Home Berita PAS Terengganu

Polis trafik korbankan elaun demi pengayuh beca

102
SHARE

KUALA TERENGGANU, 25 Julai – Polis Kontinjen Terengganu melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu menggunakan elaun sendiri demi meringankan beban 20 pengayuh beca di sekitar bandar raya itu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata sumbangan disampaikan dalam bentuk barangan keperluan dapur itu merupakan hasil tabungan elaun COVID-19 pegawai dan anggota JPST.

Katanya, para pengayuh beca merupakan antara golongan yang terkesan teruk oleh pandemik kerana aktiviti pelancongan yang menjadi sumber pendapatan mereka tidak dapat dijalankan pada musim ini.

“Pihak JSPT yang tanpa jemu menjalankan rondaan lalu lintas di jalan raya sering melihat keberadaan golongan pengayuh beca yang rata-rata terdiri daripada warga emas.

“Melihat situasi sedemikian, mereka sanggup mengorbankan elaun yang mereka terima untuk disumbangkan kepada warga pengayuh beca, ini merupakan satu sikap yang terpuji.

“Saya berasa bangga dengan semangat dan sikap yang ada mereka dan semoga ia menjadi sumber inspirasi kepada orang ramai untuk turut mengambil bahagian dan cakna kepada kesusahan orang di sekeliling kita,” tambahnya melalui Facebook rasmi Polis Terengganu, petang tadi.