Home Berita Dewan Ulamak PAS Pusat

PRU-14: Bekerjalah Menegakkan Agama Allah

1314
SHARE

RISALAH UNTUK PENGUNDI

Bilangan: 06

PRU-14: BEKERJALAH MENEGAKKAN AGAMA ALLAH

Oleh:
USTAZ MOHD ASRI MAT DAUD
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

1. Firman Allah SWT:

وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ ۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ

“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata. Kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.” [al-Taubah: 105]

2. Ayat ini menjadi motivasi kepada umat Islam yang cintakan agama Allah bahawa segala penat lelah dalam gerak kerja yang dilakukan pastinya dilihat oleh Allah dan Rasul-Nya. Maka, soal berjaya atau tidak dalam tugasan, itu adalah dalam perkiraan Allah, namun kerja yang dilakukan jika kerana agama Allah, balasan dan ganjaran besar dikurniakan di dunia dan akhirat.

3. Setiap manusia memiliki kelebihan dan kepakaran masing-masing. Gunakanlah kesemuanya untuk Islam dan memenangkan agenda Islam. Terutama kerja semasa PRU ini terlalu banyak dan tersangat terhad sumber tenaga. Gunakanlah masa, tenaga bahkan undi kita demi untuk memenangkan perjuangan Islam dalam PRU ini.

4. Teringat kepada Almarhum Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah menyebut:

“Bagi mereka yang ada mulut, bercakap. Ahli yang boleh memanjat pokok, panjat untuk tampal poster. Mereka yang ada wang, menderma. Yang berkebolehan dalam internet, gunakan internet. Semuanya untuk memberikan kemenangan kepada Islam dalam semua segi.”

5. Begitulah juga jika kita sayangkan Islam, berilah undi kepada calon yang mampu membawa agenda Islam dalam kehidupan bermasyarakat. Ketahuilah, setiap kerja dilakukan ada nilainya walaupun ia tidak dilihat oleh manusia. Selagi mana gerak kerja itu menyumbang kepada manfaat Islam maka ia amat bernilai di sisi Allah.

6. Bagi mempastikan kejayaan dalam usaha gerak kerja yang dilakukan, kita hendaklah memainkan peranan dan bekerjasama membantu gerak kerja murni mereka yang ingin mendaulatkan perundangan Islam dalam negara.

7. Imam al-Syahid Hasan al-Banna di dalam karyanya Hal Nahnu Qaumun ‘Amaliyyun menyatakan:

“Kesilapan timbul kerana sikap terlalu berserah menyebabkan kita selalu menyerahkan sesuatu tanggungjawab kepada hanya seseorang atau masing-masing menolak tugasan kepada seseorang sahaja. Seterusnya orang ini dibiarkan bersendirian tanpa ada sesiapa yang membantunya. Di sini ingin saya tegaskan kepada sesiapa sahaja di kalangan umat Islam yang bersemangat tinggi, mana-mana jamaah Islam di zaman ini amat-amat memerlukan individu-individu yang mahu bekerja dan berfikir. Mereka memerlukan orang-orang yang berani dan produktif. Oleh itu, diharamkan kepada sesiapa sahaja yang memahami hakikat ini untuk melewatkan diri menyahut seruan ini walaupun sesaat.”

8. Justeru, bekerjalah dimana sahaja posisi untuk memenangkan perjuangan Islam pada PRU-14 kali ini dengan bersungguh-sungguh. Tidak kira apa sahaja caranya sama ada melalui kuliah, posting di media sosial termasuklah memberi undi kepada calon yang berintegriti, kita pastikan diri kita:

1) Ikhlas kerana Allah;
2) Menjaga batasan syariat;
3) Sentiasa memohon kemenangan daripada Allah untuk kedaulatan Islam.

Terbitan:
Jabatan Pilihan Raya Ulamak
Dewan Ulamak PAS Pusat

10 Syaaban 1439H / 26 April 2018 (Khamis)

 

Sila muatturun dokumen (dalam format *.PDF) bagi tujuan cetak dan sebaran melalui pautan di bawah:

risalah untuk pengundi – bil 06