan bagi persediaan Aidilfitri. Namun, apa yang PAS rasa terkilan adalah para peniaga ini mengabaikan perintah Allah s.w.t. yang lebih besar iaitu meninggalkan solat fardhu semasa berurus niaga dan ramai yang tidak menutup aurat. Sebenarnya inilah perkara yang paling utama sekali dituntut oleh Allah s.w.t. daripada mementingkan keuntungan perniagaan. Ia umpama mengharapkan untung perniagaan dunia yang sedikit daripada untung perniagaan akhirat yang lagi besar. Benarlah, puasa ini ujian kepada orang beriman.

Bulan ramadhan mendapat julukan sebagai pesta ibadah. Pelbagai pakej ibadah yang menarik ditawarkan dalam bulan ini. Kita sebagai seorang Muslim seharusnya perlu bergembira dengan kedatangan bulan ini kerana tawaran yang Allah s.w.t. kurniakan kepada umat Nabi Muhammad s.a.w. Sabda Rasulullah s.a.w. mafhumnya : “Barang siap merasa gembira dengan sebab kedatangan bulan Ramadhan nescaya Allah Taala mengharamkan jasadnya daripada api neraka”- (HR Ahmad). PAS Kawasan Petra Jaya ingin mengingatkan seluruh masyarakat di negeri ini supaya kita bukan gembira datangnya bulan Ramadhan atas sebab munculnya pelbagai promosi jualan hariraya di pusat-pusat beli-belah. Usaha pengusaha pusat beli-belah ini kita tidak berdaya untuk menghalang, tapi kita pastinya mampu mengawal diri kita daripada terpengaruh dengan tawaran jualan mereka sehingga kita melupakan tawaran yang lebih istimewa daripada Allah s.w.t. Kita tidak seharusnya menyibukkan diri dengan aktiviti membeli belah sehingga melupakan amalan solat terawih yang hanya terdapat dalam bulan istimewa ini. Rancang waktu beli-belah dengan sebaiknya agar kualiti ibadah kita dapat dikekalkan sepanjang bulan Ramadhan.

Akhirnya, PAS Kawasan Petra Jaya sekali lagi menyeru seluruh umat Islam di negeri ini agar memberikan fokus sebaiknya dalam pengisian bulan Ramadhan kali ini. Dengan ini, kami mengucapkan Selamat Menjalani Ibadah Puasa kepada seluruh lapisan masyarakat. Ayuh sejahtera bersama Islam.

Ketua Penerangan,
PAS Kawasan Petra Jaya

{jathumbnail off}