Home Artikel Dewan Ulamak PAS Pusat

Pohon Kepada Allah Atasi Masalah Jerebu

174
SHARE

POHON KEPADA ALLAH ATASI MUSIBAH JEREBU

Dewan Ulamak PAS Pusat mengajak seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam agar bermunajat, memohon bantuan daripada Allah untuk menghilangkan musibah jerebu yang melanda negara mutakhir ini. Ramai yang mengalami masalah kesihatan, banyak sekolah ditutup dan pelbagai urusan terpaksa ditangguhkan. Musibah jerebu yang melanda negara tidak boleh dipandang enteng.

DUPP turut mengecam pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab merosakkan dan mengabaikan kelestarian alam sekitar sehingga menjejaskan kesihatan awam. Hal ini bukan perkara yang baharu, malah berlaku saban tahun. Tiada tindakan drastik oleh pihak-pihak tertentu untuk mengurangkan masalah-masalah tersebut. Fungsi hutan yang sebenar telah dimusnahkan demi memenuhi keserakahan nafsu manusia.

DUPP mengingatkan isu pencemaran asap atau jerebu adalah sebahagian daripada kerakusan manusia. Firman Allah SWT, _“Telah berlaku kerosakan di daratan dan lautan adalah disebabkan oleh tangan-tangan manusia”_ (Ar-Rum, ayat ke-41). Ulamak menafsirkan ayat tersebut dengan merujuk kepada kemarau serta kehilangan keberkatan akibat daripada kemaksiatan dan kezaliman yang dilakukan oleh manusia.

Oleh itu, DUPP menyeru seluruh umat Islam agar memohon ampun kepada Allah dan kembali mengamalkan ajaran Islam yang sebenar. Perbanyakkan solat taubat, berdoa agar Allah menyelamatkan kita daripada azab-Nya yang pedih.

Sekian.

YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat

Ahli Parlimen Malaysia (Pasir Puteh)