Home Berita PAS Pahang

Program Dapur Rakyat PAS Bentong redakan kesayuan mangsa banjir

403
SHARE

OLEH: KHAULAH AL AZWAR

BENTONG, 27 Dis. :: PAS Kawasan Bentong dengan kerjasama NGO Khidmat Malaysia berpadu tenaga menggerakkan misi bantuan banjir Bentong dengan mewujudkan Dapur Rakyat Parlimen Bentong, bermula Selasa lalu.

Sebanyak 25 buah Pusat Penempatan Sementara (PPS) dibuka sekitar Bentong dan sembilan buah daripadanya berada di dalam DUN Ketari.

Menurut Penyelaras PAS DUN Ketari Ustaz Roslan Md Esa, sejak banjir teruk melanda Bentong pada 2014, ini antara yang paling teruk dan terdahsyat pernah dilaluinya.

“Ribuan penduduk daripada kampung dan taman-taman berdekatan seperti Chegar Medang, Bukit Piatu, Taman Muhibbah, Taman Seroja, Taman Melati dan Taman Harmoni tinggal sehelai sepinggang dan rumah mereka, kenderaan dan sebagainya habis tenggelam.

“Dalam tinjauan saya ketika turun ke lokasi yang saya sebutkan tadi, kelu lidah saya tak terkata. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

“Mereka dah tak mampu nak berbuat apa-apa. Penat dan letih cerita nak gotong-royong membersihkan ini bukan cerita sejam dua atau seminggu dua tapi cerita berkemas ini akan ambil masa hingga sebulan atau lebih,” luah Roslan.

Untuk itu, sebagai salah satu inisiatif PAS Kawasan meringankan beban ditanggung mangsa banjir khusus dalam urusan mendapatkan bekalan makanan, Roslan berkata pihaknya telah mengambil langkah proaktif dengan mewujudkan Dapur Rakyat Parlimen Bentong.

Idea ni timbul niatnya semata-mata atas rasa simpati nak bantu rakyat, dalam keadaan mereka nak masak dah takde tempat, dapur gas rosak, tong gas pun hilang dihanyut air dan sebagainya. Sepanjang tinjauan saya itu, letih dan sedih kita tengok.

“Saya tanya, dah makan ke belum? mereka jawab belum.

“Malah mereka tanya kembali; ada ke makan? Allah, luluh hati..” kata Roslan sayu.

“Saya telah berbincang dengan Naib Yang Dipertua PAS Bentong merangkap Ketua Khidmat Malaysia Bentong, Samsudin Abdullah, untuk melancarkan segera program Dapur Rakyat.

“Alhamdulillah, di Parlimen Bentong ini kami beroperasi di Maahad Tahfiz Al Abrar, Km 64 Sungai Murai, Bentong,” ujar Roslan yang juga Ketua Operasi Dapur Rakyat dan juga merupakan Timbalan Pengarah 3, Khidmat Malaysia Pahang.

Lebih 500 pek makanan disediakan oleh pihak urusetia Dapur Rakyat untuk diedarkan setiap hari kepada mangsa-mangsa banjir di kampung dan taman-taman perumahan sekitar bandar Bentong dan Karak.

“InsyaAllah, dengan adanya khidmat tukang masak luar yang datang khusus untuk membantu selain daripada tukang masak tempatan. Kita telah cuba sediakan 500 ke 700 pek makanan sekali untuk tengahari dan sekali lagi untuk malam. Bermakna sehari ia akan mencecah 1500 pek dalam tempoh seminggu dua ini.

“Saya mengambil kesempatan merakam ucapan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat terutama Lajnah Kebajikan Dewan Pemuda PAS Negeri, Dewan Muslimat Pusat dan Jabatan Amal, daripada Cameron Highland pun datang.

“Dan ucapan penghargaan paling tinggi adalah kepada para sukarelawan Negeri Kelantan seramai 500 orang atas kesudian datang dan berkampung di sini bermula 24 Disember lalu membantu memasak dan membersih rumah mangsa banjir. Hanya Allah yang dapat membalas segala budi baik kalian semua,” ujar Roslan terharu.

Tambah Roslan lagi, beliau juga berbesar hati kerana Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) di setiap lokasi memberi sepenuh kerjasama dan ini membantu memudahkan lagi urusan pasukan sukarelawan Khidmat Malaysia menyediakan makanan dan keperluan-keperluan lain.

Dapur Rakyat PAS Kawasan Bentong berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), justeru segala info dan data terkini mangsa banjir adalah tepat dan agihan bantuan adalah selaras mengikut maklumat sahih yang diberi.

Untuk mendapatkan sebarang bantuan atau maklumat lanjut berkaitan Dapur Rakyat dan Khidmat Malaysia Bentong, boleh hubungi:

Samsuddin Abdullah (Pengarah Khidmat Malaysia Bentong) – 0169603671

Ustaz Roslan Md Esa (Pengarah Operasi Dapur Rakyat Bentong) – 0133888286