Home Rencana PAS Selangor

PRN Melaka, jangan sampai menang sorak kampung tergadai – TPJ 1 PAS Selangor

18
SHARE

May be an image of outdoors

Laman Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Selangor Us Shafie Ngah | Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

Oleh : Shafie Ngah
Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Selangor

Siri-siri kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam beberapa PRK selepas PRU-14 menunjukkan betapa ampuhnya gabungan parti-parti berteraskan Melayu di sebelah Semenanjung. Bermula dengan PRK Semenyih, gabungan ini cukup kebal dalam menghadapi cabaran, tidak kira calonnya adalah Melayu ataupun calonnya bukan Melayu.

Namun kali ini rentaknya agak berbeza, tatkala ada keretakan dalam gabungan ini. Keretakan ini jika mampu dibaluti dan masih tahan uji bermakna pada masa akan datang kekuatan gabungan parti-parti Melayu di dalam ikatan ini, sama ada MN atau PN, ataupun MN plus PN, akan semakin menggentarkan musuh.

‘Masa akan datang’ itu tidak lama, hanya beberapa bulan sahaja selepas PRN Melaka, iaitu PRU-15. Sekiranya gabungan parti-parti Melayu ini gagal menampal keretakan yang ada, malah retak menjadi belah pula, maka tidak mustahil negeri Melaka akan jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH). Malah tidak keterlaluan untuk disebutkan, kerajaan Persekutuan juga senang-senang akan kembali dipegang oleh PH.

Memang PH mahu parti-parti Melayu ini berpecah.

Untuk berpecah tidak perlu dengan seribu alasan. Satu alasan sahaja sudah cukup. Sebab berpecah itu mudah, bersatu itu susah.

Jika masing-masing merasa dirinya kuat, nak lawan siapapun boleh, maka tunggulah saat kematian kalian. Masa sahaja yang akan menentukannya.

Kuat bukan bererti menolak dan melawan sesiapa sahaja. Kuat yang sebenar adalah berjiwa besar dan berlapang dada.

Tanpa jiwa besar dan lapang dada, bimbang-bimbang nanti menang sorak kampung tergadai.

20 Oktober 2021 | 13 Rabiul Awal 1443H

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor