Home Artikel PAS Perlis

Program Bubur Asyura PAS Padang Besar Rapatkan Silaturrahim

736
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

PADANG BESAR : Tradisi mengacau bubur Asyura sempena kedatangan 10 Muharram sudah menjadi suatu kelaziman yang unik dalam budaya masyarakat Melayu-Islam di Malaysia.

Sama seperti penyediaan ‘bubur lambuk’ yang diadakan sepanjang bulan Ramadhan, aktiviti mengacau bubur Asyura melibatkan tenaga kerja yang amat ramai dan dilakukan secara gotong-royong.

Bukan sekadar menyedia dan menikmati bubur yang telah dimasak, aktiviti berkenaan mampu merapatkan hubungan silaturrahim antara para peserta yang terlibat.

Menyedari akan hal tersebut, PAS Kawasan Padang Besar telah mengadakan acara Mengacau Bubur Asyura bertempat di Kompleks Tarbiyah PAS Kawasan Padang Besar (KOMTAR) dekat sini pagi tadi.

Program dihadiri oleh seluruh kepimpinan PAS peringkat Kawasan, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat.

Menurut Yang Di Pertuanya Haji Karim Mat Rejab, seperti tahun-tahun sebelumnya, bubur yang telah siap dimasak kemudiannya dipek ke dalam bekas sebelum diagih kepada ahli-ahli PAS dalam kawasan berkenaan.

“Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk merapatkan hubungan silaturrahim sesama kepimpinan serta ahli PAS,” katanya ketika ditemui di sini.