KUALA TERENGGANU – Hujan renyai tidak mematahkan semangat kira-kira 2,000 penyokong PAS yang hadir ke Pusat Penamaan Calon bagi memberikan sokongan padu kepada calon parti itu bagi Parlimen Kuala Terengganu.
Calon Perikatan Nasional (PN- PAS) Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim tiba di stadium Negeri Terengganu di sini pada jam 8.55 pagi bagi menyerahkan borang penamaan calon.
Sebelum itu, calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Shah bersama kira-kira 100 penyokong setia menjadi calon pertama tiba di Pusat Penamaan Calon Parlimen Kuala Terengganu pada jam 8.45 diikuti calon PEJUANG, Mohamad Abu Bakar pada Pejuang pada jam 8.49 pagi.
Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Zuber Embong bersama kira-kira 200 penyokong hadir ke pusat penamaan calon pada jam 9.12 pagi.
Pertembungan empat penjuru itu dijangka menarik kerana empat calon bertanding masing-masing mempunyai reputasinya yang tersendiri.