Home Berita PAS Perak

PKPD Kampung Menteri : PAS sumbang 560 kampit beras, 280 bakul makanan

181
SHARE

Oleh : Jaudin M Amin

BUKIT GANTANG, PAS Kawasan Bukit Gantang menyumbang 280 bakul makanan dan 2,800 kilogram beras kepada penduduk-penduduk Kampung Menteri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) mulai 6 Ogos lalu.

Sumbangan disampaikan Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Haji Ahmad kepada Penghulu Mukim Matang, Nasharudin Nawi di Pusat Operasi PKPD Kampung Menteri Kuala Sepetang dekat sini, semalam.

Idris mengucapkan ribuan terima kasih di atas kerjasama Penghulu Mukim Matang serta Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Larut Matang dan Selama yang sudi menguruskan pengagihan 280 bakul makanan dan 560 kampit beras kepada 280 keluarga yang terlibat.

“Saya berharap penduduk yang terlibat dengan PKPD ini bersabar di atas apa yang menimpa mereka dan keluarga mereka.

“InsyaAllah, PAS akan terus menyalurkan sumbangan dan memberikan bantuan kepada semua yang terbabit,” ujar ustaz Idris.

Kira-kira 70% penduduk Kampung Menteri adalah nelayan manakala bakinya bekerja dalam sektor swasta, perkilangan dan sebagainya.

Pada 4 Ogos, Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah mengisytiharkan PKPD di Kampung Menteri, Mukim Matang selama dua minggu mulai 6 Ogos lalu dan dijangka berakhir pada 19 Ogos ini.

Turut hadir, Yang DiPertua PAS Kawasan Bukit Gantang, Muhammad Faisal Abdul Rahman, Naib Yang DiPertua PAS Kawasan, Haji Rahim Ismail dan Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Harun Arshad.