Home Minda Presiden

Ramadan Membina Syakhsiah Muslim

666
SHARE

Alhamdulillah syukur kerana berpeluang menjadi tetamu Allah di bulan pilihan-Nya, dihidangkan dengan makanan jasad, akal dan roh. Tiga komponen ini yang membezakan manusia dengan makhluk yang lain, menjadikan manusia itu layak bertugas di muka bumi dan memakmurkannya dengan Syariat Allah yang Maha Pencipta Alam seluruhnya.

Allah melantik para rasul kalangan manusia dan mereka dibantu dengan kitab yang diwahyukan bersama mukjizat mengikut zaman dan kaum masing-masing. Allah menurunkan Al-Quran di bulan Ramadan, sebagaimana dinyatakan dalam firman-Nya:

“Bulan Ramadan, di dalamnya diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang batil)” (Surah al-Baqarah: 185)

Al-Quran adalah mukjizat ilmu kepada Rasul terakhir Muhammad S.A.W, bukan sahaja ilmu yang dinamakan agama oleh bahasa yang lain daripada bahasa Al-Quran (arab), bahkan termasuk juga ilmu dunia yang luas, di antaranya sains dan teknologi yang menjadi kebanggaan terkini.

Al-Quran menceritakan asas-asas ilmu yang sangat luas tanpa hujungnya di alam bumi. Luasnya dari bumi sehingga angkasa lepas, selari dengan perkataan Al-Din iaitu perkataan yang sebenar bagi Islam.

Bulan Ramadan menjadi pilihan diturunkan Al-Quran daripada Luh Mahfuz yang tinggi mengatasi langit, dibawa ke langit dunia, tempat yang disebut Baitul Izzah atau Mawaqiunnujum. Firman Allah:

“Maka Aku bersumpah: Demi tempat-tempat peredaran bintang cekerawala dan masa-masa turunnya bahagian-bahagian Al-Quran; (75) Dan sebenarnya sumpah itu adalah sumpah yang besar, kalaulah kamu mengetahuinya, (76) Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah Al-Quran yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan), (77) Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara, Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci; (79) Al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam. (80)” (Surah al-Waqiah: 75-80)

Al-Quran diwahyukan kepada Rasulullah S.A.W. secara berdikit dalam tempoh 23 tahun di Makkah dan Madinah, menyatakan dasar dan konsep yang tetap tidak berubah berkenaan iman, syariat dan akhlak. Al-Quran membongkar perkara ghaib yang tidak diketahui dan dicapai oleh sebahagian daripada alam yang luas, peristiwa umat terdahulu dijadikan iktibar, peristiwa akan datang khususnya Hari Kiamat di mana tempat dikembalikan kepadanya seluruh manusia dengan hisab dan pengadilan daripada peranannya di alam dunia.

Al-Quran juga menyebut keadaan alam bumi dan langit dan hukum syariat dari segi dasar, konsep dan pelaksanaan mengikut keperluan semasa yang membawa penyelesaian masalah yang mendatang. Ia menjadi panduan hidup dan petunjuk yang lengkap kepada manusia mengikut fitrah (naluri) yang sesuai dengan keadaan di akhir zaman yang menjadikan dunia berada dalam satu masyarakat madani dengan mudah, yang berbeza dengan zaman dahulu.

Allah mencabar manusia dengan firman-Nya:

“Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba Kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain daripada Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar. (23) Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu daripada api Neraka yang bahan-bahan bakarannya adalah: Manusia dan Batu-batu (berhala), (iaitu Neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir) (24)” (Surah al-Baqarah: 23-24)

Adalah menjadi hikmah yang nyata apabila Allah S.W.T memilih bulan Ramadan yang diturunkan Al-Quran ini dijemput orang-orang yang beriman menjadi tetamunya, dihidangkan makanan jasad, akal dan roh. Waktu siangnya diwajibkan berpuasa dengan kelebihan makanan sahur dan berbuka yang berkat. Ditambah dengan ibadah bertadarus Al-Quran, membetulkan bacaan dan kuliah ilmu yang menjadi makanan akal, ditambah lagi dengan ibadah jasad, roh dan harta yang disunatkan disamping sembahyang fardhu dan nafkah yang wajib. Sehingga kemuncaknya melahirkan sifat taqwa yang menjadi konsep jati diri terpenting kepada seseorang manusia.

Taqwa adalah sikap dalam diri seseorang yang melahirkan rasa perhambaan kepada Allah dan takut kepadanya, sehingga menggerakkan dirinya melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangannya. Ibadah puasa yang ikhlas sahaja sudah cukup bagi mentarbiyahkan diri.

Apabila ikhlas meninggalkan makan minum dan lain-lain di tempat nyata dan sembunyi yang paling mudah menipu, namun tetap berpuasa juga kerana beriman bahawa Allah itu Maha Mengetahui, Mendengar dan Melihat, maka lahirlah sifat taqwa yang menjadi konsep hidup bagi seorang muslim.

Al-Quran adalah petunjuk dan arahan Allah kepada setiap manusia yang berakal dan berkemampuan. Semua orang akan dibicarakan di hadapan Allah pada Hari Kiamat nanti, menjadikan seseorang yang bertaqwa sangat berwaspada.

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:

“Setiap orang akan ditanya pada Hari Kiamat  nanti. Pemimpin ditanya berkenaan rakyatnya, suami berkenaan keluarganya, isteri berkenaan rumah tangganya, anak berkenaan ibubapa dan peninggalannya, majikan berkenaan pekerjanya dan pekerja pula berkenaan tugasnya. Semua orang adalah bertanggungjawab ditempat masing-masing”

Islam yang berkonsepkan taqwa berjaya menghapuskan amalan negatif dalam kehidupan manusia, khususnya kezaliman, penipuan, rasuah, salah laku dan lain-lain dikalangan para pemimpin. Semua rakyat dalam kedudukan masing-masing menjaga akhlak diri dalam semua hubungan dan tugasnya di tempat masing-masing.

Islam telah berjaya menghapuskan perkara negatif bukan sahaja dengan undang-undang yang dikuatkuasakan, tetapi lebih daripadanya adalah jati diri seseorang dengan sifat taqwa walaupun tanpa diketahui oleh pihak yang berkuasa.

Satu contoh yang menarik apabila Khalifah Umar R.A. mengintip tingkah laku rakyatnya menemui seorang wanita penjual susu yang cuba menipu meletakkan air ke dalam susu yang dikumpulkan, tiba-tiba si anak gadisnya menegur jangan melakukan begitu. Dia menjawab: “Khalifah Umar tidak tahu menahu”. Anak gadisnya menyampuk: “Walaupun Umar tidak tahu tetapi Tuhan Umar tahu”. Lalu si ibu membatalkan tipunya. Umar terus menandakan rumah itu dan meminangkan gadis anak penjual susu menjadi menantunya, yang akhirnya melahirkan zuriat Khalifah Umar bin Abdul Aziz.

Konsep taqwa inilah memungkinkan Islam memerintah masyarakat majmuk sehingga beberapa abad dengan adil dan menjamin hak masing-masing dikalangan masyarakat berbagai kaum dan agama dalam negara yang luasnya dari Timur di Asia Tenggara, sebelah Barat di Afrika Barat sehingga Sepanyol, Utara di Asia tengah dan Selatannya di Afrika Tengah. Adapun kejatuhan pemerintahnya apabila meninggalkan Islam dan hilangnya jati diri Muslim.

Keadilan dalam bermasyarakat majmuk ini berkonsepkan firman Allah:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah al-Hujurat: 13)

Firman Allah:

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Maidah: 8)

Adapun ideologi ciptaan manusia melaksanakan undang-undang tanpa roh keimanan, perhitungan dosa dan pahala serta tiada bermatlamat Hari Akhirat. Semuanya dapat bertahan sementara waktu yang terlalu pendek. Terdedah selepasnya di zaman kini, penganut Liberal Kapitalisma disebalik slogan demokrasinya adalah monopoli diri dan kroni, politik wang dan peluang.

Adapun Komunis dan Sosialis berslogankan demokrasi juga bersama kuasa pemimpin di atas nama masyarakat tertindas tetapi terserlah dan terbongkar selepas kejatuhannya melahirkan pemimpin yang bersifat kapitalis yang lebih bernafsu daripada kapitalis yang terbuka. Semuanya berkonsepkan sekularisma yang memisahkan agama Allah daripada urusan duniawi. Berlakunya skandal di dalam gereja dan kuil.

Islam itu pula hendaklah diamalkan secara Tafaqquh fi Al-Din. Kalau tidak, ibadahnya melampau, dakwahnya melampau, politik dan ekonominya juga melampau, jihadnya juga melampau. Semuanya bukan model Islam yang sebenar. Inilah maksud Firman Allah:

“Maka hendaklah keluar sebahagian  daripada tiap-tiap puak di antara mereka, supaya bertafaquh  (mempelajari secara mendalam dan faham akan ilmu yang dituntut di dalam Islam ) dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang dan berbagai urusan ) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (daripada melakukan larangan Allah).” (Surah at-Taubah: 122)

Apa yang disebut adalah sedikit pencerahan daripada Al-Quran yang diturunkan di bulan Ramadan dan konsep taqwa melalui amalan Ramadan sekiranya wujud dalam diri seseorang Muslim boleh menyelamatkan keadaan di mana sahaja dia berada.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Bertarikh: 26 Ramadan 1438H / 21 Jun 2017M