Home Minda Presiden

Politik yang dianggap kotor ialah ajaran sesat

346
SHARE

Minda Presiden PAS

[Bil: 59 / 2022]

POLITIK YANG DIANGGAP KOTOR IALAH AJARAN SESAT

Masih kedengaran dan dapat dibaca kenyataan serta penulisan yang menyambung warisan penjajahan pemikiran yang menyesatkan hasil peninggalan penjajah, supaya umat Islam terus menjauhkan diri atau meninggalkan politik. Kononnya, politik itu kotor, najis dan semuanya sesat dan menipu.

Kenyataan yang dikeluarkan tanpa asas keilmuan, menunjukkan kejahilan dan dirinya yang bersifat jahiliah. Tujuannya supaya umat Islam diperbodohkan. Dahulunya, ia menjadi permainan para orientalis, kini ada dalam kalangan umat Islam yang terpengaruh kerana masalah buta al-Quran yang lebih bahaya daripada buta huruf.

Selain itu, tujuannya juga supaya umat Islam meninggalkan politik dan menyerahkan kuasa negara kepada bukan Islam sahaja dalam berpolitik. Sehinggakan, golongan bukan Islam terus menguasai, mentadbir dan menjajah umat Islam, walaupun dikatakan negeri umat Islam telah diberikan kemerdekaan.

Kembali semula kepada politik Islam yang berpandukan hidayah Allah, sangat menakutkan mereka, kerana hilangnya kuasa hawa nafsu yang menjadi perjuangan mereka sejak zaman dahulu sehingga sekarang dan seterusnya. Islam yang adil kepada semua dalam masyarakat majmuk dibimbangi akan dapat menawan hati manusia yang hidup bermasyarakat majmuk.

Al-Quran tetap dipelihara Allah SWT, segala petunjuknya yang sempurna tidak mampu dihapuskan. Bahkan, semua ajaran, teori dan ideologi yang lain merudum atau menunjukkan tanda keruntuhannya.

Menjadi kewajipan kepada golongan yang berilmu agar menyampaikannya kepada umat. Dalam pada itu, haram menyembunyikannya dan dilaknat Allah SWT sekiranya ia disembunyikan. Hal ini dijelaskan oleh firman Allah SWT:

﴿إِنَّ الَّذِينَ يَكْتُمُونَ مَا أَنْزَلْنَا مِنَ الْبَيِّنَاتِ وَالْهُدَى مِنْ بَعْدِ مَا بَيَّنَّاهُ لِلنَّاسِ فِي الْكِتَابِ أُولَئِكَ يَلْعَنُهُمُ اللَّهُ وَيَلْعَنُهُمُ اللَّاعِنُونَ١٥٩ إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا وَأَصْلَحُوا وَبَيَّنُوا فَأُولَئِكَ أَتُوبُ عَلَيْهِمْ وَأَنَا التَّوَّابُ الرَّحِيمُ١٦٠﴾

“Sesungguhnya, orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk, setelah Kami menerangkannya kepada manusia dalam al-Kitab, mereka itu dilaknat Allah dan dilaknat (pula) oleh semua (makhluk) yang melaknat. (159); Kecuali mereka yang telah bertaubat, menerangkan (kebenaran) dan melakukan islah (pembaikan), maka terhadap mereka itulah Aku menerima taubatnya dan Akulah yang Maha Menerima taubat, lagi Maha Penyayang. (160)” (Surah al-Baqarah: 159-160)

Allah SWT juga menegaskan bahawa politik menjadi salah satu daripada tujuan manusia diciptakan berada atas muka bumi di alam dunia ini.

Kita menyaksikan serangan pemikiran terhadap umat Islam dalam aspek politik berlaku dengan cara yang halus, apabila diletakkan jenama politik yang dianggap sebagai najis yang paling kotor. Sekalipun Allah SWT meletakkannya sebagai suatu perkara yang paling mulia dalam Islam.

Tugas yang diwajibkan oleh Allah SWT itu diisytiharkan di hadapan para malaikat, suatu makhluk yang paling bersih tanpa dosa, sebagaimana firman-Nya:

﴿وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً  قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ٣٠﴾

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: ‘Sesungguhnya, Aku hendak menjadikan khalifah di muka bumi.’ Mereka berkata: ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau?’ Tuhan berfirman: ‘Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.’” (Surah al-Baqarah: 30)

Khilafah itu ialah politik mentadbir negara bersama Islam, dijanjikan pahala paling besar kepada sesiapa yang menunaikannya kerana berpandukan hidayah Allah SWT supaya berlaku adil kepada seluruh manusia. Sebaliknya, diberikan amaran yang keras kepada sesiapa yang berlaku zalim. Firman Allah SWT:

﴿وَإِذِ ابْتَلَى إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا قَالَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي قَالَ لَا يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ١٢٤﴾

“Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimah (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman: ‘Sesungguhnya, Aku akan menjadikanmu imam pemimpin bagi seluruh manusia.’ Ibrahim berkata: ‘(Dan aku mohon juga) dari keturunanku.’ Allah berfirman: ‘Janji-Ku (ini) tidak termasuk orang-orang yang zalim.’” (Surah al-Baqarah: 124)

Rasul kesayangan Allah SWT dilantik menjadi pemimpin teladan kerana ketaatannya yang ikhlas kepada-Nya.

Firman Allah SWT:

﴿وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنْصَرُونَ١١٣﴾

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberikan pertolongan.” (Surah Hud: 113)

Allah SWT juga menegaskan kehebatan manusia yang diciptakan-Nya melalui firman-Nya:

﴿وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَى كَثِيرٍ مِمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا٧٠﴾

“Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami berikan mereka rezeki daripada perkara yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.” (Surah al-Isra’: 70)

Firman Allah SWT:

﴿اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ١ خَلَقَ الْإِنْسَانَ مِنْ عَلَقٍ٢ اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ٣ الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ٤ عَلَّمَ الْإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ٥﴾

“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. (1); Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. (2); Bacalah, dan Tuhanmu itulah Tuhan yang Maha Pemurah. (3); (Tuhan) yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. (4); Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya. (5)” (Surah al-‘Alaq: 1-5)

Allah SWT menunjukkan kebolehan manusia kerana ilmunya di hadapan para malaikat, melalui firman-Nya:

﴿وَعَلَّمَ آدَمَ الْأَسْمَاءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلَائِكَةِ فَقَالَ أَنْبِئُونِي بِأَسْمَاءِ هَؤُلَاءِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ٣١ قَالُوا سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا إِنَّكَ أَنْتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ٣٢ قَالَ يَا آدَمُ أَنْبِئْهُمْ بِأَسْمَائِهِمْ فَلَمَّا أَنْبَأَهُمْ بِأَسْمَائِهِمْ قَالَ أَلَمْ أَقُلْ لَكُمْ إِنِّي أَعْلَمُ غَيْبَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَأَعْلَمُ مَا تُبْدُونَ وَمَا كُنْتُمْ تَكْتُمُونَ٣٣﴾

“Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para malaikat lalu berfirman: ‘Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu memang benar orang-orang yang benar!’ (31); Mereka menjawab: ‘Maha Suci Engkau, tiada yang kami ketahui selain daripada apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.’ (32); Allah berfirman: ‘Wahai Adam! Beritahukanlah kepada mereka nama-nama benda ini.’ Maka. setelah diberitahukannya kepada mereka nama-nama benda itu, Allah berfirman: ‘Bukankah sudah Ku-katakan kepadamu, bahawa sesungguhnya Aku mengetahui rahsia di langit dan di bumi; serta mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan?’ (33)” (Surah al-Baqarah: 31-33)

Malah, Allah SWT juga menegaskan tetap ada para pemimpin yang layak dalam kalangan manusia sepanjang zaman. Hal ini dinyatakan melalui firman-Nya:

﴿وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ٢٤ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ يَفْصِلُ بَيْنَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ٢٥﴾

“Dan Kami jadikan antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar. Dan adalah mereka meyakini ayat-ayat Kami. (24); Sesungguhnya, Tuhanmu Dialah yang memberikan keputusan antara mereka pada Hari Kiamat tentang apa yang selalu mereka perselisihkan padanya. (25)” (Surah al-Sajdah: 24-25)

Rasulullah SAW menyebutkan bahawa akan ada satu kumpulan yang meneruskan perjuangan sepanjang zaman melalui sabdanya:

‌لَا ‌تَزَالُ ‌طَائِفَةٌ ‌مِنْ ‌أُمَّتِي ‌ظَاهِرِينَ ‌عَلَى ‌الْحَقِّ، ‌لَا ‌يَضُرُّهُمُ ‌مَنْ ‌خَذَلَهُمْ، ‌حَتَّى ‌يَأْتِيَ ‌أَمْرُ ‌اللَّهِ.

“Sentiasa ada dalam kalangan umatku satu kumpulan yang menzahirkan perjuangan menegakkan kebenaran (Islam), sehingga datangnya penentuan Allah (kemenangan atau kematian atau kiamat).” (Riwayat Muslim, no. 1920)

Hadis di atas menegaskan bahawa selagi dunia belum sampai ajalnya, akan tetap ada dalam kalangan umat Islam yang tampil menegakkan kebenaran Islam. Cahayanya yang tetap tidak boleh dipadamkan, walaupun tanah air dan umatnya dijajah, dipecahbelahkan, diratah hasil kekayaannya dan diabdikan rakyatnya. Firman Allah SWT:

﴿يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ٨﴾

“Mereka ingin memadamkan cahaya Allah (Islam) dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah menyempurnakan cahaya-Nya, walaupun orang-orang kafir membencinya.” (Surah al-Saff: 8)

Betapa eratnya hubungan politik dengan agama, maka para anbiya’ berdakwah tidak memisahkan politik daripada agama. Al-Quran mengulangi cerita benar seluruh para nabi dalam beberapa surah al-Quran bukan sahaja menghadapi rakyat, bahkan lebih hebat dalam menghadapi pihak yang memerintah negara pada zaman masing-masing dan ada juga yang terus menjadi pemimpin negara. Sabda Rasulullah SAW:

‌كَانَتْ ‌بَنُو ‌إِسْرَائِيلَ ‌تَسُوسُهُمُ ‌الأَنْبِيَاءُ.

“Para nabi menjadi pemimpin politik dalam kalangan Bani Isra’il (bangsa Yahudi).” (Riwayat al-Bukhari no. 3455 dan Muslim no. 1842)

Rasulullah SAW memimpin negara masyarakat majmuk di Madinah dan menolak tawaran untuk ditabalkan menjadi raja atau pemimpin di Makkah oleh para pemimpin jahiliah yang mengenali ketokohan dan akhlaknya yang mulia.  Perjuangan yang berkuasa politik diteruskan oleh para sahabat dan ulama’, sehinggakan ia dijatuhkan dan dihapuskan oleh kedatangan penjajah. Namun, perjuangannya diteruskan oleh kumpulan Islam yang tetap wujud di mana sahaja adanya umat Islam.

Rasulullah SAW memberikan suatu amaran bahawa ajaran Islam yang berkait dengan politik akan dirungkai oleh mereka yang menyelewengkan agama. Perkara ini sebagaimana sabdanya:

‌لَتُنْقَضَنَّ ‌عُرَى ‌الْإِسْلَامِ ‌عُرْوَةً ‌عُرْوَةً، فَكُلَّمَا انْتَقَضَتْ عُرْوَةٌ تَشَبَّثَ النَّاسُ بِالَّتِي تَلِيهَا، وَأَوَّلُهُنَّ نَقْضًا الْحُكْمُ وَآخِرُهُنَّ الصَّلَاةُ.

“Akan berlaku nanti, suatu penyelewengan yang merungkai ikatan kukuh ajaran Islam satu demi satu, setiap satu dirungkai menjadikan ramai penganutnya berselerak dan bergantung dengan berikutnya yang masih ada. Pertama yang dirungkai ialah hukum hakam, dan yang terakhir dirungkai ialah solat.” (Riwayat Ahmad, no. 22160)

Rasulullah SAW yang paling benar memberitahu berlakunya pada akhir zaman perkara yang mengelirukan. Sabdanya:

سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ ‌سَنَوَاتٌ ‌خَدَّاعَاتُ، ‌يُصَدَّقُ ‌فِيهَا ‌الْكَاذِبُ، ‌وَيُكَذَّبُ ‌فِيهَا ‌الصَّادِقُ، وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ، وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ، وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ.

“Akan berlaku (sebelum tibanya kiamat), tahun-tahun yang menipu. Dibenarkan si pembohong, dibohongi orang yang benar, diberikan amanah kepada pengkhianat, dikhianati orang yang amanah, dan golongan al-Ruwaibidhah turut berbicara.”

قِيلَ: وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ؟

Lalu ditanyakan: “Siapakah golongan al-Ruwaibidhah itu?”

قَالَ: الرَّجُلُ التَّافِهُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ.

Baginda menjawab: “Orang-orang yang jahil agama membuat kenyataan dalam perkara besar (yang berkait dengan umat).” (Riwayat Ibn Majah, no. 4035)

Kita juga menyaksikan bagaimana wujudnya penulis upahan dan jalanan yang membuat ulasan dalam keadaan jahil agama dan akalnya yang lemah, tanpa berpandukan hidayah daripada Kitab Allah yang telah diwahyukan kepada para Rasul yang dilantik oleh Allah menerima Kitabnya dan kebijaksanaan dikawal secara langsung daripada Allah.

Kebenaran yang dibawa oleh para rasul itu sudah pasti terpelihara. Adapun kesilapannya pula diperbetulkan secara praktikal bersifat mendidik dan belajar daripada kesilapan itu dengan cara yang berkesan serta penuh pengajaran. Perkara ini dinyatakan melalui sebab turunnya beberapa ayat al-Quran bagi menunjukkan kelemahan manusia, walaupun antara mereka itu seorang rasul, namun mereka diperintahkan agar berpandukan wahyu daripada Allah SWT. Perkara ini diriwayatkan dalam kitab-kitab tafsir al-Quran.

Sangat jauh perbezaannya dengan kalangan bukan rasul walau bagaimana bijak sekalipun. Kita menyaksikan kalangan mereka yang bertaraf ahli falsafah yang tersohor pada zaman masing-masing hanyalah mencipta ajaran dan ideologi yang sesat lagi menyesatkan.

Firman Allah SWT:

﴿كَانَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنْذِرِينَ وَأَنْزَلَ مَعَهُمُ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ فِيمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ وَمَا اخْتَلَفَ فِيهِ إِلَّا الَّذِينَ أُوتُوهُ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَتْهُمُ الْبَيِّنَاتُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ فَهَدَى اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا لِمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِهِ وَاللَّهُ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ٢١٣﴾

“Manusia itu umat yang satu (setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi, sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar, untuk memberikan keputusan antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, karena dengki antara mereka sendiri. Maka, Allah memberikan petunjuk orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu memberi petunjuk orang yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus.” (Surah al-Baqarah: 213)

Ayat di atas menyatakan dengan tegas bahawa peranan para rasul itu juga berpolitik memerintah dan mentadbir manusia dengan berpandukan kitab Allah SWT dan kebijaksanaan rasul yang telah dipilih oleh-Nya.

Al-Quran juga menghuraikan prinsip, konsep dan panduan pemerintahan Islam dengan ayat-ayat yang padat, bermula daripada soal pemilihan pemimpin, konsep pemerintahan dan penyelesaian krisis. Firman Allah SWT:

﴿إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا٥٨ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا٥٩﴾

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya, Allah itu Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. (58); Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul(-Nya), dan ulil amri antara kamu. Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Oleh yang demikian itu, lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (59)” (Surah al-Nisa’: 58-59)

Namun, muncul kalangan manusia mereka yang tersesat dan terkeluar daripada hidayah Allah SWT walaupun mereka berilmu. Allah SWT menunjukkan contoh Iblis yang kuat beribadat sehingga dikagumi oleh para malaikat, tetapi disebabkan sifat takbur yang ada dalam dirinya, maka dirinya tidak layak mendapat hidayah.

Sehinggakan, Iblis menolak ketetapan Allah SWT yang menetapkan makhluk manusia sebagai pilihan untuk mentadbir urusan bumi di alam dunia. Allah SWT melaporkan hal ini dalam al-Quran berulang kali, antaranya firman-Nya:

﴿وَلَقَدْ خَلَقْنَاكُمْ ثُمَّ صَوَّرْنَاكُمْ ثُمَّ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ لَمْ يَكُنْ مِنَ السَّاجِدِينَ١١ قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلَّا تَسْجُدَ إِذْ أَمَرْتُكَ قَالَ أَنَا خَيْرٌ مِنْهُ خَلَقْتَنِي مِنْ نَارٍ وَخَلَقْتَهُ مِنْ طِينٍ١٢﴾

“Sesungguhnya, Kami telah menciptakan kamu (Adam), lalu Kami bentuk tubuhmu, kemudian Kami katakan kepada para malaikat: ‘Bersujudlah kamu kepada Adam’, maka mereka pun bersujud kecuali Iblis. Dia tidak termasuk mereka yang bersujud. (11); Allah berfirman: ‘Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Adam) sewaktu Aku menyuruhmu?’ Menjawab Iblis: ‘Aku lebih baik daripadanya, Engkau menciptakan aku daripada api sedang dia Engkau ciptakan daripada tanah.’ (12)” (Surah al-A‘raf: 11-12)

Iblis yang dihalau ke bumi menjadi cabaran kepada manusia untuk menghadapinya. Peranannya untuk menggoda manusia dengan nafsu sepertinya, menyebabkan ramai dalam kalangan manusia yang terpengaruh dengan kehidupan dunia berharta, bertakhta, berpangkat, sehingga melupakan perintah Allah.

Malah, juga melupakan perjalanannya yang bukan sekadar di alam dunia, kerana ada lagi di alam akhirat tempat menerima balasan Allah SWT yang dijanjikan melalui para rasul yang menerima wahyu dan kebijaksanaan istimewa kurniaan Allah SWT. Hal ini disebutkan oleh firman-Nya:

﴿أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ١١٥ فَتَعَالَى اللَّهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمِ١١٦﴾

“Maka, apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (sahaja), dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami? (115); Maka, Maha Tinggi Allah, Raja yang sebenarnya; tiada Tuhan selain Dia, Tuhan (yang mempunyai) ‘Arasy yang mulia. (116)” (Surah al-Mu’minun: 115-116)

Khusus dalam urusan politik, dinyatakan betapa rakyat dan pengikut pasti akan menerima akibat di Hari Akhirat kelak, sekiranya mereka sesat dan salah langkahnya. Firman Allah SWT:

﴿يَوْمَ تُقَلَّبُ وُجُوهُهُمْ فِي النَّارِ يَقُولُونَ يَا لَيْتَنَا أَطَعْنَا اللَّهَ وَأَطَعْنَا الرَّسُولَا٦٦ وَقَالُوا رَبَّنَا إِنَّا أَطَعْنَا سَادَتَنَا وَكُبَرَاءَنَا فَأَضَلُّونَا السَّبِيلَا٦٧ رَبَّنَا آتِهِمْ ضِعْفَيْنِ مِنَ الْعَذَابِ وَالْعَنْهُمْ لَعْنًا كَبِيرًا٦٨﴾

“Pada hari ketika muka mereka dibolak-balikkan dalam neraka, mereka berkata: ‘Alangkah baiknya, andai kata kami taat kepada Allah dan taat (pula) kepada Rasul.’ (66); Dan mereka berkata: ‘Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mentaati pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar kami, lalu mereka menyesatkan kami daripada jalan (yang benar).’ (67); ‘Wahai Tuhan kami! Timpakanlah kepada mereka azab dua kali lipat dan kutuklah mereka dengan kutukan yang besar.’ (68)” (Surah al-Ahzab: 66-68)

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 1 Rabi‘ al-Akhir 1444 / 27 Oktober 2022