Home Berita PAS Perak

PROGRAM ‘Back To School’ bantu persediaan murid ke sekolah

61
SHARE

Oleh: Siti Aseelah Mohd Noor

TELUK INTAN, Program ‘Back to School’ anjuran Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kawasan Teluk Intan di dewan Wak Johar Kompleks PAS Teluk Intan (KOMPASTI) telah terlaksana dengan jaya di sini petang semalam.

Program yang merupakan rutin tahunan ini telah memilih 100 murid sekolah rendah untuk menerima sumbangan berupa beg sekolah serta kelengkapan alat tulis.

Mereka yang hadir terdiri daripada kalangan keluarga berpendapatan rendah sekitar Teluk Intan.

Menurut Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Teluk Intan, Muhammad Lutfi Shamsudin
program ini bertujuan membantu meringankan bebanan ibu bapa murid-murid ini dalam menghadapi sesi pembukaan sekolah 2022/2023.

Dalam ucapan aluannya beliau turut menekankan agar ibu bapa mengutamakan pendidikan agama kepada anak-anak mereka
dalam usaha melahirkan generasi berkualiti yang akan menjadi tunjang negara pada masa hadapan.

Yang DiPertua PAS Teluk Intan, Mohd Azhar Mohd Rafaei dalam ucapan perasmiannya mengharapkan agar ibu bapa mengambil tanggungjawab mendidik anak-anak bermula dari rumah dan tidak mengharapkan kepada guru dan pihak sekolah semata-mata.

“Pemantauan terhadap perkembangan pembelajaran anak-anak juga mesti dibuat agar anak-anak mereka tidak keciciran akibat suasana pembelajaran yang tidak menentu sepanjang pendemik covid 19 baru-baru ini,”
ujar beliau lagi.

Turut hadir, Naib Yang DiPertua PAS Teluk Intan, Rostam Malek, Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat, Robainah Ismail, Ketua Cawangan Padang Tembak, Abidin Sharif serta ahli jawatankuasa yang lain.