Home Artikel PAS Wilayah

Pondok Moden Warga Emas Pertama Di Wilayah Persekutuan

713
SHARE

Oleh : Dhiya’ Muttmainnah

BATU : Perasmian Pondok Moden Permata Iman telah disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Agama, YB Senator Datuk Dr Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebelum beliau disahkan positif Covid-19 baru-baru ini.

Turut hadir bersama dalam upacara ini adalah Pengarah Kanan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Ustaz Azhar Yahya, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Sub Zon 1, Shamsuddin Yaacob, Pengerusi Warga Emas Bandar Baru Sentul merangkap pengasas Pondok Moden Permata Iman, Hajah Che Zan Ahmad dan Setiausaha MPP Batu Sub Zon 1 yang juga merupakan Setiausaha Pondok Moden, Sabrina Ab Rahim.

Menurut Sabrina, Pondok Moden Permata Iman yang bertempat sementara di KAFA Al Khairiah, Bandar Baru Sentul ini telah ditubuhkan oleh Persatuan Warga Emas Permata Iman sejak 10 tahun yang lalu.

“Penganjuran kuliah agama seminggu sekali untuk warga emas di kawasan tersebut telah menjadi batu asas bagi penubuhan pondok pengajian tersebut secara rasmi.

Sehingga kini, lebih 50 orang warga emas telah mendaftar dan sedang mengikuti pengajian kelas agama,” ujar beliau lagi.

Sabrina turut menjelaskan, perasmian Pondok Moden Permata Iman tersebut juga adalah sebahagian daripada aktiviti Bulan Dakwah 2020 anjuran bersama YADIM, Persatuan Warga Emas Permata Iman dan MPP Sub Zon 1.

“Antara aktiviti lain yang dijayakan bersama penduduk setempat sempena Bulan Dakwah 2020 adalah seperti Street Dakwah di UTC Sentul, edaran pembasmi kuman dan pelitup muka di sekitar Perumahan Awam Seri Perak, gotong royong di Surau Al Khairiah Seri Perak dan ziarah asnaf,” tambah beliau.

Pondok Moden Permata Iman turut menerima sumbangan khas daripada YADIM berupa wang bernilai RM 2,500, bahan bacaan dan kit musaadah untuk warga pondok yang memerlukan.