Home Berita PAS Selangor

RAMADAN : PERJUANGAN KITA KERANA DIA ATAU DUNIA?

1168
SHARE

(RAMADAN : PERJUANGAN KITA KERANA DIA ATAU DUNIA? ]

Ramadhan adalah bulan yang disebutkan dalam hadis Nabi SAW sebagai Sayyidus Syuhur iaitu Penghulu Segala Bulan. Ia menunjukkan kemuliaan khusus yang dikurniakan kepada umat nabi SAW agar membezakan corak kehidupan kepada kehidupan yang lebih baik.

⚫ Ibadah Tanpa Riak

Ibadah puasa tidak sama seperti ibadah yang lain. Jika solat, sedekah, baca al-Quran dan haji sangat berpotensi untuk menunjuk atau mampu dipertontonkan kepada orang lain, namun tidak bagi puasa. Tiada siapa yang akan lihat dan bersama kita sepanjang masa untuk pastikan kita tidak makan dan minum. Pastinya akan ada suatu ketika di siang hari, kita akan bersendirian. Boleh sahaja kita berlakon seakan-akan berpuasa. Namun disaat bersendirian, kita boleh jadi melakukan perkara- perkara yang membatalkan puasa. Puasa atau tidak, hanya kita dan Allah SWT sahaja yang tahu. Sebab itulah Allah menegaskan dalam satu hadith qudsi;

قَالَ رَبُّكُمْ عَزَّ وَجَلَّ عَبْدِي تَرَكَ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ وَشَرَابَهُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِي وَالصَّوْمُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ

” Allah berfirman; ‘Hamba-Ku meninggalkan syahwatnya, makan dan minum kerana Aku, maka puasa adalah untuk-Ku dan Aku yang akan memberinya balasan.”

⚫ Hakikat Sebenar Ibadah

Maka itulah hakikat ibadah yang sebenar. Semata-mata kita beribadah kerana Allah. Jangan hanya menyempitkan pemikiran kita bahawa ibadah itu sekadar solat, puasa dan zakat. Ibadah itu bukan sekadar ibadah berbentuk ritual, tapi setiap gerak geri kita haruslah dikaitkan dengan ibadah kita kepada Allah SWT. Lupakah kita bacaan doa iftitah yang dilafazkan setiap kali kita mendirikan solat;

إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

“Sesungguhnya solatku, segala ibadahku, hidupku dan matiku, hanya semata-mata untuk Allah Tuhan semesta alam.”

Maka kehidupan kita hanyalah kerana Allah. Kejarlah dunia seakan kita hidup selama-lamanya, namun jangan sesekali tinggalkan keimanan kita kepada Allah dan hari Akhirat. Segala tingkah laku kita diperhatikan. Kalau kita seorang pelajar, amanah ilmu itu perlu diamalkan. Andai kita seorang pekerja, ahli bawahan mahupun seorang ketua dan pimpinan atasan, segala gerak geri kita adalah ibadah. Laksanakan amanah dengan sebaiknya, jangan khianat dan jangan hilangkan kepercayaan orang lain terhadap kita!

⚫ Sedar Tentang Wujudnya Jalan Yang Sesat

Kesilapan kita hari ini, hanya merasakan di sana sekadar wujud jalan ke syurga semata-mata. Maka segala tindak tanduk kita diarahkan ke tujuan yang murni tersebut. Apa yang membimbangkan, niat murni tersebut membuatkan kita buta hati dan tanpa sedar atau pura-pura tidak sedar sanggup melakukan perkara yang mungkar untuk mencapai cita-cita yang dihajatkan. Kononya alasan kita untuk mencapai maslahat yang lebih besar, lantas dengan sengaja menghalalkan semua cara yang boleh digunakan.

Sedangkan di sana ada perkara yang boleh menyebabkan kita masuk ke neraka. Jalan-jalan yang memesongkan kita dari syurga itu wujud dan sememangnya dibuka seluas-luasnya untuk kita melaluinya. Kegagalan kita memahami adanya jalan yang terpesong menyebabkan kita sesat tanpa sedar. Akan sentiasa berasa selesa dan cepat melatah bila mana ada yang menegur kesalahan dan kesilapan yang kita lakukan.

Bukankah di dalam Surah Al-Fatihah yang sering kita bacakan, memohon agar terus dipandu ke jalan yang lurus dan bukan jalan mereka yang dimurkai dan sesat?

Tiba-tiba kita terus berasa tenang seakan kita telah dijanjikan syurga dan kemenangan tanpa ada ujian, halangan dan syarat yang perlu dipenuhi.

⚫ Kegagalan Kaum Terdahulu

(لُعِنَ ٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ مِنۢ بَنِیۤ إِسۡرَ ٰ⁠ۤءِیلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُۥدَ وَعِیسَى ٱبۡنِ مَرۡیَمَۚ ذَ ٰ⁠لِكَ بِمَا عَصَوا۟ وَّكَانُوا۟ یَعۡتَدُونَ ۝ كَانُوا۟ لَا یَتَنَاهَوۡنَ عَن مُّنكَرࣲ فَعَلُوهُۚ لَبِئۡسَ مَا كَانُوا۟ یَفۡعَلُونَ)

“Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan.”
[Surat Al-Ma’idah 78 – 79]

Bani Israil, diketahui umum merupakan bangsa yang terlaknat. Namun kita seolah-olah tidak perasan dan tidak mengambil iktibar apa yang telah dilakukan oleh mereka sehingga menjadi bangsa yang dimurkai sehingga ke hari ini. Perhatikan ayat ini, mereka tidak saling menegur akan kemungkaran yang berlaku. Pengkhianatan dibiarkan dan didiamkan. Malah, bilamana ada segolongan di kalangan mereka ingin membetulkan keadaan, mereka memperlekeh dan mempertikaikan tindakan golongan tersebut. Mereka seakan reda dengan maksiat yang berlaku. Lebih memilukan, kesesatan itu dianggap suci kerana sikap mereka yang menolak ilmu dan hujah menyebabkan mereka hanyut dan jauh terpesong.

⚫ Bertaubat Sebelum ‘DIGANTIKAN’

Insafi kesilapan generasi terdahulu, perbaiki salah dan silap langkah kita dalam beribadah di setiap pekerjaan dan perjuangan kita. Jangan mudah merasa selesa semata-mata ini adalah ibadah dan perjuangan Islam, serta meyakini Allah akan menerima amalan kita dan Allah akan pastikan perjuangan Islam terus terpelihara. Sedangkan setiap ibadah ada rukun dan syariatnya, setiap pertolongan dan nusroh Allah terhadap perjuangan ini mempunyai ciri dan syarat yang perlu dipenuhi terlebih dahulu. Takutlah dengan ancaman yang diberikan kepada kita ;

( وَإِن تَتَوَلَّوۡا۟ یَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَیۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا یَكُونُوۤا۟ أَمۡثَـٰلَكُم)

“Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertakwa dan berinfak) Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.”
[Surat Muhammad 38]

⚫ La’allakum Tattaqun

Semoga Ramadan ini membuatkan kita lebih waras berfikir. Menilai dengan iman dan menyedari apa kesilapan yang berlaku disekeliling kita. Bukan sekadar dituntut meningkat dan melipat gandakan amalan kita di bulan yang mulia ini sahaja, turut dituntut untuk menjaga hubungan sesama kita. Menjaga dan menyayangi saudara kita bukan dengan membiarkan mereka yang kita sayang itu tenggelam dalam kemaksiatan. Tapi, kerana sayanglah kita kepada mereka daripada terus terjerumus dalam kemungkaran. Walaupun terkadang sehingga kita terpaksa terkorban demi menyelamatkan apa yang kita sayang.

Muhammad Faiz Othman
Pengerusi Lajnah Tarbiah dan Pengkaderan
Dewan Pemuda PAS Kawasan Klang (DPPKK)
14 Mei 2019