Home Berita PAS Perlis

Rakyat Sedari Kesilapan, Sedia Hukum Kerajaan PH

1323
SHARE

Oleh: Muhammad hadi

ARAU : Kegagalan demi kegagalan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) dalam mengotakan janji-janji yang mereka buat telah menimbulkan kemarahan rakyat, kata ADUN Guar Sanji, Ustaz Mohd. Ridzuan Hashim.

Menurutnya, meskipun pelbagai alasan diberikan, kepercayaan rakyat terhadap kerajaan semakin terhakis malah semakin ramai yang mulai sedar akan kesilapan yang telah mereka lakukan dalam PRU-14 yang lalu.

Ujarnya lagi, sejak negara diperintah oleh kerajaan pimpinan PH, rakyat saban waktu dihidangkan dengan retorik betapa agenda Malaysia Baru yang mereka bawa menjanjikan perubahan yang lebih positif kepada negara serta kesenangan kepada rakyat.

Namun katanya, apa yang berlaku adalah sebaliknya, keadaan negara menjadi semakin parah akibat pelbagai masalah serta isu yang timbul akibat kegagalan dan kelemahan kerajaan yang ada pada hari ini.

“Tidak pernah dalam sejarah, negara terpaksa berhadapan dengan rentetan masalah yang meragut perpaduan dan kemakmuran serta mengancam kedaulatan negara.

“Ketika ekonomi kita semakin parah dan menghimpit hidup rakyat, ada pula golongan yang sibuk berebut kuasa demi kepentingan politik mereka.

“Terbaru, mereka memarakkan lagi api kemarahan rakyat dengan menjual aset-aset strategik milik negara secara besar-besaran dalam tempoh yang singkat kepada negara asing, suatu tindakan yang kita khuatiri boleh mengancam kedaulatan negara” katanya di sini hari ini.

Berdasarkan kepada apa yang berlaku, rakyat ujarnya, sudah bersedia menghukum kerajaan yang telah mereka pilih, demi menyelamatkan negara yang mereka cintai.

“Jangan ingat rakyat akan terus tertipu, mereka akan bangkit menghukum kerajaan yang telah berulang kali menipu mereka,” katanya.