Home Berita PAS Sabah

Politik perpaduan teras kestabilan politik PAS

128
SHARE

Oleh: Fadilah Nordin
2 Ogos 2022

KOTA KINABALU : Misi politik perpaduan menjadi teras dalam kestabilan politik PAS dengan mementingkan perpaduan dan kepelbagaian untuk membawa kepada kesatuan.

Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan berkata, PAS akan mengadakan kerjasama dengan semua pihak supaya saling memahami dan saling hormat-menghormati.

“Sebagai ahli PAS kita diajar supaya berlaku adil untuk semua dan jauhkan diri daripada akhlak yang buruk.

“Gerak kerja politik mesti mengutamakan kebajikan dan keperluan rakyat,” katanya pada Mesyuarat Agung Tahunan PAS Sepanggar kali ke-12 di Masindung Resort Kawang, Papar, Sabtu lepas.

Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Sepanggar turut mengingatkan kepada ahli bahawa PAS menekankan 3 prinsip perjuangan iaitu dakwah, tarbiah dan siasah.

Mesyuarat itu dihadiri oleh lebih 100 orang ahli PAS Sepanggar dan sebahagian besarnya terdiri daripada kalangan anak muda.

Dalam ucapan penggulungan pula, Timbalan Yang Dipertua PAS Sepanggar, Aspar Akbar turut menekankan supaya ahli PAS menjaga tarbiah anak-anak ahli agar kelak menjadi generasi penyambung mata rantai perjuangan khususnya di Sepanggar.

Beberapa anugerah telah disampaikan sebagai penghargaan kepada ahli yang komited iaitu Anugerah Ahli PAS Istiqamah dinobatkan kepada Hasruddin Syamsuddin.

Bagi anugerah Pemuda PAS Harapan disandang oleh Alfian Abd Haris, Anugerah Muslimat PAS Harapan diberikan kepada Hasima Abu Nawas manakala Anugerah Khas YDP pula dianugerahkan kepada Ummu Aafiya Musa.