Home Artikel PAS Perlis

PKP: Amal Perlis Serah Kit Mesra Kepada Pasukan Keselamatan

589
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

KANGAR : Memasuki Fasa Ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Jabatan Amal Malaysia Negeri Perlis (JAMNPs) terus bergerak aktif dalam melaksanakan aktiviti khidmat masyarakat mereka.

Semalam, seramai 25 orang pegawai dan anggota jabatan tersebut telah dikerah bagi menyampaikan sumbangan Kit Mesra kepada anggota pasukan keselamatan.

Sebanyak 300 kit berupa makanan, pencuci tangan (hand sanitizer) dan penutup hidung dan mulut telah diserah kepada lebih 200 orang anggota pasukan keselamatan yang terlibat dalam tugasan berkaitan PKP.

Pengarah JAMNPs Amirul Jufri Mat Saman berkata, kerja-kerja menyediakan Kit Mesra sumbangan PAPISMA Negeri Perlis itu turut dibantu para anggota Briged Muslimat Negeri Perlis dan mahasiswi daripada Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) Perlis.

“Bermula jam 11 pagi, kerja-kerja mengagihkan sebanyak 300 buah kit yang telah siap telah dilakukan oleh pihak kami dengan dibantu wakil daripada PAPISMA Negeri Perlis.

“Pengagihan kit kali ini meliputi tiga buah ibu pejabat polis daerah (IPD), lapan buah balai polis serta 20 buah pos sekatan jalan raya di seluruh negeri ini,” katanya ketika dihubungi di sini.