Home Berita PAS Terengganu

PKPD Besut : Lorong kebun buah antara laluan popular

96
SHARE

KUALA TERENGGANU – Polis daerah Besut mengesan lorong di kebun buah antara laluan paling digemari penduduk di daerah ini untuk merentas negeri atau daerah.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad, selain itu laluan di ladang kelapa sawit, sawah padi dan kawasan semak samun turut menjadi pilihan rakyat untuk melakukan aktiviti tersebut.

“Kebiasaannya ia digunakan mereka yang bermotosikal dan berjalan kaki untuk pelbagai tujuan yang tidak munasabah.

“Lebih malang turut digunakan penagih dadah untuk membeli dan mengedar dadah.

“Ini dapat dibuktikan dengan tangkapan satu kes berkaitan pengedaran pil kuda ke Kelantan,” katanya

Beliau berkata demikian ketika berkeudaraan di Radio Terengganu FM, semalam.

Namun Abdul Rozak memberitahu, pihaknya berpuas hati dengan keseluruhan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) penduduk Besut.

“Ukuran tahap pemantuhan adalah 97 peratus, ini dapat dibuktikan dengan 255 kes individu dikenakan saman ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) fasa pertama.

“Berbanding hanya 98 kes (PKPD fasa 2) yang dikenakan saman, termasuk masing-masing 36 kes tidak memakai pelitup muka dan merentas negeri,” katanya.

PKPD di 15 mukim di Besut yang sepatutnya berakhir 4 Jun lalu, dilanjutkan sehingga 18 Jun depan.

Mukim-mukim terlibat ialah Kampung Raja, Keluang, Lubuk Kawah, Bukit Kenak, Pelagat, Jabi, Tembila, Kerandang, Bukit Puteri, Pengkalan Nangka, Kuala Besut, Pasir Akar, Kubang Bemban, Tenang dan Hulu Besut.

Keputusan itu dibuat selepas penilaian risiko Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berikutan masih terdapat penularan kes berlaku di lokaliti itu.