Home Rencana PAS Kelantan

PRU 15 – Ke manakah arah tuju pengundi muda?

2234
SHARE


Oleh Nik Azman Nik Mustafa

Oktober 10, pembubaran parlimen diumumkan, menimbulkan pelbagai reaksi umum.
Ramai yang meramalkan Pilihan Raya Umum (PRU)-15 akan lebih sengit berbanding dengan PRU sebelumnya dengan kehadiran semakin banyak parti politik baharu dan pembabitan pengundi muda 18 tahun.

Dijangkakan 21.1 juta pengundi berdaftar akan membuat keputusan untuk menentukan kerajaan baharu pada PRU-15 nanti.

Sebahagian daripada jumlah itu membabitkan pengundi muda menerusi pendaftaran automatik.

Kehadiran pengundi 18 tahun mampu mengubah senario politik semasa jika semua pengundi terbabit keluar mengundi pada PRU-15 akan datang.

Dua isu utama

Politik Malaysia menjelang PRU-15 sedang berdepan dengan dua isu utama, selain pengundi muda adalah kewujudan parti-parti politik baharu yang dikatakan pada ketika ini sudah ada 12 parti politik baharu yang lulus pendaftaran.

Daripada jumlah 12 parti diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), sepuluh daripadanya ialah parti dari Semenanjung Malaysia, manakala baki dua lagi dari Sarawak.
Antara parti baharu yang didaftar di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas PRU-14 yang agak popular ialah Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Bangsa Malaysia (PBM), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra).

Meneliti prestasi parti-parti baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor tahun lalu, tiada parti selain Muda dan PN (gabungan Bersatu, PAS dan Gerakan) yang benar-benar memberi impak serius kepada parti-parti dominan sedia ada.
Kematangan Pengundi Muda

Pertambahan pengundi muda menerusi pendaftaran automatik undi 18 bukan hanya cabaran kepada Umno sahaja, malah kepada Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan parti-parti lama yang lain.

Persoalan timbul tentang kematangan dan kepekaan pengundi 18 berkenaan situasi politik negara dan menjadi kayu ukur – perlukah mereka mengambil masa untuk berpolitik? Atau lebih baik tumpukan sepenuh masa kepada kerjaya mereka daripada isu politik yang tidak mendatangkan sebarang faedah untuk mereka?

Kelahiran parti-parti politik dengan pelbagai pendekatan ideologi tidak banyak menguntungkan pengundi, sebaliknya lebih bertujuan memecahkan undi.

Sekali gus boleh mengelirukan pengundi khususnya pengundi muda yang belum banyak pengalaman tentang perkembangan politik tanah air.

Semua ahli, pemerhati dan peminat politik di Malaysia perlu menerima dinamika baharu dalam politik negara yang beralih daripada persaingan dua parti politik kepada sistem pelbagai parti.

Ramai yang melihat situasi politik Malaysia hari ini adalah bertitik tolak daripada krisis keyakinan terhadap karisma dan kebolehpercayaan pemimpin sedia ada.

Lembaran baharu penglibatan belia dibuka untuk kita lihat sejauh mana sistem politik negara Malaysia menuju ke arah kematangan dengan kehadiran pengundi 18, juga menerbitkan keterujaan kepada peminat politik tempatan.

Detik bersejarah lahirnya era Malaysia Baharu setelah parti gabungan PH yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (PAN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) telah berjaya memenangi 121 kerusi Parlimen dan berjaya membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Kejayaan tersebut adalah hasil daripada sumbangan pengundi muda yang waktu itu belum lagi membabitkan pengundi 18 tahun.

Statistik 46 peratus pengundi muda hari ini menimbulkan persoalan, adakah sejarah PRU-14 akan berulang?
Kepekaan Terhadap Politik tidak dinafikan golongan muda adalah golongan yang bermaklumat. Namun, sejauh manakah kepekaan golongan muda dengan perkembangan politik negara hari ini?
Berapa peratus dalam kalangan pengundi 18 tahun yang betul-betul faham tentang kepentingan politik untuk sebuah negara?

Persepsi golongan muda berbeza dalam berpolitik khususnya dalam mendepani PRU-15 akan datang. Faktor ideologi mungkin bukan lagi suatu keutamaan. Sebaliknya, faktor pembangunan dan ekonomi akan lebih menjadi keutamaan untuk mereka membuat perhitungan demi hala tuju negara.

Mereka mahu melihat perubahan ke arah yang lebih baik dan terjamin untuk sebuah negara bernama Malaysia. Khususnya dalam memberi jaminan untuk masa depan mereka dalam bidang pendidikan, sektor pekerjaan, perkembangan kerjaya dan peluang-peluang perniagaan.

Dalam hal ini, mereka akan memilih parti politik yang lebih cenderung meraikan hasrat dan keperluan anak muda. Parti yang sentiasa mendengar suara rintihan mereka, dan parti yang mampu memberi janji untuk lebih menyakinkan mereka.

Soal tokoh dan calon juga tidak kurang pentingnya. Personaliti dan karisma calon pemimpin yang manakah sesuai dan menepati inspirasi perjuangan mereka, menjadi antara faktor undi diberi.
Jelasnya, dengan kehadiran pengundi 18 menjelang PRU-15 ini, masih banyak persoalan yang mendepani parti-parti politik yang sebahagian besarnya masih belum terjawab.

Harapan Terhadap Undi 18

Kuasa Undi 18 pada dan pasca PRU-15 membolehkan golongan muda diberi peluang terbabit secara aktif dalam politik, seterusnya pencorak landskap politik negara dan negeri yang seterusnya.

Semoga pelaksanaan Undi 18 tahun berupaya melahirkan bakal pengundi yang mampu memilih pemimpin yang matang dan berkualiti justeru usia bukan penentu kematangan melainkan perilaku individu itu sendiri natijah daripada cara berfikir yang dipengaruhi ilmu dan agama.

#KelantanMajuRakyatSejahtera
#KelantanModelKerajaanPrihatin