Home Minda Presiden

Politik itu juga ujian Allah SWT

348
SHARE

Minda Presiden PAS
POLITIK ITU JUGA UJIAN ALLAH SWT


Firman Allah SWT:

﴿أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ١١٥﴾


“Maka, adakah patut kalian menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kalian secara main-main (sahaja)? Dan kalian (pula menyangka) bahawa kalian tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (Surah al-Mu’minun: 115)

Allah SWT menciptakan manusia bertujuan menjadi dalil ketuhanan dan kekuasaan-Nya kepada seluruh alam yang diciptakan dan berada di bawah perintah-Nya. Termasuklah manusia, semuanya menjadi hamba-Nya yang wajib bersyukur kepada-Nya.

Al-Quran yang menjadi petunjuk menegaskan tiga tujuan manusia itu diciptakan, iaitu untuk beribadat, berkhilafah (menegakkan urusan politik) dan beramanah (melaksanakan hukum Allah SWT). Kesemuanya akan dihisab pada Hari Kiamat dan kelak akan dibicarakan di Mahkamah Allah.

Manusia diuji dengan tanggungjawab yang telah ditetapkan kepada mereka disebabkan kelebihannya yang bernyawa, berakal, berilmu, bernafsu dan bermasyarakat. Sifat-sifat itulah yang melayakkan manusia berada di bumi yang tiada pada makhluk yang lain. Hal ini selari dengan firman Allah SWT:

﴿وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَى كَثِيرٍ مِمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا٧٠﴾

“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam (manusia); dan Kami telah angkut mereka di daratan dan di lautan; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka daripada benda-benda yang baik-baik serta Kami telah melebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.” (Surah al-Isra’: 70)

Dalam menghadapi ujian ini, ada manusia yang berjaya mengharunginya sehingga mengatasi martabat para malaikat di langit, mereka ialah kalangan para Rasul AS. Namun, ada dalam kalangan manusia yang menjadi lebih hina daripada binatang apabila mereka tidak menyempurnakan tujuannya kerana mengikut nafsu tanpa berpandukan hidayah dan akal.

Allah SWT menunjukkan teladan daripada Nabi Ibrahim AS yang berjuang menghadapi Raja Namrud, seorang raja yang memerintah Babylon iaitu sebuah kuasa besar dunia pada zamannya. Sehinggakan Nabi Ibrahim AS dihukum dengan seksaan yang paling kejam, namun Baginda AS tidak berganjak daripada perjuangannya. Seterusnya Baginda AS diuji dengan beberapa perkara yang paling mencabar. Oleh itu, Allah SWT berfirman:

﴿وَإِذِ ابْتَلَى إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا قَالَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي قَالَ لَا يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ١٢٤﴾

“Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa kalimah (perintah dan larangan), lalu Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: ‘Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi imam (pemimpin ikutan) bagi umat manusia.’ Ibrahim pun memohon dengan berkata: ‘(Wahai Tuhanku!) Jadikanlah juga daripada keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan).’ Allah berfirman: ‘(Permohonanmu diterima, tetapi) janji-Ku ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim.’” (Surah al-Baqarah: 124)

Seterusnya Allah SWT memerintah Nabi Ibrahim AS agar meletakkan putera kesayangannya, Nabi Isma‘il AS ketika masih bayi dengan ditemani oleh ibunya Hajar supaya kedua-duanya menetap di bumi Makkah yang kering-kontang di tengah padang pasir. Hikmah daripada perintah Allah SWT itu adalah bagi melahirkan nabi akhir zaman, Nabi Muhammad SAW daripada kalangan kaum Quraisy. Firman Allah SWT:

﴿لِإِيلَافِ قُرَيْشٍ١ إِيلَافِهِمْ رِحْلَةَ الشِّتَاءِ وَالصَّيْفِ٢ فَلْيَعْبُدُوا رَبَّ هَذَا الْبَيْتِ٣ الَّذِي أَطْعَمَهُمْ مِنْ جُوعٍ وَآمَنَهُمْ مِنْ خَوْفٍ٤﴾

“Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk Makkah). (1); (laitu) kebiasaan aman tenteram perjalanan mereka (menjalankan perniagaan) pada musim sejuk (ke negeri Yaman), dan pada musim panas (ke negeri Syam). (2); Maka, hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini. (3); Tuhan yang telah memberikan makanan kepada mereka yang menyelamatkan mereka daripada kelaparan, dan mengamankan mereka daripada ketakutan. (4).” (Surah Quraisy: 1-4)

Ayat di atas menyatakan konsep ibadat, khilafah dan amanah dalam aspek kepatuhan kepada Allah SWT bersama-sama kuasa politik dan kemampuan ekonomi yang dijamin oleh-Nya bersama Islam. Perkara itu terbukti berlaku setelah Rasulullah SAW berjaya menegakkan sebuah negara contoh dan menjadi pemimpin teladan di Madinah.

Allah SWT mentarbiah keluarga Rasulullah SAW ketika mencapai puncak kemenangan, dengan menghadapi ujian harta yang melimpah-ruah setelah berkuasa. Hal ini dijelaskan oleh firman-Nya:

﴿يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ إِنْ كُنْتُنَّ تُرِدْنَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَزِينَتَهَا فَتَعَالَيْنَ أُمَتِّعْكُنَّ وَأُسَرِّحْكُنَّ سَرَاحًا جَمِيلًا٢٨ وَإِنْ كُنْتُنَّ تُرِدْنَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالدَّارَ الْآخِرَةَ فَإِنَّ اللَّهَ أَعَدَّ لِلْمُحْسِنَاتِ مِنْكُنَّ أَجْرًا عَظِيمًا٢٩﴾

“Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu: ‘Sekiranya kalian semua mahukan kehidupan dunia (yang mewah) dan perhiasannya (yang indah), maka marilah supaya aku berikan kepada kalian pemberian mut‘ah (sagu hati), dan aku lepaskan kalian dengan cara yang sebaik-baiknya.’ (28); ‘Dan sekiranya kalian semua menghendaki (keredhaan) Allah dan Rasul-Nya serta (ni‘mat kemewahan) di negeri akhirat, maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi orang-orang yang berbuat baik antara kalian berupa pahala yang besar.’ (29).” (Surah al-Ahzab: 28-29)

Antara perkara yang diuji dan akan dikira dalam perkara dunia ialah urusan politik. Hal ini disebabkan firman Allah SWT:

﴿تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ١ الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا  وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ٢﴾

“Maha Suci Allah, Tuhan yang menguasai kerajaan (pemerintahan); dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. (1); Dialah yang telah menjadikan adanya mati dan hidup untuk menguji kalian, siapakah antara kalian yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Perkasa, lagi Maha Pengampun. (2).” (Surah al-Mulk: 1-2)

Allah SWT menentukan siapa yang layak mendapat hidayah atau petunjuk-Nya dan siapa yang tidak layak mendapatkannya. Kemudian, dibiarkan mereka yang tidak mendapat petunjuk itu hanyut dalam kelalaian tanpa bertanggungjawab. Hal ini demikian kerana, sabda Rasulullah SAW:

‌إِنَّ ‌اللهَ ‌قَسَمَ ‌بَيْنَكُمْ ‌أَخْلَاقَكُمْ، ‌كَمَا ‌قَسَمَ ‌بَيْنَكُمْ ‌أَرْزَاقَكُمْ، وَإِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ يُعْطِي الدُّنْيَا مَنْ يُحِبُّ وَمَنْ لَا يُحِبُّ، وَلَا يُعْطِي الدِّينَ إِلَّا لِمَنْ أَحَبَّ، فَمَنْ أَعْطَاهُ اللهُ الدِّينَ، فَقَدْ أَحَبَّهُ.

“Sesungguhnya Allah membahagikan akhlak kalian sepertimana dia membahagikan rezeki kalian. Sesungguhnya Allah memberikan urusan dunia (kekayaan dunia) kepada sesiapa yang dikasihi-Nya dan juga sesiapa yang tidak dikasihi-Nya. Dan Allah tidak mengurniakan agama (iman) melainkan kepada orang dikasihinya. Maka, sesiapa yang dikurniakan agama, sudah pasti dirinya dicintai oleh Allah.” (Riwayat Ahmad 3672)

Allah SWT mengurniakan kekuasaan politik kepada orang yang diredhai menerima petunjuk-Nya dan diberikan juga kepada orang yang tidak mahu mengikut petunjuk-Nya. Begitu juga harta kekayaan, ia diberikan kepada orang yang baik mahupun orang yang jahat. Semua kurniaan itu adalah semata-mata untuk menjadi ujian kepada manusia.

Manakala dalam dunia politik pula mereka dipecahkan kepada dua kumpulan, sama ada menjadi pemimpin ataupun rakyat. Semuanya mempunyai kaitan dengan politik. Tiada siapa yang dapat mengeluarkan diri mereka kononnya mengambil sikap berkecuali daripada mempunyai sebarang kaitan dengan kewajipan berpolitik, sama ada berada di hadapan atau di belakang termasuklah menjadi pengikut yang pasti hanyut bersama arus politik.

Termasuklah juga mereka yang berkecuali sekali-kali tidak boleh melepaskan diri daripada sebarang tindakan politik yang mempengaruhi keperluan kehidupan setiap orang. Perkara ini merangkumi soal makan dan minum, pakaian dan tempat kediaman, serta pergerakannya ke mana-mana tetap di bawah naungan politik.

Allah SWT memaparkan contoh bahawa terdapat para pemimpin yang layak mendapat hidayah (petunjuk Allah SWT) dan juga tidak layak mendapatkannya, sebagaimana yang dijelaskan oleh firman-Nya:

﴿وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ٢٤ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ يَفْصِلُ بَيْنَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ٢٥ أَوَلَمْ يَهْدِ لَهُمْ كَمْ أَهْلَكْنَا مِنْ قَبْلِهِمْ مِنَ الْقُرُونِ يَمْشُونَ فِي مَسَاكِنِهِمْ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ أَفَلَا يَسْمَعُونَ٢٦﴾

“Dan Kami jadikan daripada kalangan mereka para pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami, selagi mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap meyakini ayat-ayat keterangan Kami. (24); (Pertentangan antara satu golongan dengan yang lain itu) sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang akan memutuskan hukum-Nya antara mereka pada Hari Kiamat, tentang apa yang mereka selalu perselisihkan padanya. (25); Dan apakah masih belum menjadi petunjuk kepada mereka (yang kafir itu); bahawa Kami telah membinasakan banyak umat terdahulu sebelum mereka yang kufur ingkar, padahal mereka sekarang berjalan melalui tempat-tempat tinggal kaum-kaum tersebut? Sesungguhnya kebinasaan kaum-kaum itu mengandungi keterangan-keterangan (untuk dijadikan iktibar). Oleh itu, tidakkah mereka mahu mendengar (dan insaf)? (26).” (Surah al-Sajdah: 24-26)

Al-Quran membawakan kisah benar berkenaan politik para pemimpin di dunia, sebelum perkara yang benar juga berlaku pada Hari Akhirat. Hal yang tersebut supaya manusia mengambil iktibar melalui pengajaran dan menerima suatu bentuk amaran.

Betapa mereka yang mengikut petunjuk Allah SWT di dunia berbahagia di dunia dan di akhirat. Sedangkan sesiapa yang tidak mengikuti petunjuk-Nya, ada yang dibinasakan di dunia sebelum mereka dihukum di akhirat atau mendapat kedua-dua hukuman di dunia dan di akhirat.

Allah SWT menceritakan betapa manusia yang menjadi rakyat juga akan dibicarakan bersama pemimpin yang menjadi ikutannya di dunia. Hal ini dinyatakan melalui firman-Nya:

﴿يَوْمَ نَدْعُو كُلَّ أُنَاسٍ بِإِمَامِهِمْ فَمَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ بِيَمِينِهِ فَأُولَئِكَ يَقْرَءُونَ كِتَابَهُمْ وَلَا يُظْلَمُونَ فَتِيلًا٧١ وَمَنْ كَانَ فِي هَذِهِ أَعْمَى فَهُوَ فِي الْآخِرَةِ أَعْمَى وَأَضَلُّ سَبِيلًا٧٢﴾

 “(Ingatlah) suatu hari Kami menyeru tiap-tiap umat dengan pemimpinnya; kemudian sesiapa diberikan kitab amalannya pada tangan kanannya, maka mereka itu akan membacanya (dengan sukacita), dan mereka tidak dianiaya (dikurangkan pahala amal-amalnya yang baik) sedikitpun. (71); Dan (sebaliknya) sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta (mata hatinya), maka dia juga dalam keadaan buta di akhirat dan lebih sesat lagi dari jalannya (yang benar). (72).” (Surah al-Isra’: 71-72) 

Suratan amal yang akan diterima mengandungi pelbagai amalan di dunia merangkumi semua urusan kehidupan beribadat, amalan kehidupan dan sikap berpolitik, sama ada melibatkan dosa ataupun pahala.

Sehingga dibawakan cerita benar yang berlaku di alam akhirat, apabila para pengikut menyalahkan pemimpin. Perkara ini dijelaskan oleh al-Quran dalam ayat-ayat yang banyak, antaranya firman Allah SWT:

﴿يَوْمَ تُقَلَّبُ وُجُوهُهُمْ فِي النَّارِ يَقُولُونَ يَا لَيْتَنَا أَطَعْنَا اللَّهَ وَأَطَعْنَا الرَّسُولَا٦٦ وَقَالُوا رَبَّنَا إِنَّا أَطَعْنَا سَادَتَنَا وَكُبَرَاءَنَا فَأَضَلُّونَا السَّبِيلَا٦٧ رَبَّنَا آتِهِمْ ضِعْفَيْنِ مِنَ الْعَذَابِ وَالْعَنْهُمْ لَعْنًا كَبِيرًا٦٨﴾

“Pada hari ketika muka mereka dibolak-balikkan dalam neraka, mereka berkata (dengan sesalnya): ‘Alangkah baiknya, jika kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah serta taat kepada Rasul-Nya.’ (66); Dan mereka berkata lagi: ‘Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mentaati para pemimpin dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami daripada jalan yang benar.’ (67); ‘Wahai Tuhan kami! Timpakanlah kepada mereka azab dua kali ganda, dan laknatilah mereka dengan laknat yang sebesar-besarnya.’ (68).” (Surah al-Ahzab: 66-68)

Bahkan, turut dinyatakan bahawa sememangnya tiada ruang bagi seseorang untuk berkecuali dan tidak menentukan sikapnya terhadap perkara yang berlaku dalam kehidupan ini. Hal ini disebutkan oleh sabda Rasulullah SAW:

مَا مِنْ نَبِيٍّ بَعَثَهُ اللهُ فِي أُمَّةٍ قَبْلِي إِلَّا كَانَ لَهُ مِنْ أُمَّتِهِ حَوَارِيُّونَ، وَأَصْحَابٌ يَأْخُذُونَ بِسُنَّتِهِ وَيَقْتَدُونَ بِأَمْرِهِ، ثُمَّ إِنَّهَا تَخْلُفُ مِنْ بَعْدِهِمْ ‌خُلُوفٌ ‌يَقُولُونَ ‌مَا ‌لَا ‌يَفْعَلُونَ، وَيَفْعَلُونَ مَا لَا يُؤْمَرُونَ، فَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِيَدِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِلِسَانِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِقَلْبِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَلَيْسَ وَرَاءَ ذَلِكَ مِنَ الْإِيمَانِ حَبَّةُ خَرْدَلٍ.

“Tiada seorang nabi pun yang Allah utuskan kepada satu-satu umat sebelumku pada zaman terdahulu melainkan bersamanya para pengikut yang setia, mereka mengambil petunjuknya dan berpegang kepada ajarannya. Kemudian, selepas ketiadaannya ada pula para pemimpin yang mengambil tugas bercakap apa yang tidak dilaksanakan (berbohong) dan melakukan apa yang tidak disuruh (berbuat kemungkaran). Maka, sesiapa yang berjihad dengan tangan (tenaga) bagi mencegahnya, nescaya dia beriman. Dan sesiapa yang berjihad dengan lidahnya, nescaya dia juga beriman dan sesiapa yang berjihad dengan hatinya (membenci dengan tidak menyokong), nescaya dia beriman. Dan tiada lagi iman selepas itu, walaupun sebesar biji yang halus (berkecuali tanpa menentangnya).” (Riwayat Muslim 50)

Dan juga sabda Rasulullah SAW:

وَمَنْ مَاتَ ‌وَلَيْسَ ‌فِي ‌عُنُقِهِ ‌بَيْعَةٌ، ‌مَاتَ ‌مِيتَةً ‌جَاهِلِيَّةً

“Dan sesiapa yang mati tanpa ikatan baiah di lehernya, nescaya dia mati dalam keadaan jahiliah.” (Riwayat Muslim 1851)

Allah SWT mendedahkan betapa ramai dalam kalangan manusia yang hidupnya seperti binatang kerana hidup semata-mata untuk makan dan bernafsu. Bahkan, mereka menjadi lebih teruk daripada binatang kerana tidak menggunakan akal yang dikurniakan oleh Allah SWT dengan betul. Firman Allah SWT:

﴿وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لَا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَا يَسْمَعُونَ بِهَا أُولَئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُولَئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ١٧٩﴾

“Dan sesungguhnya Kami jadikan penghuni untuk neraka Jahanam kebanyakan daripada kalangan jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah al-A‘raf: 179)

Maka, jangan dianggap hidup ini sekadar untuk makan dan tidur, mahupun berseronok dan bergembira sahaja dengan bersenang-lenang tanpa peduli kepada tujuan asal mereka diciptakan oleh Allah SWT.

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 27 Safar 1443 / 5 Oktober 2021