RAMADHAN KEKASIH YANG DINANTI
Bulan Ramadhan satu bulan yang penuh dengan keagungan dan keberkatan. Satu bulan yang merupakan anugerah ilahi kepada umat Muhammad S.A.W. Kehadirannya telah dinanti sejak bulan Rejab lagi dengan kita semua mendoakan agar dikurniakan anugerah bertemu dengan Ramadhan.
Allah S.W.T berfirman :
{ شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدٗى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٖ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ ٱلشَّهۡرَ فَلۡيَصُمۡهُۖ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٖ فَعِدَّةٞ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَۗ يُرِيدُ ٱللَّهُ بِكُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ ٱلۡعُسۡرَ وَلِتُكۡمِلُواْ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمۡ وَلَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ }
[Surah Al-Baqarah: 185]
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.
Kefardhuan ibadah puasa di bulan Ramadhan menjadi bukti keimanan seorang hamba pada khaliqnya. Tiada siapa yang mengetahui seseorang itu benar-benar berpuasa atau tidak, itulah manifestasi iman kepada Yang Maha Esa. Oleh sebab itulah, ganjaran ibadah puasa merupakan rahsia Allah pada hambanya.
Selain itu juga, ibadah puasa juga merupakan satu terapi kejiwaan untuk menghidupkan rohani seseorang. Para arif billah menjadikan ibadah puasa sebagai satu bentuk penyucian jiwa untuk dekat dengan Allah S.W.T. Akhirnya ibadah puasa sebulan pada bulan Ramadhan mampu transformasi diri seseorang menjadi hamba yang bertaqwa kepadaNya. Kelebihan inilah yang patut direbut oleh setiap ahli dan kepimpinan pemuda PAS agar Ramadhan betul-betul menjadi satu madrasah yang bakal menyediakan kita menjadi Jundullah.
Anugerah Ramadhan bukan sahaja pada puasa pada siangnya,namun terdapat juga pada mendirikan malam-malam Ramadhan dengan ibadah-ibadah sunat. Dalam malam inilah terdapat satu malam yang dinanti-nantikan, malam yang terlebih baik dari seribu bulan. Satu malam yang agung anugerah terbesar kepada umat Muhammad S.A.W. Namun, malam itulah yang sering dilupai oleh kita semua. Kita sibuk mengejar persiapan raya hingga lupa pada pencarian dan menghidupkan malam lailatul qadr.
Ayuh para pemuda, hidupkan gelombang menyambut ramadhan di tempatmu. Hidupkan syiar dan gelombang mengejar Lailatul Qadr di segenap lapisan masyarakat agar kitalah yang menjadi daie menyedarkan umat tentang kelebihan yang ada pada malam tersebut. Ayuh kita mulakan budaya menyambut Ramadhan lebih besar dari budaya menyambut Syawal di tempat kita, kerana inilah tugas daie di bulan Ramadhan yang mulia.
Semarakkan Ramadhan, anggaplah Ramadhan ini yang terakhir buat kita. Hidupkan gelombang ibadah dan tarbiah di bulan Ramadhan kerana cabaran ujian keimanan bertambah kuat pada bulan-bulan yang mendatang. Letakkan matlamat maghfirah dan bebas dari api neraka setelah keluar dari bulan Ramadhan. Jangan kita menjadi para pemuda yang didoakan nabi kecelakaan kerana tidak mendapat apa-apa dari bulan Ramadhan.
Selamat menyambut bulan Ramadhan ikhlas daripada kami :
1. Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu
2. Ahli Jawatankuasa Lajnah Dakwah DPPNT