Oleh : Prof. Madya Dr Mohd Fuad Mohd Salleh
Kini sudah sampai masanya rakyat Malaysia didedahkan dengan kaedah pembuatan hukum atau penetapan sesuatu kaedah untuk maslahat umum supaya kita semua faham dan tidak mengambil mudah untuk menghina atau mengkritik sesuatu tindakan pihak berkuasa agama atau pemerintah (Sekadar berusaha memahamkan dan nak tahu lebih lanjut perlu hadir kuliah atau kelas khusus). Berusahalah menambah ilmu dengan menghadiri kuliah bukan mencari ilmu melalui Google!!!
Salah satu kaedah asas Fiqh (قواعد فقه) ialah:
الضرار يزال
“Kemudaratan (bahaya) hendaklah dihilangkan”
Asas kepada kaedah ini ialah hadis Rasulullah S.AW.
لا ضرر ولا ضرار .
(La dharara wala dhirar)
Makna ضرر ialah melakukan kerosakkan terhadap orang lain, sedangkan ضرر ertinya bertindak balas melakukan kemudaratan yang sama dengan kemudaratan terhadapnya.
Kaedah ini mengecualikan ضرر yang diizinkan oleh syarak seperti qisas dan hudud segala jenis hukuman keseksaan dan ta’zir kerana menolak/menghindar kerosakan hendaklah didahulukan berbanding menarik/mencari kebaikan.
Dalil kaedah Fiqh ini diambil dari al-Quran:
لَا تُضَاۤرَّ وَ ٰلِدَةُۢ بِوَلَدِهَا وَلَا مَوۡلُودࣱ لَّهُۥ بِوَلَدِهِۦۚ
سورة البقرة : 233
dan juga Hadith Nabi SAW :
“لا ضرر ولا ضرار”
(La dharara wala dhirar)
Salah satu kaedah yg terbit dari kaedah asas ini ialah:
الضرورات تبيح المحظورات
“Darurat mengharuskan yang dilarang” (Keadaan darurat mengharuskan sesuatu yang asalnya dilarang atau diharamkan.)
Maksud kaedah ini ialah bahawa ada ketikanya sesuatu yang dilarang pada syarak boleh bertukar menjadi harus apabila berlaku darurat. Perubahan pelaksanaan hukum dinamakan rukhsah (keringanan). (Hukum asal masih kekal tidak berubah, hanya pada waktu muncul darurat hukum ini tidak dilaksanakan atau tidak terpakai.)
Sebagai contoh:
Hukum meminum arak adalah haram dan ia kekal haram sampai bila-bila. Namun pada ketika perang, oleh kerana ubat bius tiada untuk kegunaan pembedahan dan yang ada hanya arak, maka pada ketika itu pesakit (hanya untuk pesakit sahaja) yang akan dibedah dibolehkan meminum arak untuk tujuan menghilangkan sakit ketika pembedahan.
Namun kaedah ini perlu disertai bersama dengan kaedah yang berikutnya yang mengawal had atau mengikat pelaksanaan kaedah tadi.
Kaedah yang menikat ini ialah :
الضرورات تقدر بقدرها
Maksudnya : “Mudarat (hanya diambil) cukup sekadar yang perlu sahaja”
Contohnya ialah:
Bagi kes pesakit tadi, dia hanya boleh minum arak tersebut sekadar untuj dia hilang deria sakitnya menurut ukuran doktor yang akan membedahnya dan tidak boleh lebih dari itu.
Satu contoh praktikal pada masa ini ialah seorang doktor harus melihat aurat pesakitnya ketika merawat, sekiranya ada keperluan mendesak sebagaimana syarat-syarat yang telah digariskan oleh syarak seperti ditemani oleh mahram, suami atau wanita yang tsiqah (dipercayai), tidak boleh berdua-duaan yang berlainan jantina antara pesakit dan perawat dan lain-lain.
Namun begitu doktor hanya boleh melihat aurat pesakitnya atau memegangnya atau lain-lain hanya ketika ada keperluan mendesak bagi merawatnya serta menolak kemudaratan. Perbuatan tersebut hanya dibenarkan setakat yang perlu sahaja dan tidak boleh lebih daripada itu.
Contohnya, sekiranya bagi merawat pesakit cukup dengan hanya mendedahkan pehanya, maka tidak boleh membuka auratnya sehingga lebih daripada itu atau sekiranya cukup dapat dikenalpasti sakitnya hanya dengan memegangnya secara berlapik, maka tidak boleh memegangnya tanpa berlapik dan lain-lain.
Termasuk juga di dalam perkara ini ialah mengutamakan doktor lelaki bagi pesakit lelaki, doktor perempuan bagi pesakit perempuan kerana ini lebih selamat dan jauh daripada fitnah.
Manakala ketika perlu melihat kepada aurat pesakit perempuan utamakan dahulu doktor perempuan muslim kemudian barulah doktor perempuan bukan muslim, kemudian doktor lelaki muslim dan akhir sekali barulah doktor lelaki bukan muslim.
Kalau sekiranya tiada keperluan dan cukup hanya dengan doktor perempuan muslim (bukan pakar), tidak boleh menyingkap aurat pesakit perempuan tadi di hadapan doktor lelaki sekalipun dia adalah doktor pakar (bagi sakit berkenaan).
Ayuh sama-sama kita berusaha menghadiri kuliah untuk menambah ilmu dan kefahaman agar kita menjadi manusia yang lebih bertanggungjawab.
Prof. Madya Dr Mohd Fuad Mohd Salleh
Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Negeri Selangor
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor
#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemperkukuhPerpaduan
#MediaPASSelangor