Home Berita PAS Terengganu

Polis Terengganu lupus dadah bernilai RM6.2 juta

6
SHARE

KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu akan  melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai RM6.2 juta yang dirampas sepanjang 27 tahun bermula 1996 hingga 2023.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli  Mazlan berkata  antara yang akan dilupuskan ialah heroin, methamphetamine, yaba, ketamin, ubat batuk, air ketum dan daun ketum.

Katanya, dadah yang dilupus melibatkan 3,557 kertas siasatan yang semuanya telah selesai menjalani proses mahkamah..

“Pada hari ini, PDRM Kontinjen Terengganu di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik akan membuat penyerahan barang kes dadah untuk pelupusan kepada syarikat Kualiti Alam Sdn. Bhd. yang berdaftar di bawah Jabatan Alam Sekitar.

“Pelupusan perlu dijalankan oleh syarikat yang berdaftar memandangkan barang kes dadah adalah ‘buangan terjadual atau schedule waste (SW403)’ iaitu buangan terjadual di bawah jadual pertama, peraturan-perturan kualiti alam sekeliling (buangan terjadual) 2005,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Serahan Barang Kes Narkotik Bagi Program Pelupusan Tahun 2023 Peringkat Kontinjen Terengganu bertempat di hadapan perkarangan IPK Terengganu.

Jelasnya,program pelupusan ini secara tidak langsung  mempamerkan ketelusan dan integriti PDRM dalam menjalankan tanggungjawab memastikan barang kes dadah dilupuskan sepertimana perintah mahkamah.

“Ia juga membuktikan bahawa tiada barang kes dadah yang disalahgunakan setelah kes selesai di mana kita akan memastikan “no drug exhibits will be back on the streets”.

Sementara itu, berdasarkan statistik kes dan tangkapan  dari bulan Januari sehingga Oktober, JSJN Terengganu telah mengambil tindakan ke atas seramai 838 orang di bawah seksyen 39c ADB 1952, manakala pada tahun lepas (2022) seramai 1,108 orang telah ditangkap dan dituduh.