Home Kenyataan Media PAS Perlis

Ramadhan, Bulan Bonus Umat Islam

1021
SHARE

Bulan yang dinanti-nantikan ketibaannya. Hati sarat dengan rasa syukur dan rindu padanya. Berkah yang melimpah ruah buat semua penghuninya. Lahirkan kebanggaan sebagai penghuninya dengan zahirkan amal dan tingkahnya.

“Syaidul Syuhur”, Ramadhan iaitu penghulu segala  bulan. Apabila ia disebut sebagai penghulu, ketua,  maka bererti ia melebihi dari bulan-bulan yang lain dari sudut fadhilat dan kelebihannya. Firman Allah dalam Al-Quran ada menyebutkan kelebihan Ramadhan berbanding bulan-bulan yang lain secara terang dan jelas.  Surah Al-Baqarah ayat 185, maksudnya:

“Bulan ramadhan yang  diturunkan Al-Quran padanya, dimana al-Quran menjadi petunjuk kepada manusia dan yang menerangkan tentang pertunjuk dan yang membezakan antara hak dan batil”.

Pada kesempatan ini, PAS menyarankan semua muslim untuk memperbanyakkan bacaan Al Quran secara bertadarus serta mentadabur makna dan tafsir kalam Allah ini. Sesungguhnya luas makna tersurat dan tersirat yang mahu Allah sampaikan pada kita.

Oleh itu, ayuh kita manfaatkan program-program tadarus yang diadakan berdekatan dengan kita.

Selain itu, pahala amal ibadah kita pada bulan ini  akan digandakan yakni tiada pada bulan-bulan  lain. Ganjaran pahala amalan sunat dibulan Ramadhan adalah sama dengan ganjaran amalan wajib.  Kasihnya Allah pada hambaNya. Allah S.W.T. memberikan ganjaran  bagi satu amalan yang baik ialah dengan 10 pahala (10 kali ganda ) sehingga kepada 700 pahala dan lebih dari itu.

Di dalam Al-Quran, Allah S.W.T. berfirman dalam Surah Al-Baqarah  ayat 261 yang maksudnya:

“Bandingan (derma atau nafkah) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah seumpama sebiji benih yang menumbuhkan tujuh batang tangkai, setiap tangkai itu mengandungi 100 biji.

Allah melipatkan pahala bagi siapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas( kurnianya ) lagi Maha Mengetahui “
Maknanya satu amal kebajikan Allah beri bonus paling minima dengan 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda dan lebih lagi .

Pelbagai tawaran di dalamnya, maka tidak hairanlah kalau dikatakan bahawa bulan Ramadhan ini ialah bulan mendapat bonus dari Allah s.w.t.

Hal ini dikukuhkan lagi dengan usaha yang  bersungguh-sungguh bagi mencapainya yang bukan hanya satu bonus yang ditawarkan malahan  sangat banyak dan berlipat kali ganda pula. Jikalau,  gaji seseorang bernilai RM2,000 maka ditambah pula kadar bonus sebanyak RM500 itu hanya sekadar 1/4 dari gaji yang mana tidak sampai sekali ganda.

Ini pula bonus Allah s.w.t yang akan kita dapat di negeri yang kekal abadi, Apakah kita tidak mahu merebutnya?

Contohnya apabila kita membaca al-Quran  diganjar oleh Allah s.w.t pada setiap huruf yang dibaca dengan satu kebajikan dan seterusnya bacaan tersebut akan digandakan dengan 10 kebajikan. Rasulullah s.a.w bersabda:

“Sesiapa yang membaca satu huruf dari Al-Quran baginya satu kebaikan dan satu kebaikan itu digandakan denga sepuluh. Aku tidak mengatakan : Alif Lam Mim itu satu huruf, tetapi alif itu satu huruf, lam itu satu huruf dan mim itu satu huruf”

Seterusnya orang yang bersedekah pada bulan Ramadhan juga diberikan ganjaran  pahala yang berlipat ganda sebagaimana Rasulullah S.A.W. telah bersabda:

“Sesiapa yang bersedekah menyediakan makanan bagi orang yang berpuasa, maka baginya pahala sebanyak mana orang yang berpuasa itu tanpa dikurangi pahala mereka”

Justeru, PAS menyeru semua muslim untuk memanfaatkan sebulan Ramadhan dengan amalan-amalan wajib dan sunat yang telah disusun rapi. Semoga Ramadhan kali ini, kita peroleh barakah serta rahmatNya. Selamat menyambut Ramadhan Al Mubarak 1438H

Hajjah Latipah bt Mat
Ketua Muslimat PAS Negeri Perlis

{jathumbnail off}