Home Artikel PAS Perlis

Program Skil Iltizam Buka Peluang Kerjaya Belia Bumiputera

439
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

ARAU : Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Sanglang dengan kerjasama Kulim Technology Sdn. Bhd telah menganjurkan Program Skil Iltizam bertempat di pusat khidmat berkenaan semalam.

Objektif program berkenaan adalah memberikan peluang kedua kepada para belia Bumiputera khususnya yang berasal dari kelurga yang susah dan golongan yang tercicir.

Menerusinya, mereka yang terpilih akan berpeluang mengikuti kursus kemahiran selama 3 bulan di Kulim Technology Sdn. Bhd. dengan diberikan elaun serta kemudahan penginapan.

Syarikat berkenaan menawarkan empat jenis program iaitu Pemesinan CNC, Fabrikasi Kepingan logam, Kawalan Kualiti dan Robotik.

Menurut ADUN Sanglang Mohd. Shukri Ramli, ini merupakan kali ketiga program berkenaan diadakan di pusat khidmat tersebut dengan kehadiran seramai 24 orang peserta.

“Program Skil Iltizam merupakan sebahagian daripada inisiatif Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera yang memfokuskan kepada pembinaan keupayaan Bumiputera menerusi bidang latihan dan pendidikan.

“Mereka yang hadir akan melalui ujian saringan dan temuduga terlebih dahulu dan sekiranya terpilih, mereka akan dihantar mengikuti kursus-kursus yang ditawarkan.

“Para peserta kursus peringkat sijil ini turut mendapat jaminan pekerjaan apabila menamatkan pengajian nanti,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang Mohd. Shukri Ramli ketika dihubungi di sini.