Home Berita PAS Perak

‘Perginya seorang dermawan, pejuang Istiqamah…’

58
SHARE


TAMBUN: Naib Ketua PAS Cawangan Kampung Cik Zainal merangkap Bendahari PAS Zon Chemor dan Ketua Kampung Cik Zainal, Shafian Abd Rahman telah kembali ke rahmatullah pada jam 10:54 malam, semalam.

Anaknya, Mohd Shakirien Shafian ketika ditemui berkata Almarhum bapanya telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun selama hampir sebulan kerana menghidap penyakit kronik antaranya kanser darah.

“Ayah saya, Shafian Abd Rahman telah menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 10.54 malam tadi. Mohon doakan beliau ditempatkan dalam kalangan para syuhada’, solihin dan hambaNya yang Allah kasihi,” ujarnya ringkas.

Sementara itu menurut Ketua PAS Zon Chemor, Ustaz Nordin Ahmad Sidek beliau menyifatkan Almarhum Shafian sebagai seorang yang ringan tulang termasuk menjadi pemudah cara bagi masyarakat yang dilanda musibah di sekitar Chemor.

“Dalam parti pula, program tarbiyah sentiasa menjadi keutamaan arwah. Arwah tidak pernah tinggal sebarang program parti sehinggalah diuji dengan sakit. Semangat arwah menjadikan PAS Kampung Cik Zainal dan PAS Zon Chemor kuat berdiri.

“Kehilangan besar ini bukan untuk ditangisi, tetapi ia akan terus menjadi pendorong ahli-ahli PAS yang ada untuk meneruskan delegasi cemerlang yang arwah tinggalkan. Semoga perjuagannya disambung oleh generasi baharu khususnya penduduk Kampung Cik Zainal,” pesannya.

Kongsinya lagi, ahli keluarga Almarhum Shafian juga masing-masing merupakan antara ahli aktif dan penggerak PAS Kawasan Tambun di pelbagai peringkat sehingga mereka pernah diberi Anugerah Keluarga Istiqamah.

Dalam pada itu, Pengurus PASTI Al- Mawaddah, Mohamad Sapariza Mohamed Saberi pula berkata, almarhum merupakan individu terawal yang banyak membantu urusan kewangan dalam usaha penubuhan PASTI itu.

Katanya, Almarhum bukan sahaja telah memberikan sumbangan dana pembangunan ketika kutipan dana dilancarkan, malah turut sanggup menawarkan pinjaman secara qardhul hasan.

“Bukan itu sahaja, bayaran terakhir kami kepada beliau untuk qardhul hassan (pun) ditolak lagi sebahagian semata-mata (kerana) perjuangan Islam. Inilah orang yang begitu istiqamah, berjuang dan membelanjakan hartanya ke jalan perjuangan Islam,” kongsinya.

Meskipun hiba dengan berita pemergian almarhum ke rahmatullah, namun Sapariza redha sekali gus mendoakan semoga roh Allahyarham ditempatkan dilalangan para syuhada dan orang beriman.

Terdahulu, PAS Cawangan Kampung Cik Zainal turut berhadapan berita duka dengan pemergian Ketua Cawangannya, Abdul Halim Ramli kembali kerahmatullah pada 25 Februari lalu.

Almarhum juga merupakan tokoh penting dan ahli aktif dan pernah menerima Anugerah Ketua Cawangan terbaik keseluruhan dalam PAS Kawasan Tambun.