Home Dewan Ulamak PAS Pusat

PRK Kimanis : Rakyat Terus Menerima Muafakat Nasional, Menghukum PH

1666
SHARE

KENYATAAN MEDIA
Dewan Ulamak PAS Pusat

22 JAMADIL AWWAL 1441H  l  18 JANUARI 2020

PRK KIMANIS : RAKYAT TERUS MENERIMA MUAFAKAT NASIONAL, MENGHUKUM PH

1. Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) mengucapkan tahniah kepada calon BN atas kemenangan di PRK Kimanis dengan majoriti melebihi 2000 dan sekaligus membuktikan gelombang Muafakat Nasional bukan hanya sahaja diterima oleh rakyat di Semenanjung Malaysia bahkan kini merentasi Sabah dan Sarawak.

2. Penerimaan Muafakat Nasional di Kimanis menjadi ukuran penting dalam landskap politik baharu semasa yang menunjukkan secara jelas akan kegagalan kerajaan PH pada hari ini untuk membawa negara Malaysia ke arah yang lebih baik seperti yang diharapkan oleh rakyat menerusi perubahan tampuk pemerintahan pada PRU 14 yang lalu.

3. Kini Muafakat Nasional semakin diterima oleh rakyat yang terdiri dari masyarakat majmuk dan menjadi isyarat positif kepada kerjasama PAS-UMNO sekaligus membuktikan rakyat matang dalam menapis berita-berita yang cuba dimainkan secara kotor oleh PH seperti dakwaan Muafakat Nasional adalah bersifat rasis dan ekstrem.

4. DUPP juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua jentera PAS yang telah bertungkus lumus menjalankan kerja-kerja sempena PRK Kimanis ini bagi memenangkan calon BN atas dasar semangat Muafakat Nasional dengan penuh kesungguhan dan kepatuhan kepada arahan kepimpinan parti.

5. Kemenangan demi kemenangan yang dicapai menerusi siri-siri PRK yang berlaku dengan berpihak kepada Muafakat Nasional ini hendaknya diraikan dengan lafaz tasbih, pujian kepada Allah serta memohon pengampunan kepada-Nya selaras sebagaimana yang diajari oleh Allah kepada Rasulullah SAW dalam peristiwa Pembukaan Kota Mekah menerusi firman-Nya :

فَسَبِّحۡ بِحَمۡدِ رَبِّكَ وَٱسۡتَغۡفِرۡهُۚ إِنَّهُۥ كَانَ تَوَّابَۢا

Maksudnya :
“Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.” – [Surah An-Nasr 3]

6. Sebagai amalan dalam agama Islam, DUPP juga menasihati YB Datuk Mohamad bin Alamin agar menjalankan tanggungjawab dengan penuh komited demi kebaikan untuk agama, rakyat dan negara dengan kerangka kerjasama dalam Muafakat Nasional yang dijalinkan ini atas dasar kebajikan dan ketaqwaan.

Firman Allah SWT :

۞ إِنَّ ٱللَّهَ یَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّوا۟ ٱلۡأَمَـٰنَـٰتِ إِلَىٰۤ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَیۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُوا۟ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا یَعِظُكُم بِهِۦۤۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِیعَۢا بَصِیرࣰا

Maksudnya :
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” – [Surah An-Nisa’ 58]

Sekian.

*YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH*
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Malaysia (Pasir Puteh)