Oleh: NUSAIBAH IBRAHIM
TITIWANGSA, 28 Apr- Proses penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-14 bagi kerusi P119- Parlimen Titiwangsa di SMK Aminuddin Baki di sini hari ini berjalan lancar.
Kehadiran lebih 500 penyokong serta pendokong PAS ke majlis penamaan calon P119 meriah dengan alunan zikir munajat dan nasyid-nasyid perjuangan serta laungan takbir.
Majlis dimulakan dengan solat hajat dan bacaan doa sebelum perakarakan bersama-sama calon di Masjid As Shafie seawal jam 7 pagi.
Pertembungan tiga penjuru menyaksikan persaingan yang akan ditempuh oleh calon PAS P119, Tn. Hj Mohammad Noor Mohamad menghadapi calon-calon daripada Barisan Nasional dan Parti Keadilan Rakyat iaitu Dato’ Johari Abdul Ghani dan Rina Harun.
Sementara menunggu proses penamaan calon selesai, suasana dihangatkan dengan ucapan-ucapan daripada para pimpinan serta wakil jentera parti berkenaan.
YDP PAS Titiwangsa, Tn Hj Khairul Anuar Abd Manap mengingatkan seluruh ahlinya supaya bersiap siaga melakukan kerja-kerja Jamaah di samping terus bermunajat kepada Allah dalam memastikan kemenangan berpihak kepada PAS.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pilihan Raya Titiwangsa, Hj Yaakob Omar menyeru seluruh pengundi P119 supaya memberikan kepercayaan kepada PAS untuk menerajui kepimpinan di Titiwangsa pada PRU kali ini.
“PAS bersama gagasan sejahtera bersedia untuk memimpin rakyat ke arah membina sebuah negara yang sejahtera.
“Usah tertipu dengan fitnah-fitnah yang dilemparkan terhadap PAS oleh musuh-musuh politik, dek kerana bencinya mereka untuk melihat Islam memimpin negara Malaysia”, ujar beliau penuh semangat.
Seterusnya, Ketua Muslimat PAS Titiwangsa, Sharifah Rashidah Sayed Idrus meniupkan obor-obor perjuangan kepada petugas Muslimat supaya terus gagah melaksanakan kerja-kerja pilihan raya dengan sentiasa berlapang dada antara satu sama lain.
Di samping itu, suasana turut dimeriahkan dengan ucapan daripada Abdul Aziz Omar yang merupakan seorang OKU berkerusi roda.
Dalam ucapannya, beliau meyakinkan orang ramai bahawa PAS sangat prihatin terhadap golongan orang kurang upaya, kerana beliau percaya bahawa hanya dengan Islam sahaja nasib warga OKU akan terbela.
Selain itu, ucapan-ucapan padu berbaur taujihat perjuangan turut disampaikan daripada wakil-wakil Dewan Pemuda, Urusan Ulama’ serta Ameerah Kawasan Titiwangsa.
Kepulangan calon PAS P119 daripada proses penamaan calon disambut dengan laungan takbir serta bacaan doa kemenangan ke atas Parti Islam Se-Malaysia.