Home Berita PAS Terengganu

Program lesen motosikal percuma dilanjutkan setahun

26
SHARE

KUALA TERENGGANU, 27 Julai – Kerajaan negeri bersetuju untuk melanjutkan tempoh program Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera (LMTS) bagi kumpulan kedua selama setahun.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, program itu sepatutnya berakhir pada penghujung Ogos tahun ini.

Namun katanya, disebabkan faktor semasa ia dilanjutkan sehingga Ogos tahun 2022.

“Kita juga sedia maklum, keadaan pandemik Covid-19 telah mengakibatkan kekangan melalui Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan, yang mana Institut Latihan Memandu merupakan sektor yang tidak dibenarkan beroperasi.

“Ini mengakibatkan separuh daripada jumlah keseluruhan seramai 15,000 peserta masih belum menyempurnakan ujian fasa satu dan dua.

“Diharapkan tempoh lanjutan selama satu tahun ini akan dapat memastikan para peserta dapat menyempurnakan latihan dan seterusnya mendapat lesen berkenaan,” katanya.